Dia seorang ayah yang telah dikurniakan Allah enam orang anak perempuan. Ya, enam orang. Bayangkanlah keriuhannya. Namun hati si ayah tetap terbetik rasa sunyi dan kelompangan. Kenapa? Rupanya dia ada hajat dan keinginan yang besar. Hajat besar yang belum tercapai.
Dia inginkan seorang anak lelaki untuk menghilangkan rasa sunyi dan kelompangan itu. Anak lelaki yang bakal menyambung perjuangannya. Kononnya begitu. Hari ini dia dimaklumkan bahawa isterinya mengandung lagi. Hah! anak ketujuh. Produktiviti juga pakcik kita nih. Enam orang puterinya gembira nak dapat adik baru namun hati si ayah berdebar-debar tak keruan.
Air mukanya tampak redup dan keruh kerana kerisauan yang disemaikannya sendiri . Dia amat takut dan tertekan sekali kalau masih dapat anak perempuan. Isteri yang melihat gelagat suaminya bagai 'menahan sembelit' itu faham yang dia sedang gabra dan gundah gulana kerana munajat hatinya pun tak putus-putus mendoakan sedemikian. Sudah banyak kali dia berdoa bahkan masih berdoa agar dikurniakan seorang putera.
Lantaran emosinya yang tidak terkawal ditambah dengan kecetekkan akan budinya, tumbuh niat dan azam jahat di dalam hatinya. Andai isterinya melahirkan anak perempuan lagi, dia akan diceraikan! Muktamad! Namun, semuanya masih berlingkar di dalam hati. Belum diungkapkan.
Malamnya, si ayah tidur awal, bersama kekalutan jiwanya. Setelah sejam dua tidur, dia bermimpi. Mimpi yang sungguh menakutkan. Apa tidaknya.. Dia bermimpikan suasana hari kiamat yang dahsyat berlaku di depan matanya. Dia melihat neraka dinyalakan dan dibawa kepadanya. Setiap kali tubuhnya hendak dihayun para Zabaniyah ke dalam neraka melalui setiap satu dari enam pintunya, tak semena-mena berdiri di setiap pintu neraka tadi salah seorang anak perempuannya yang berjaya menghalangnya dari jatuh ke kawahnya. kecuali pada pintu neraka yang ketujuh. Tiada siapa lagi yang ada di sana untuk menjadi perisainya! Puterinya hanya enam orang.
Bagaimana di pintu neraka yang ketujuh?? "Ahhh!!! ya Allah, selamatkanlah aku", dia menjerit ketakutan yang amat sangat. Mimpinya bernoktah di situ. Dia tersedar dari pengalaman rohaniah yang mengerikan. Darahnya berderau. Peluhnya mencurah bagai disimbah hujan. Air matanya mengalir deras bersama seribu penyesalan. Kali ini dia sedar betapa besar kesalahan dan dosanya akibat sikap, niat dan azam buruknya tadi. Sambil kedua tapak tangannya ditekupkan kemuka, dia teresak-esak merayau: "Ya Allah! kurniakan kami 'puteri' yang ketujuh".
0 comments:
Post a Comment