INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Friday, April 24, 2009

PERKAHWINAN: PERKONGSIAN & PERTANGGUNG JAWABAN


Baru-baru ini ada terbaca kisah seorang wanita di Johor yang hendak terjun ke dalam sungai dalam cubaannya untuk membunuh diri namun berjaya diselamatkan. Semuanya bermula apabila ibu yang ada beberapa orang anak itu dikatakan sangat tertekan, malu, strees, sesak nafas ekoran situasi ekonomi keluarga yang tidak ketahuan manakala suaminya pula tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Kemungkinan masalah tersebut telah mengambil satu tempoh yang lama tanpa sebarang penyelesaian dari pihak suaminya sendiri. Semuanya kemungkinan dan kebarangkalian. kalau tidak takkanlah sampai wanita tersebut samapi ke tahap langsung putus harap untuk hidup dan buat kerja bodoh dengan berniat membunuh diri.

Menurut laporan akhbar, walaupun wanita itu berjaya diselamatkan, namun telah ditahan (lokap) atas kesalahan-kesalahan bagi enakmen-enakmen tertentu yang telah digubalkan. Saya kurang arif tentang itu namun saya rasa sedih dan simpati juga.

Yang saya sangat musykilkan ialah apakah punca sebenar masalah ini terjadi? Kenapa sampai jadi sedemikian? Kalau hendak difikirkan berkenaan situasi akhir zaman, kes-kes seumpama ini memang sudah amat banyak macam cendawan tumbuh selepas turun hujan. Namun, bukankah agama mengajar kita mengambil iktibar serta pengajaran dari apa jua keaadan, peristiwa dan permasalahan yang berlaku supaya ia tidak berlaku pada diri kita dan mereka-mereka yang kita sayangi?

Dalam kehidupan yang normal, bagi seorang wanita yang bergelar isteri, pada suamilah tempat dia menumpang kasih, bergantung harap, payung tempat berteduh, pimpinan, penyelesai masalah, mentor, motivator dan sebagainya. Fikir saya, kalau suami yang beriman, panjang akal dan berjiwa besar, masalah taklah sampai jadi serumit dan sekalut ini. Saat ini juga saya terfikirkan bagaimana ehwal isteri-isteri yang bersuamikan mat-mat dadah tegar. Jangan kata tak ada. Bayangkan tekanan jiwa yang mereka sedang hadapi.

Antara punca masalah bagi kes-kes seperti ini ialah, apabila peranan dan tanggungjawab tidak dilaksanakan dan tidak dilangsaikan, maka berlakulah apa yang berlaku. Saya kira sahabat-sahabat semua juga berfikiran demikian.

Hidup bekeluarga adalah gabungan antara perkongsian dan tanggungjawab. Sebut pasala perkongsian, bukan sekadar berkongsi nikmat senggama dan harta sepencarian semata-mata. Untuk bahagia, suami isteri kenalah berkongsi ilmu, kasih sayang, pengalaman, permasalahan, suka duka dan sebagainya. Hal tanggungjawab pula,masing-masing kena jalankan tanggung jawab masing-masing. Suami ada tanggungjawab. Tanggungawab memimpin, mendidik dan mencari rezeki, hala-lan toyyiba. Isteri juga ada tanggungjawab. Mendidik anak-anak dan menguruskan rumahtangga serta memelihara diri serta harta suami. Anak-anak pun begitu juga.

Suka saya katakan, beruntunglah seorang wanita andai suaminya soleh dan keuntungan bagi seorang lelaki pula andai isterinya solehah. Cucunda Nabi saw, saidina Hasan r.a. pernah ditanya orang, siapakah yang layak dibuat calon menantu? "Kahwinkanlah dengan orang yang soleh. Sekiranya dia menyintai isterinya, nescaya dia akan memulia dan menghormatinya. Namun sekiranya tiada cinta antara mereka, pasti dia tidak akan menzalimi dan menyakiti isterinya".

Bila perkahwinan hanya bermatlamat berkongsi nikmat 'hubungan badan' semata-mata dan kemudian mengabai dan menafikan 'faktor pertanggung jawaban' ianya akan menjadikan slogan 'rumahku syurgaku bertukar kepada rumahku..............'?.

Bagi suami pula, isteri adalah amanah Allah yang sangat berat terpikul dibahu mereka. Mereka bukan 'budak belasahan' apalagi bukan sekadar 'alat pemuas nafsu' sebagaimana kejinya pandangan masyarakat Jahiliah. Nabi saw mengatakan bahawa mereka adalah SYa-QA-IQ yakni 'saudara' bagi kaum lelaki.

"Kenapa kamu pukul isteri kamu?," tanya Rasulullah saw pada seorang lelaki.
"Dia tak lakukan apa yang saya suruh." jawab lelaki itu dengan penuh emosi.
"Aku tidak bermaksudkan demikian. Aku hanya bertanya kenapa kamu pukul isteri kamu yang merupakan teman tidur kamu dan ibu kepada anak-anak kamu?, " jelas rasulullah saw.

Elemen perkongsian dan pertanggungjawaban juga tidak mampu bertahan lama dan mudah goyah bilamana ia tidak dibangunkan di atas tapak iman dan Aqidah Islamiyah yang kukuh. Tapak inilah menjadi pemangkin dan faktor keutuhan keluarga dan hubungan yang dibina. Aqidah maupun 'Aqad, masing-masing membawa makna simpulan kerana dari akar kata yang sama. Bila 'Aqad terbina di atas 'aqidah, maka kesejahteraan dan kebahgiaan keluarga dapat bertahan hingga ke akhir hayat sebagai yang sering didoakan dimajlis aqad nikah maupun majlis walimah.

Aqidah yang kukuh itu umpama akar tunjang yang terbenam ke dalam bumi. Kedudukkan pokok menjadi amat kukuh. Ia mampu bertahan menghadapi ribut, taufan dan badai. akan tetapi, andai iman dan aqidah lemah, ia umpama pokok yang tiada akar tunjang. Tak usah ribut yang melanda, ditiup angin sepoi-sepoi bahasa pun, ia dah tumbang menyembah bumi. Begitulah kehidupan kita. Tanpa aqidah, kita akan kecundang. Kita akan kalah sebelum berjuang. Kita akan tumbang sebelum ujian sebenar datang.

Kesimpulan yang ingin saya nyatakan, andai keluarga kita tidak dibangunkan atas dasar iman dan islam, krisis dan kemelut ekonomi yang sedang melanda lagi menggigit jiwa sekarang ini akan membuatkan ramai lagi individu-individu yang terjun sungai, terjun bangunan, minum racun tikus dan telan ubat tidur.Tanpa iman dan aqidah, kegawatan ekonomi akan melahirkan lebih ramai penjenayah-penjenayah junior (baru). Sebelum ini, seorang Cina yang tertekan dengan ancaman ah long, telah membunuh anak-anaknya dan memunuh dirinya sendiri.

Mari sama-sama kita berdoa serta kukuhkan hubungan kita dengan Allah. Dialah Ar Rahman. Dialah sumber kekuatan dan ketenangan kita. PadaNyalah tempat kita mengadu, merayu, merintih dan meminta. Dialah yang paling sayang pada kita kerana Dialah yang mencipta kita. Dia pasti tidak akan mensia-sia dan meninggalkan kita. Allahul Musta'an.



0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial