Asalnya manusia serba dungu, jahil, kerdil, lemah dan naif sekali.
"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan, dan hati, agar kamu bersyukur." (An Nahl: 78)
Allah swt tidak menagih apa-apa bayaran dari hamba-hambaNYa melainkan hanya memerintahkan mereka agar sentiasa memuji dan mensyukuriNya.
Selanjutnya, Allah dengan sifat RahmanNya mengajarkan segala ilmu dan pengetahuan yang mereka hajatkan dengan wasilah QALAMNYA. Allah mengajar manusia apa-apa yang mereka tidak tahu sebelumnya. Di dalam Surah Al 'Alaq ayat 4 dan 5 Allah swt menyedarkan sekelian manusia betapa anugerah ilmu dan kepandaian itu daripadaNya. Dialah yang mengatur dan memberikannya.
Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam.
QS. al-'Alaq (96) : 4
Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.
QS. al-'Alaq (96) : 5
Hakikat penciptaan dan kejadian inilah yang mesti dipegang teguh oleh manusia agar ia tidak terarah untuk menyombong diri, lupa daratan, membelakangkan Allah, menzalimi sesama manusia, mengejar dunia dan membelakangkan akhirat. Bagaimana manusia boleh menjadi sombong walhal ilmu yang dititipkan kepada mereka itu hanyalah umpama titisan-titisan air yang mengalir pada jari mereka sahaja setelah mana dicelupkan ke dalam lautan luas. dan umpama keluasan ilmu Allah itu pula adalah seluas lautan yang tidak bertepi. Sepatutnya dia rasa malu, tunduk dan bersyukur terus-menerus kepadaNya.
Bila Allah swt berikan kepada hamba-hambaNya ilmu pengetahuan, bermakna ia telah menjadi satu amanah yang wajib mereka syukuri dan bakal dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Tidak menginsafi hakikat ini akan menjadikan manusia mendabik dada sambil berteriak 'aku orang paling pandai', aku pandai dan berilmu kerana aku rajin belajar dan rajin membaca' dan 'tidak ada siapa yang mengajar aku..".
Sudah menjadi lumrah, manusia dengan sifat nisyannya mudah lupa dengan asal usulnya. Lambakkan nikmat menjadikan dia buta, alpa dan leka. Ilmu yang dimilikinya dijadikan alat untuk mencapai kekayaan, meratah kemahsyuran, melonggok jawatan, kuasa dan pengaruh semata-mata. Amanah ilmu telah dilupakan apabila nikmat kekayaan menguliti dirinya. Kekayaan telah menjadikan dirinya terpana dan hilang arah melainkan bagi hamba-hamba Allah yang beriman dan beramal soleh. Ilmu menjadikan mereka makin dekat dengan Allah. Ilmu yang dimiliki mendorong mereka rasa untuk banyak beramal. Ilmu yang dicapai membuatkan mereka rasa malu dan khudhu' kepada Allah swt.
Demikian juga dengan orang yang diuji dengan pangkat dan kekuasaan, hinggakan mereka menyangka mereka telah berkuasa sepenuhnya dan memiliki segala-galanya. Allah mengingatkan manusia supaya jangan sampai diri mereka ditipu oleh nikmat dan keseronokkan dunia yang sedikit cuma. Mereka hendak berhenti dari sikap buruk sedemikian sebelum mereka berangkat pulang ke alam Baqa. Apakah mereka merasakan terlalu lama lagi saat kematian mereka walhal ianya sudah terlalu hampir.
Hal ini diperingatkan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas ketika menganggap dirinya serba cukup. Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmu tempat kembali.” (Surah al-Alaq, ayat 6-8)
0 comments:
Post a Comment