“ Apakah aku seorang yang penyabar pada masa-masa yang lalu dan apakah aku mampu bersabar lagi dimasa-masa akan datang?”.
Kemungkinan itu monolog hati kecil kita setelah mungkin kelihatan amat ‘lelah’ dan ‘semput’ menghadapi ujian getir dan bebanan hidup yang bertali arus memukul dan menghentam bahtera kehidupan kita.
Akan tetapi, di atas kesedaran yang tinggi bahawa dunia sememangnya mutlak diciptakan Allah sebagai negara ujian dan dugaan, maka mahu atau tidak kita mestilah memilih untuk terus bersabar, berlatih bersabar atau memaksa diri untuk bersabar dalam menanggung segala ujian, dugaan dan keperitan hidup itu kerana di sana tiada jalan lain untuk kita meraih keampunan, kejayaan, kemuliaan dan syurga dari Allah swt.
Sabar, itulah azimat berharga.
Sabar, itulah lantera hati
Sabar, itulah persiapan awal yang tidak dapat tidak, mesti dicapai, direalisasi dan dilestarikan dalam diri kita bagi mendepani rintangan hari-hari mendatang.
Sesungguhnya pada sabar itu ada kebersamaan Allah swt. Ada darjat keutamaan.
Firman Allah: “..Hai orang-orang yang beriman jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. “(QS. 2:153)
Allah SWT berfirman: (Luqman berkata) “Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang diwajibkan (oleh Allah).” (Surah Luqman, 31: 17)
Kemampuan melestarikan kesabaran saat dirundung musibah adalah petanda kebenaran dan keampuhan iman di dalam diri mukmin.
Sabda Nabi saw: “Ajaib sekali urusan (kehidupan) seorang mukmin. Semua urusan (perkara) di dalam hidupnya baik belaka. Keajiaban itu tiada pada diri seseorang melainkan pada diri mukmin. Jika ia dilimpahi kegembiraan (nikmat), maka dia bersyukur; maka itu baik baginya dan jika dia dilanda kemudharatan dia bersabar, maka itu (juga) baik baginya.” (Riwayat Muslim).
Sifat sabar yang dijana dan dilatih berterusan, mudah-mudahan akan membenihkan pula sifat redha yang sangat tinggi kedudukannya di sisi Allah swt .
Selain itu, menurut sebahgaian para ulama bahawa kemuncak sifat sabar itu adalah sifat redha kepada Allah. Bermakna, lagi tinggi kesabaran seseorang , maka lagi lebat dan subur jugalah sifat redhanya.
Andai sabar itu milik golongan Abrar (para solihin), maka redha pula milik golongan Muqarrabin (Muttaqin).
Sabda Nabi saw: “Sesungguhnya besarnya ganjaran (pahala itu) beserta besarnya ujian (yang menimpa). Sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu kaum, (nescaya) Dia akan menguji mereka, maka barangsiapa yang redha (dengan ujian tersebut) maka baginya (ganjaran) keredhaan dan barangsiapa yang membencinya, maka baginya (balasan) kebencian.” (Hadis hasan riwayat At Tirmizi).
Apakah pengajaran utama yang terdapat di dalam hadis di atas?
Dalam hadis ini terdapat anjuran dan galakan yang sangat penting dalam kehidupan beragama iaitu supaya kita dapat sabar dan redha dengan ketentuan Tuhan saat menghadapi segala dugaan hidup.
Nabi saw pernah berdoa: “Aku memohon padaMu agar dikurniakan keredhaan selepas datangnya Qadha (ketentuanMu).” (Hadis Sahih riwayat Imam Ahmad).
Sekalipun sifat redha itu sangat tinggi maqamnya di sisi Allah seakan sukar dicapai, namun Nabi saw tetap mengajarkan kita supaya sentiasa memohon kepada Allah agar dikurniakan sifat redha. Ya, paling tidak sebelum kita berangkat ke alam baqa.
“Sesungguhnya Allah itu, apabila Dia menentukan sesuatu qadha (ketetapan), Dia suka andai qadha itu diredhai oleh hamba-hambaNYa,” ujar sahabat Nabi, Abu Darda r.a.
“Redha adalah pintu Allah Al ‘A’zham, syurga dunia (al Jannatul ‘a-jilah) dan pusat kerehatan sekelian ahlul ibadah.” Demikian ungkap As Abdul Wahid ibn Zaid Rahimahullah.
Bagi yang yang tidak sabar dan tidak redha, musibah yang melanda terasa amat menekan jiwa dan menyesakan dada seakan hunjaman awalan siksa sebelum siksa sebenar di akhirat. Allahul Musta’an.
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
0 comments:
Post a Comment