Setelah berjaya menganjurkan Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul Februari lalu iaitu di Stadium Malawati, Shah Alam, kumpulan Rabbani terus maju kehadapan dengan rancangan menganjurkan sebuah konsert yang diberi nama Konsert Antara Dunia dijangka dipersembahkan pada 1 Ogos ini bermula jam 8.30 malam.
Bukan sekadar berhibur, konsert atas paksi kemanusiaan dan sarat dengan nilai murni itu dilaksanakan atas tujuan amal bagi mengumpul dana tabung pembangunan insan bagi Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis).
Saudara Azadan, wakil kumpulan Rabbani berkata: “Hasil penjualan tiket nanti akan disalurkan kepada fakir miskin dan anak yatim di Malaysia juga mangsa tsunami di Acheh. Malah, Rabbani dan Gamis berhasrat untuk ke sana menyampaikan dana atas tabung pendidikan itu.
“Jika tiada aral melintang, sepanjang hari itu juga satu karnival akan diadakan bermula pagi hingga ke tengah malam. Kepada yang mungkin berminat untuk berniaga atau membuka gerai jualan boleh menghubungi Shahrul Azhar di talian, 019-2225588.”
Ketika ini, semuanya masih dalam rangka perbincangan termasuk usaha untuk mendapatkan kumpulan dari seberang, Ungu selain beberapa orang artis tempatan.
“Ini antara kelainan yang kami sedang berusaha untuk tampilkan melalui kolaborasi dengan artis luar. Jika sebelum ini, Rabbani pernah berduet dengan Amy Search, siapa tahu hasrat berduet dengan Ungu pula bakal menjadi kenyataan jika semuanya berjalan dengan lancar.”
“Apa yang kami sedang usahakan ini ialah atas maklum balas dan cadangan peminat yang mahu Rabbani bekerjasama dengan Ungu. Tak dinafikan, Ungu juga antara kumpulan yang sering memperjuangkan lagu ketuhanan. Lalu, ruang baru ini dibuka demi kepuasan peminat,” kata saudara Azadan lagi.
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
0 comments:
Post a Comment