INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Wednesday, May 20, 2009

KUNTUMAN BUNGA YANG BERSERI













Di antara pengajaran Islam yang maha indah dan agung ialah penekanan dan penganjurannya terhadap pembentukan akhlak mulia dan adab sopan dalam diri setiap umatnya tak kira mereka tua ataupun muda, lelaki ataupun wanita, dewasa atau kanak-kanak, pemimpin ataupun rakyat jelata, kaya atau miskin, majikan ataupun pekerja.

“Perelokanlah akhlak kamu,” demikian pesan Nabi saw berulangkali.

Islam juga mengaitkan betapa ada kaitan dan hubungan antara akhlak mulia dan kesempurnaan iman yang bertakhta mengisi ruang hati seseorang. “Mukmin yang paling sempurna keimanannya adalah yang paling baik akhlaknya”. (Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmidzi)


Nabi saw menjelaskan bahawa di antara tugas penting di dalam hayat kerasulannya adalah untuk menyempurna dan memperbetulkan kembali akhlak dan adab manusia yang sebelumnya telah tertiarap menyembah bumi.

“Sesungguhnya aku diutus tidak lain menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Hakim).


Ya, Saat Nabi saw diutuskan, ketika itu masyarakat Arab di Jaziratul Arabiyah bukan sahaja bergelar Jahiliyah bahkan perilaku mereka juga sudah tidak dapat digambarkan lagi. Sifat kemanusiaan kala itu hancur lebur. Semuanya lantaran kejahilan mereka tentang Allah Yang Maha Pencipta juga kerana zulmat kekafiran dan kesyirikan yang menyendat di ruang dada.

Tiga belas tahun Nabi berhempas pulas, bersengkang mata dan berendam airmata bagi memurni dan merawat semula kebejatan dan kerendahan akhlak yang kalau diumpamakan saat itu juga bagai barah tahap lima!

Tumpuan dan perhatian serius Rasulullah saw di dalam usaha pembentukan akhlak dan adab insani tidak dapat dipertikaikan lagi bahkan fokus baginda saw dalam memperjuang dan melestarikannya ke semesta alam nyata lebih syumul dan Kamil kerana ia meliputi akhlak dengan Allah Yang Maha Pencipta maupun adab dengan sesama manusia.

Baginda saw bersabar serta penuh yakin tatkala menunaikan amanah besar itu dan alhasilnya kejayaan bertandang di ruang mata. Ya, ia hari-hari dan tempoh yang sukar, namun Nabi saw sangat gembira dan bersyukur melihat manusia kembali berakhlak kepada Allah dan salaing mengasihi sesama manusia.

Adalah tidak mudah dan tidak senang untuk memanusiakan semula manusia-manusia yang selama ini telah sebati berwatak dan bertopengkan zombie, khinzir, serigala, kaldai dan segalanya.

Semuanya kerana Husnul Khuluq. Bagi menyempurnakan akhlak sekelian manusia.

Rasulullah Uswah Hasanah

Dalam menilai faktor kejayaan Nabi saw memperjuangkan akhlak Islami tidak cukup dengan hanya melihat pada kekuatan halatuju dan matlamat baginda yang jelas bahkan yang paling utama ialah pada peribadi baginda saw itu sendiri yang memiliki akhlak teragung lagi dipuji Ilahi.

Akhlak milik baginda saw itu adalah didikan dan tarbiah Ilahi….

Akhlak mulia pada sosok diri Nabi saw itulah yang Allah mahu kita ikuti dan contohi….

Akhlak Nabi saw itulah yang dengan jayanya menjadi senjata dakwah bil hal yang ampuh memujuk dan menyeru manusia agar sentiasa mengabdikan diri pada Yang Esa.

Dengan akhlak itulah baginda saw terangkat ke puncak sebagai Khairul Anam lagi terjamin Uswah Hasanah..

Maka setiap kali kita mendengar atau membaca berkenaan akhlak Nabi saw, maka berazamlah untuk meniru dan menyontohinya kerana baginda lah sebaik-baik teladan yang hadir di bumi Tuhan.

“Hendaklah setiap orang yang telah mendengar sesuatu dari adab Nabi saw, berusaha untuk berpegang dengannya,” kata as syeikh Ibrahim Al Harbiy Rahimahullah (Muntaqal fawa-id ms 154 / Al Jami’ li akhlaqir rawi 1- 142)

Buah pengabdian

Akhlak mulia ataupun adab sopan itulah natijah atau buah daripada segala pengabdian yang kita persembahkan kepada Allah Tabaraka wa Ta’ala.

Ingat, pokok yang hebat bukan hanya dinilai pada saiznya yang besar, atau pada kuat dedahannya atau pada rimbunan dan kehijauan daunnya tetapi nilaian sebenarnya adalah pada kesempurnaan penghasilannya iaitu pada lebat dan manis buahnya.

Jesteru, kalau ibadat tidak mencetuskan akhlak, maka bermuhasabahlah. Ia berkemungkinan besar menjadi isyarat bahawa ibadah kita selama ini ada yang tidak kena padanya. Ada ketempangan, cacat cela dan ketirisan di mana-mana.

Mungkin dalam beribadat masih ada kedengkian.

Masih pemarah, tak pandai bersyukur, tidak sabar, sukar memaafkan, mungkir janji dan tidak amanah.

Masih menyuburkan tunggul-tunggul keangkuhan dan ketakburan

Masih rindukan dosa dan kemaksiatan.

Masih nafsu-nafsi dan menjunjung tinggi mahkota ananiyah.

Kita harus bimbang, andai ibadah tidak membuahkan adab, nampaknya semakin hari kita semakin bertambah liar, biadab dan semakin jauh dari Tuhannya.. Na’uzubillah.

Bunga kecintaan

Akhlak mulia atau adab sopan itu diibaratkan oleh sasterawan maupun cendiakawan sebagai bunga yang cantik. Bukankah bunga yang cantik disukai semua orang? Bahkan unggas dan binatang pun turut menyukainya. Fitrah manusiawi memang sukakan bunga tak kira apa bangsa dan agamanya.

Lihat sahaja, orang ramai suka ke kebun bunga untuk menikmati pemandangannya yang indah . Bunga-bunga akan di tanam sekeliling rumah bahkan ada juga di dalam rumah. Isteri gembira berbahagia dengan kuntuman bunga hadiah dari suami tercinta.

Jambangan bunga juga ada dihias di dalam majlis-majlis penting dan mesyuarat- mesyuarat utama. Ia terkadang dikalungkan ke leher seseorang tokoh ataupun ditekkan di kepala maupun telinganya.

Jesteru, barangsiapa yang memiliki akhlak, ia bukan sahaja sangat dicintai Allah bahkan ia amat dikasihi sesama manusia malah turut disegani oleh musuh-musuhnya sendiri. Kasih sayang manusia kepadanya berkekalan segar di dalam ingatan dan kenangan sebelum ataupun sudah pemergiannya ke alam abadi.

Dipenghujungnya, ingin kita katakan bahawa sehebat manapun pengetahuan kita, selebat manapun amal kita, sebanyak mana pun harta kita dan setinggi mana pun kedudukan kita jikalau akhlak kita bejat dan rosak maka ia tidak membawa nilai apa-apa. Allah tidak pandang dengan pandangan kasih pada orang yang rosak akhlak dan hancur budinya.

Kerana itu, marilah kita membina akhlak kita. Ia mestilah dihalusi dan ditingkatkan sesuai dengan meningkatnya umur kita.

Akhlak yang buruk wajar kita tinggalkan kerana ia bukan sifat muslim sejati. Dari Abu Said al-Khudry r.a. bahwa Rasulullah saw bersabda: “Dua sifat jangan sampai berkumpul dalam diri seorang muslim yaitu bakhil dan akhlak yang buruk.” (Riwayat Tirmidzi).

Bagi orang yang faham, usaha pembaikan akhlak inilah satu perancangan dan tindakan yang mana manfaatnya bersifat jangka pendek (di dunia) juga jangka panjang yang pastinya di akhirat. Atas dunia, beroleh kasih sayang dan kemuliaan. Itu jangka pendek. Di akhirat pula beroleh kejayaan dan keuntungan besar.

Dari Abu Darda’ r.a. bahwa Rasulullah Saw bersabda: “Tidak ada suatu amal perbuatan pun dalam timbangan (Mizan) yang lebih baik daripada akhlak yang baik.” Riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi. Hadits shahih menurut Tirmidzi.

Ayuh, lestarikan akhlak saat bermu’amalah, beribadat dan bermunajat dengan Tuhanmu, Allah Rabbul Jalil. Lestarikanlah juga adab Islami saat bergaul sesama insani kerana siapa kita tanpa mereka di sisi.



0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial