Tahniah kepada ibu-ibu dan bapa-bapa muslim yang berusaha mencontohi Luqmanul Hakim dalam mendidik anak-anak tercinta. Nama dan kisah Luqman tertera di dalam al quran kerana sememangnya di insan contoh zaman berzaman.
Kalau putera kita dinamakan dengan sempena nama Luqman, maka jangan sekadar tinggal pada nama sahaja. Yang pentingnya adalah menanam dan menyuburkan sifat-sifat mulia Luqman di dalam diri mereka. Tiru nama (insan mulia) membawa berkat manakala tiru akhlak, sifat dan nasihat, mengundang rahmat.
Peningkatan penghayatan dan kefahaman Islam dalam masyarakat telah mencetuskan kesedaran ibubapa untuk menama anak-anak mereka dengan nama yang terbaik seperti nama nabi-nabi, nama para sahaabat dan nama para soloihin dan itulah pun yang disuruh agama.
Namun yang sedihnya ialah bilamana ‘step’ susulannya tidak berlaku. Didikkan agama dan akhlak yang sepatutnya seiring dan bersepadu dengan nama-nama yang baik tadi tidak diperjuangkan langsung malah diabaikan. Nama yang baik dan didikan yang baik terpisah jauh bagaikan panggang dari api.
Al hasilnya jangan terkejut andai anak-anak remaja yang menyarung nama-nama nabi, sahabat dan solihin tadi ada yang terjebak dengan gejala sosial, merempit, pergaulan bebas, dadah, kes ragut, vandalism dan sebagainya. Bukan salah pada nama, namun salah kerana lemahnya motivasi ibubapa dalam melaksanakan ammanah ilahi serta hilangnya fokus dalam menzahir dan menjayakan kesinambungan pendidikkan itu sendiri.
Antara didikan Luqman ialah menanamkan kedalam jiwa anak-anak tersayang supaya cintakan kebaikan (makrufat) bahkan sentiasa menyeru umat manusia agar serius dengan kebaikan.
Allah Subhanahahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):
(Luqman berkata) “Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang diwajibkan (oleh Allah).” (Surah Luqman, 31: 17)
Mendidik anak-anak ini memanglah satu tugasan dan amanah yang amat berat malah akan dipertanggungjawabkan di Akhirat sana. Ia akan menjadi mudah bilamana Allah swt membuka jalan dan memudahkannya untuk kita.
“…Ya Allah..permudahkanlah! Janganlah diperpayahkan…”
Kenapa dari awal-awal lagi anak-anak patut didedahkan dengan kebaikkan serta dbekalkan saranan berterusan supaya mencintai dan memperjuangkannya?
1. Kerana orang yang melakukan kebaikkan (Al Muhsinin) itu amat dikasihi Allah swt.
Firman Allah surah Ali 'Imran ayat 134 bermaksud: “..Dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan (kesalahan) orang,
Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.”
2. Untuk mendarah daging dan mensebatikan kebaikkan di dalam diri muslim, maka ia harus disemai dari usia kanak-kanak lagi. Pada umur yang ‘fresh’ itulah asas aqidah, asas hukum-hakam, aktiviti hafazan dan pembentukan adab Islami mudah dilakukan dan amat berkesan di dalam diri dan jiwa anak.
Kebiasaan beribadat dan melakukan kebaikan di zaman kanak-kanak akan menjadi latihan dan pendedahan awal sebelum menjengah ke alam taklif.
Berapa ramai golongan belia, dewasa dan orang tua yang amat berat dan payah untuk melakukan ketaatan di usia mereka disebabkan tidak biasa dan tidak terdedah dalam orieantasi ibadat semasa zaman kanak-kanak mereka. Pepatah menyebut: “Alah bisa tegal biasa.”
Dalam hadis solat, Nabi saw menjelaskan bahawa ajakan supaya anak-anak mendirikan solat itu mengambil tempoh masa dua tahun (7-9 thn) sebelum mereka diberi peringatan dengan rotan semasa berumur sepuluh tahun andai mereka masih keras hati melaksana tiang seri Islam itu.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah berpesan kepada kita (maksudnya): “Perintahkan anak-anak kamu untuk melakukan solat bermula ketika mereka mencapai umur tujuh tahun, dan pukullah mereka (jika tidak mahu melakukan solat) ketika berumur sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud. Lihat Shahihul Jami’, no. 5868)
Pepatah orang tua-tua yang popular dan seringkali berkumandang dalam ceramah-ceramah motivasi keibubapaan menyatakan : “Melenturkan buluh biarlah dari rebungnya.”
3. Sebagaimana meriahnya kesedaran kempen menabung di kalangan anak-anak sebagai simpanan dan persiapan di hari muka dengan slogan ‘sikit-sikit, lama-lama jadi bukit’, maka demikian jugalah sepatutnya kesedaran dan keprihatinan mewujudkan kempen supaya mereka mula ‘menabung hasanat’ atau meng‘aktifkan akaun hasanat’ masing-masing.
Dengar macam kempen ini pelikkan? Namun itulah kebenarannya?
"Aihh..., tiba-tiba je aktifkan akaun anak-anak? Bila buka akaunnya? Apa tu?? Akaun Hasanat?"
"Ya, memang betul. Akaun Hasanat itu adalah akaun seorang hamba yang dibuka bagi meraih ganjaran 'pahala' dari Tuhannya."
"Sejak pengucapan dua kalimah syahadah di lidah seseorang, maka sejak itulah dia telah membuka akaun Hasanatnya. solat lima waktu adalah 'Update' (pengemaskinian)nya," demikian hujah Ust Dr. Badrul Amin di dalam satu ceramahnya yang saya hadiri.
Ibnu Abdil Bar Rahimahullah di dalam kitab Al Istizkar, jilid 4 mukasurat 394 menukilkan kata-kata Saidina Umar r.a berkata: “..kebaikan yang dilakukan oleh anak-anak akan dicatat (dalam catatan amalan mereka) manakala kejahatan mereka tidak dicatat.”
Inilah anugerah Allah yang besar buat anak-anak tercinta. Putera puteri muslim.
Inilah harga dan nilai iman kepada Allah dan Rasul saw…
Bukan akaun hasanat anak-anak sahaja yang aktif bahkan akaun ibubapa mereka juga! Benarkah?
Ya, kerana didikan iman dan Islam yang mereka semaikan ke dalam diri anak-anak itu, sekali-kali tidak akan dipersiakan Allah swt. Mereka pasti beroleh pahala dan manfaatnya. Wallahu A’alam.
Akaun telah pun diaktifkan! Menabunglah! Menyimpanlah! Sedikit-sedikit, lama-lama Hasanat pasti membukit.
Rujukan:
1. Muntaqal Fawa-id oleh Abi Abdullah Faisal ibn ‘Abduh Qa-id Al Hasyiri.
2. http://ceria.my/proquransunnah
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
0 comments:
Post a Comment