Satu petang di sebuah surau...,
“Masuk hari ni, dah tiga hari depa tak bertegursapa. Kalau bertembung, dua-dua tarik muka masam. Macamana ni Imam? Risaulah saya,” luah Amirul pada Haji Ibrahim Syahid, imam Surau Al Ehsan, Taman Selasih.
“Hai macam-macam. Siapa pula kali ni?” tanya Hj Ibrahim pula pada Amirul, Ajk Biro Kebajikan di surau yang sama.
“Aduihh, nak habaq pun segan. Man Pegaga dengan Haji Suhut Ketimba,” balas Amirul. Pekat loghat utaranya.
“Astghfirullahal ‘azhim..Mana boleh buat macam tuu. Inilah masalahnya kalau tak faham agama dan terlampau ikut emosi. Dosa besar pun main redah saja,” keluh Hj Ibrahim sambil menghela nafasnya. Tangan kanannya dicekupkan ke mulutnya, petanda dia pun turut risau dengan ragam ahli qaryahnya.
“Ni dah Kira masalah ummah. La lagu mana, kita nak biaq macam tu ka?” Amirul bertanya lagi inginkan kepastian.
”Takpalah Mirul, nanti saya jumpalah dia orang berdua. Amirul pula jangan lupa doa kat saya tau. Supaya Allah bagi kekuatan nak selesai masalah ni,” jawab Hj Ibrahim meredakan kegelisahan Amirul yang nampak semakin ghaflah.
Putus hubungan
Kalau sudah tiga hari tak bertegur siapa, ini sudah kira ada niat dan bertekad hendak putus hubungan. Agama sudah putuskan, kalau tak bertegursapa dan putus hubungan kerana faktor duniawi, maka haram hukumnya.
Faktor duniawi? Ya seperti faktor harta, anak beranak, jawatan, pangkat, pengaruh, perniagaan, cemburu buta dan sebagainya.
Inilah yang Nabi saw maksudkan di dalam sabdanya: ”Tidak halal bagi seorang muslim tidak bertegur sapa dengan saudaranya lebih daripada tiga hari. Apabila bertemu masing-masing melari (menyisih)kan diri. Yang paling baik di antara mereka berdua ialah yang memulakan memberi salam”.
Sebab itulah kita tak boleh terlalu emosi yang akhirnya hanya memenangkan syaitan. Kena fikir masak-masak. Lihat secara rasional. Tanya balik: ”betulkah apa yang aku buat ni?”. Kena suluh dengan agama. Kalau tak suluh dengan agama, dengan iman, nanti akan berlaku, bukan setakat tiga hari orang tak bertegur, malah mungkin jadi 3 tahun atau 30 tahun!
Bagaimana kalau mati dalam keadaan demikian? Mati dalam tak bertegur sapa. Tak bermaaf-maafan. Mati dalam dendam yang tiada langsung usaha untuk dipadam. Apa kita ingat Allah akan belai kita dalam syurga?! Huhh, usah harap. Nantikanlah pertemuan dengan malaikat Zabaniah sang penggodam!
Berat dosa putuskan silaturahim ni. Macam dosa membunuh saudara kita yang diputuskan itu. Sabda Nabi saw: ”barangsiapa yang memutuskan hubungan dengan saudaranya selama enam hari, maka seolah-olah ia menumpahkan darah (membunuh) saudaranya itu.”
Kalau ada berlaku di kalangan kita, maka usah tunggu sampai petang. Zohor hari ini kita cuba selesaikan. Kalau datang kesedaran di sebelah petang, maka langsaikanlah kekalutan ini di awal malam. Mana tahu, mungkin tidur kita pada maalm ini, tidur yang terakhir.
Mulakan niat di dalam hati untuk memulihkan hubungan dan menjernihkan kekeruhan. Tiada siapa di belakang dunia ini yang tdak pernah melakukan kesalahan. Namun yang terbaik itu ialah yang memohon kemaafan dan yang terdahulu mengucapkan salam.
Usahakanlah perdamaian ini. Ya, pergeseran itu mungkin berlaku di rumah, di kejiranan, di pejabat, di masjid, di taman perumahan. Kita mesti mulakan perdamaian ini. Kalau tidak, usah harapkan perdamaian ummah di peringkat yang lebih global. Kalau dalam satu rumah pun tak boleh hendak bersatu, dalam satu masjid pun tak boleh nak berpakat, bagaimana pula ummah Islam di peringkat internasional dapat melakukan yang sama?
Ya, mari kita mulakan dari bawah. Damaikanlah supaya Allah melimpahkan kedamaian.
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
2 comments:
السلام عليكم ورحمة الله, Bersyukur kepada ALLAH kerana saya diberi kesempatan untuk sama ingat-memperingati diri saya dan saudara-saudara seagama saya yang lain kerana Firman ALLAH, وذكر فإن الذكر تنفع المؤمنين yang bermaksud "dan berilah peringatan, maka sesungguhnya peringatan itu memberi munafaat kepada orang-orang yang beriman".
Banyak firman ALLAH yang menyuruh kita menitikberatkan perkara-perkara yang berhubung kait dengan silaturrahim. Antaranya Firman ALLAH di dalam Surat Al-Hujuraat ayat 13,yang bermaksud, "Wahai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling kenal-mengenal,".
Dalam Firman ALLAH yang lain di dalam surah Aali Imran ayat 103 yang bermaksud, "Berpegang teguhlah kamu dengan tali (ugama) ALLAH dan jangan kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat ALLAH kepada kamu ketika dahulu (masa jahiliah) kamu bermusuh-musuhan, maka ALLAH menyatukan hati-hati kamu lalu menjadikan kamu kerana nikmat ALLAH, orang-orang yang bersaudara,...".
Begitu juga dengan Firman ALLAH di dalam Surah Al-Hujuraat ayat 10 yang bermaksud, "sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah (perbaiki hubungan) di antara saudara-saudara kamu itu, dan bertaqwalah kepada ALLAH moga-moga kamu beroleh rahmat."
Daripada firman-firman ALLAH yang saya nyatakan di atas, maka jelas kepada kita bahawa masalah silaturrahim bukanlah merupakan suatu perkara yang boleh dianggap kecil. Buat tak apa, tak buat pun tak apa. Bukan itu cara yang dianjurkan dalam Islam. Apatah lagi dalam perkara-perkara untuk meninggikan syiar Islam. Kita dianjurkan untuk bersatu agar Islam itu tinggi dan tidak ada agama lain yang lebih tinggi darinya. Maka untuk mencapai penyatuan ummah dan mengeratkan silaturrahim, hati perlu disirami dengan siraman taqwa dan dibajai dengan iman agar ia terus subur. Jangan dibiarkan ianya kering kontang.
Kita perlu menjadi hamba ALLAH yang bersyukur dengan nikmat yang ALLAH telah berikan kepada kita. Dan yang paling penting, kita hendaklah menjadi seorang yang pemaaf.
Jika kita baca tentang sejarah para sahabat, pernah suatu ketika Rasulullah menyatakan seorang lelaki itu ahli syurga hanya kerana amalannya. Apa yang menarik, lelaki ini tidak bangun untuk solat malam untuk membolehkan Rasulullah menyatakan demikian padanya. Tetapi amalan sebelum tidur lelaki ini yang menyebabkan Rasulullah berkata demikian. Setiap kali sebelum tidur, lelaki ini akan memaafkan semua orang yang telah melakukan kesalahan terhadap dirinya. Bayang kanlah betapa tingginya nilai kemaafan yang dapat kita berikan ikhlas kerana ALLAH.
Oleh itu, saya mengingati diri saya dan kita semua agar sentiasa memaafkan kesalahan orang lain, lebih-lebih lagi bermaafan sesama kita saudara seagama. Jalinkanlah ikatan ukhwah Islamiah yang mantap dalam meninggikan lagi syiar Islam. akhir kata dari saya Yusoff, Saujana Utama.
Allahu a'lam.
wa'alaikumus salam ya akhi. Benar sekali firman2 Allah itu. Satu perkara yg penting bahawa barangsiapa yg menghubungkan silaturrahim, Allah akan menghubungkan orang itu dgn diriNya dan barangsiapa yg memutuskan silaturrahim, Allah juga akan memutuskan hubunganNya dgn orang itu. Azab sekali bilamana Allah memutuskan hubunganNya dgn kitakan?
Post a Comment