Sebagai seorang Muslim, kita sentiasa dididik supaya tidak hanya melihat sesuatu perkara dan peristiwa itu pada pandangan lahiriah semata-mata, sebaliknya kita diperintah supaya membaca, melihat, merenung dan menilai sesuatu yang berlaku itu juga dari kacamata keimanan dan ketaqwaan.
Kenapa? Supaya hari-hari yang mendatang menjadikan kita semakin dekat dengan Allah, bukannya semakin jauh. Supaya rasa 'kehambaan' kita semakin subur mewangi.
Upaya melihat yang tersurat dan tersirat inilah menjadi kelebihan kepada generasi Ulil Albab sebagaimana yang nyata di dalam al quran. Mereka melihat bukan hanya dengan sepasang mata kasar bahkan dengan matahati jua. Melihat sesuatu letusan peristiwa dengan mata hati yang hidup, akan memantapkan ketauhidan seseorang Mukmin disamping menyerlahkan titik kebenaran.
Firman Allah swt dari surah Ali Imran ayat 191: Maksudnya:
"..(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan Ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksa neraka."
Melihat dengan suluhan keimanan bermakna kita sepenuhnya meyakini kewujudan, qudrah, iradah, tadbir, perancangan di dalam setiap cetusan peristiwa, baik kecil atau besar, suka ataupun duka.
Dalam tempoh yang terdekat ini, negara (bahkan seluruh) dunia sedang menghadapi pelbagai situasi negatif, atau dugaan dan musibah yang berskala besar. Di negara kita, dari aspek kesihatan contohnya ada dua situasi besar yang sedang berlaku. Pertama penularan wabak H1N1 dan yang kedunya ialah masalah jerebu yang semakin tebal.
Penularan H1N1
Harini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican melaporkan bahawa
WHO meningkatkan tahap amaran kepada fasa enam berikutan pertambahan kes membabitkan penularan tempatan iaitu di 22 negara berbanding 74 negara yang mencatatkan kes H1N1.
"Bagaimana pun orang ramai tidak perlu bimbang kerana setakat ini tidak ada penularan tempatan dan semua 11 kes positif yang direkod di Malaysia setakat ini adalah kes import," katanya lagi.
"Jika penularan tempatan berlaku di negara ini, kementerian terpaksa melaksanakan tindakan sekatan pergerakan seperti penutupan sekolah, institusi, membatalkan perjumpaan awam termasuk majlis perkahwinan bagi membanteras penularan H1N1," sambungnya lagi sepertimana yang termuat di dalam BeritaHarian Online harini.
Jerebu
Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan bahawa kKeadaan berjerebu yang melanda negara ketika ini bertambah buruk dengan Pelabuhan Klang, Selangor dan Cheras di Kuala Lumpur, berada pada paras tidak sihat dengan masing-masing mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 138 dan 107.
Pada sudut lahiriahnya, sememangnya kita wajib menjaga dan memelihara diri serta keluarga daripada terdedah kepada gejala kedua-dua situasi itu. Kita wajib mematuhi dan mengamalkan segala nasihat yang diberi oleh mereka yang telah diamanahkan demi mengelakkan mudharat dan risiko yang lebih besar.
Namun dari sudut rohaniahnya pula, kita harus melihat bahawa segala peristiwa, situasi yang berlaku itu sarat mengandungi teguran dan ingatan langsung dari Allah swt. Situasi yang berlaku bukan sekadar fenomena alam semata-mata sepertimana fahaman athies dan puak sekularism sebaliknya terserlah nyata pada segala peristiwa itu ayat-ayat (tanda-tanda) kebesaranNya. Renungan dan nilaian kita terhadap sesuatu peristiwa serta situasi itu hendaklah sentiasa berpandukan Al quran dan Sunnah Nabi saw.
Benar, banyak iktibar dan pengajaran yang tersurat dan tersirat di dalamnya.
Marilah sama-sama kita berdoa dan memohon keampunan Ilahi atas segala salah silap, dosa serta kekhilafan kita. Pada Allah swt kita pohonkan ke'afiatan, keselamatan, kesejahteraan daripada segala bencana, wabak, malapetaka yang melanda.Amin.
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
0 comments:
Post a Comment