INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Thursday, June 4, 2009

USAH PULANG DENGAN TANGAN KOSONG


Kembalinya sekelian hamba kepada Allah itu adalah satu kepastian yang tiada waham dan syak lagi padanya. Itulah kandungan pengertian apa yang kita sering baca.

Wa ilaikan Nusyur : Pada Mu lah tempat kembali.
Wa ilahin Nusyur : PadaNya lah tempat kembali.
Inna liLLahi wa inna Ilhai Raji’un : Kita datang dari Allah dan kepadaNya kita akan kembali.


Pulang dan kembalinya hamba kepada Allah itu bukannya ’kepulangan’ yang biasa. Ia adalah ’kepulangan’ yang luar biasa.

Ya, ia kepulangan yang luar dari kebiasaan kita.

Kita biasa pulang ke rumah selepas keluar bermusafir.
Kita biasa pulang ke rumah setelah sehari suntuk di tempat kerja.
Kita biasa pulang ke rumah setelah seharian di sekolah.
Kita biasa pulang ke rumah selepas sebulan lebih menjadi tetamu Allah di tanah suci menunaikan manasik haji.

Kita biasa pulang ke rumah setelah setahun berkhidmat sebagai anggota pengaman di luar negara.

Kita mungkin pulang ke rumah selepas 20 tahun merengkok di sebalik pagar besi atas hukuman dunaiwi.

Namun semua kepulangan ini ’tidak’ dapat menandingi ’kepulangan’ yang luar biasa ini.

Bertemu Rabb

Kenapa luar biasa?

Kerana kita akan kembali bertemu dengan Allah Yang Maha Pencipta. Rabb sekelian manusia.

Kerana setelah kepulangan hakiki ini, kita akan menerima pembalasan apa yang yang kita kerjakan di dunia.
Kerana kita akan di adili dan akan menghadapi sesi ’perhitungan’ yang maha berat. ’Al Faza’il Akbar!’.

Kerana kita akan diperlihatkan kebenaran segala apa yang telah dijanji, baik yang yang ternyata di dalam firman Ilahi maupun yang telah disabdakan Nabiyyil Ummiy.

Kenapa luar biasa?? Kerana setelah ’kepulangan’ ini, kita tidak akan kembali ke dunia lagi. Ya...untuk selama-lamanya. Selama-lamanya. Sebagaimana kita tidak kembali semula ke usia kanak-kanak dan keremajaan kita. Semuanya hanya tinggal kenangan.

Apa yang akan kita kenangkan?

Masalahnya, kenangan kita itu nanti kenangan yang manis atau pahit?
Kenangan yang mengembirakan atau memilukan?
’Air tangan’ kemuliaan atau ’air tangan’ kekejian?

Andai kita sudah pasti akan kepulangan dan pertemuan luar biasa ini, maka kita harus berbuat sesuatu.

Pengetahuan yang sudah bersifat ’pasti’ andai tidak disusuli dengan tindakan susulan menjadi bukti wujud keraguan yang bersarang di dalam dada.

Kita mesti mula bertindak..

Kita mesti melahirkan rasa suka untuk menghadapi kepulangan dan saat pertemuan itu.

Kenapa suka dan amat menantikan saat kepulangan dan pertemuan itu?

Kerana kita akan bertemu Rabb, Pencipta kita.

Tuhan yang telah berjanji... menganjari segala kebaikan yang dilakukan selama di dunia...
Tuhan yang masih ada tersimpan 99 bahagian rahmat lagi di sisiNya..
Tuhan Yang amat mengasihi kita..

Bertindaklah dan bersiaplah untuk ’pulang’.
Andai yakin yang kita pasti pulang jua akhirnya, maka usah pulang dengan tangan kosong. Usah pulang dengan rasa putus asa. Pulanglah dengan pengharapan. Kembalilah dengan persiapan. Pulanglah dengan kegembiraan dan kerinduan.

Firman Allah swt: ”Brangsiapa yang menharapkan pertemuan dengan Rabbnya, maka hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah dia mensyirikkan (mempersekutukan) seorang pun di dalam peribadatan kepada Tuhannya.” (Al kahfi: 110).

Berpeganglah kepada perintah Allah di atas. Insya Allah, banyak kenangan manis yang boleh disembangkan di dalam syurga saat saling mengucapkan tahniah dari atas katil-katil dan tilam empuk yang dihamparkan.


0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial