INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Thursday, June 11, 2009

GILIRAN SEORANG AYAH 'DICUAIKAN'


“Assalamu’alaikum kepada sekelian ayah-ayah dan bapa-bapa yang dihormati.”

“Apa khabar anda semua hari ini? Bagaimana pula anak-anak kita di pagi ini? Apa khabar anak-anak kita yang sedang bercuti? Bagaimana hubungan kita dengan mereka? Dalam kemesraan atau kerenggangan? Semakin rapat atau macam tidak sempat?

Apakah anak-anak kita semakin bertambah soleh dan solehah? Adakah akhlak dan adab mereka semakin halus menawan hati? Apakah mereka terdorong menunaikan perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya?”


Baru sahaja sambutan hari bapa berlalu pada 1 Jun lalu. Samada anak-anak meraikan kita atau tidak, kita tetaplah sebagai peneraju, induk dan pembimbing mereka menuju Allah swt. Kata Nabi saw bahawa kitalah ’pengembala’ itu yang akan ditanya berkenaan gembalaan kita.

Moga kita dapat mengambil beberapa ruang dan senggang di hari ini dan hari seterusnya (jika masih berkesempatan) untuk mendoakan kebaikan dan kesejahteraan buat anak-anak kita kerana menurut hadis Nabi saw bahawa doa ayah ke atas anak-anak itu mustajab.

Alangkah rugi bagi anak-anak yang ayah-ayah mereka tidak me’manfaat’kan kemustajaban doanya itu.

Tazkirah untuk anak-anak

Ambillah juga beberapa kesempatan untuk memberi nasihat dan tazkirah kepada mereka berkenaan tanggungjawab dan kefardhuan mereka kepada Tuhan dan sesama manusia sebagaimana yang yang diteladani oleh bapa contoh sepanjang zaman, Luqmanul Hakim.

Kesebokan kita mencari rezeki tidak boleh dijadikan alasan bahawa kita tiada masa dan tidak sempat menasihati dan mendidik anak-anak kita. Tidak pernah berubah bahawa hukum pendidikan telah menetapkan bahawa ibubapa adalah guru pertama kepada anak-anak mereka manakala rumah pula adalah sekolah pertama. Ya, kita adalah pengembala itu yang akan diseret ke hadapan Allah untuk menjawab berkenaan ’anak-anak’ kita.

Kerosakan anak-anak

Kerosakan akal budi anak-anak itu puncanya banyak sekali . Sekali tercalar dan rosak, susah yang amat untuk memulihkannya. Antaranya punca kawan-kawan yang bejat akhlak, punca makanan yang tidak ahal dan syubhah, punca rumahtangga yang berantakan dan juga berpunca dari bapa (penjaga)nya sendiri bahkan sebab-sebab yang diutarakan sebelumnya juga banyak perkaitannya dengan insan yang bernama bapa ini juga.

Rezeki yang dibawa pulang ke rumah, bukankah dari hasil usaha seorang bapa? Pengaruh kawan juga bukankah kerana bapa tidak menyusun dan mengenal pasti siapa kawan anak-anaknya? Rumah tangga yang haru biru juga bukankah berpunca dari si bapa yang gagal mentadbir dan menemudinya dengan baik. Ia sememangnya pahit untuk ditelan tetapi yakinlah muhasabah seumpama ini adlah penawar dan hadiah yang terbaik untuk diri sendiri dan untuk putera dan puteri kita.

”Kerosakan anak-anak banyak berpunca dari (asbab) pihak bapa yang rosak juga,” demikian As Syeikh Ibnul Qaiyyim mendedahkan pengamatan dan kajiannya.

Ya, bagaimana acuan, maka begitulah hasilnya. Bapa borek anak rintik.

“ (mereka juga)…mencuaikan (pendidikan) anak-anak, meninggalkan pengajaran berkaitan kefardhuan agama dan segala sunnahnya. Masa (zaman) kecil anak-anak telah disia-siakan percuma. Anak-anak tak dapat manfaat apa-apa dari ayah-ayah mereka pada saat itu lalu ayah-ayah juga tidak mendapat manfaat apa-apa daripada anak-anak mereka mereka saat tuanya mereka,” Sambung Ibnul Qayyim lagi. Semua perkara yang dibentangkan beliau itu benar belaka.

Ohh, berapa ramai lagikah bapa-bapa mukmin yang masih perihatin dan mengambil berat soal solat, akhlak, aurat, bersuci dan fardhu ain anak-anak mereka?

Berapa ramai lagi bapa yang mampu menangis, bimbang dan risaukan mengenai perkembangan syakhsiah dan sosial anak-anak mereka? Di saat membadainya gejala-gejala buruk lagi bernajis yang telah dan sedang merosakan akal budi mereka?

Ibnul Qayyim menyambung lagi: “ada dari kalangan anak-anak yang telah menyindir dan menyalahkan bapa-bapanya sendiri darihal ‘kederhakaan’ ini. Kata mereka: “wahai ayah, kamu telah menderhakai saya semasa saya kecil, maka sekarang saya menderhakai kamu pula semasa besar. Ayah telah mencuaikan saya semasa saya kecil, maka sekarang, setelah ayah tua, saya pula akan mencuaikan ayah.”

Sungguh ini adalah pengkhabaran dan pengalaman yang cukup menakutkan buat sekelian bapa-bapa yang beriman. Sekali lagi, jangan tinggalkan berdoa untuk anak-anak tercinta. Jangan sampai kesibukan duniawi membutakan kita dari tanggungjawab dan amanah berat kita. Bantulah kami ya Allah!

Rujukan: Muntaqal fawa-id ms 145 oleh Abi Abdullah Faisal bin Abduh Qaid Al Hasyiri.



0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial