AMPANG: Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadaNya jua kita akan pulang. Bila loceng kematian berdering, maka Malakul Maut tidak akan menangguhkannya walau sedetik jua. Memadailah kematian itu menjadi pengajaran paling berharga buat kita semua.
Siapa yang tidak kenal pelakon tersohor negara, Mohamad Shukery Hashim atau Shukery Hashim? Saya sendiri suka sekali melihat lakonannya yang berkesan sebagai Syeikh Hasyim di dalam drama bersiri, 'Cinta madinah' terbitan Layar Consult Sdn Bhd beberapa tahun lalu.
Kini, semuanya tinggal dalam kenangan. Beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, jam 1.45 petang semalam akibat barah pankreas tahap empat yang dideritainya sejak tiga bulan lalu. Secepat ia tahu mengenai barah yang dihidapinya, secepat itu jugalah ia berangkat pergi mengadap Ilahi.
Shukery, 55, dimasukkan ke hospital, Jumaat lalu bagi mendapatkan rawatan selepas mengadu sakit di bahagian perut.
“Sebelum ini arwah pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian pankreas 22 April lalu di Hospital Selayang dan sejak itu kesihatannya mula merosot,” cerita isterinya, Faridah Mat Desa, 51, berkata
“Sepatutnya arwah menjalani rawatan kemoterapi tetapi dia sering menangguhkannya atas pelbagai alasan. Jadi, apabila dia mengadu sakit, kami pun menghantarnya ke PPUKM.
“Sepanjang berada di sana, dia sering mengadu tidak dapat tidur kerana terlalu sakit. Malah ada ketika dia terasa kakinya seperti kudung kerana terlalu kebas dan meminta saya merendamkannya di dalam air,” kata Faridah ketika ditemui di kediamannya di Taman Fairuza, di sini.
Mengulas lanjut keadaan suaminya, Faridah berkata walaupun Allahyarham menderita, dia tidak pernah menunjukkan kesakitannya itu kepada anggota keluarganya yang lain.
“Ketika di hospital, arwah rancak berbual dan bergurau seperti waktu dia masih sihat dulu. Cuma dalam kami bersembang itu sempat juga dia berpesan menjaga anak kami dengan baik, terutama anak bongsu kami, Amirul.
“Dia mahu saya memberi tumpuan kepadanya kerana dialah satu-satunya yang masih di bangku sekolah. Jadi dia tidak mahu anak bongsunya itu terjebak dalam gejala kurang sihat.” Kata Faridah lagi.
Jenazah Allahyarham dikafan dan disembahyangkan di rumahnya sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat, selepas solat Asar.
Allahyarham meninggalkan lima anak, iaitu Norshikin, 28; Norizety, 26; Mohd Firdza, 25; Mohd Aidil, 22; dan Mohd Amirul, 14 serta tiga cucu yang berusia antara dua bulan hingga tiga tahun.
Semoga Allah merahmati dan mengampuninya. Al Fatihah…
BeritaHarian Online@sahabatamal
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
0 comments:
Post a Comment