Bapa yang beriman itulah bapa yang mithali. Bapa yang mendidik anak-anaknya sejak awal kelahiran mereka. Bapa yang tidak mahu rohaniah anak-anaknya tercemar dengan kotoran duniawi. Bapa yang mahu jiwa anak-anaknya terisi dengan zikrullah, ilmu, hikmah dan iman serta menyintai kebenaran.
Saat isteri melahirkan anak, dengan sepenuh kesyukuran, suami sekaligus seorang ayah bingkas mengendong dan mendukung si anak lalu mengalunkan azan ke telinga kanannya. Alunan yang syahdu, tulus menusuk kalbu mereka-mereka yang asyik rindu pada Allah Yang satu.
Monolog ayah
Nah anakku! Dengarkanlah kalimat-kalimat nan quddus ini. Dengarlah suara ayahmu ini. Dengarlah nama Tuhanmu yang Maha Agung lagi Maha Berkuasa. Resapkanlah ia ke dalam jiwamu bahkan ke seluruh urat sendimu. Bersaksilah bahawa Allahlah Tuhan Yang Maha Pencipta. Yang telah mencipta ayah, ibu dan dirimu juga sekelian makhluknya di maya pada ini.
Wahai anakku, sungguh ayah tidak rela andai saat engkau lahir kedunia ini, engkau telah pun diperdengarkan terlebih dahulu dengan kalimah-kalimah lain selain dari namaNya. Kerna itu, ayah tidak mahu melepaskan saat penting dan paling berharga ini.
Anakku, jadilah hamba Allah yang sebenar-benarnya. Yang beriman, berserah, taat dan patuh hanya kepadaNya. Usah kau menjadi hamba dunia, hamba manusia, hamba nafsu, hamba harta, hamba nama, hamba takhta, hamba kemahsyuran, hamba wanita dan seumpamanya.
Ingatlah duhai anakku, bahawa engkau diciptakanNya sebagai hamba dan khlifahNya di muka bumi yang sementara ini. Inilah asas dan maksud penciptaanmu di muka bumi ini. Engkau seharusnya selalu terikat dengan segala kehendak dan kemahuanNya sekira engkau mahu hidup bahagia di dunia sementara dan di akhirat sana. Bukannya asyik terdorong dengan kehendak dan kemahuanmu sendiri yang nyata sekali sentiasa di dominasi nafsu dan syaitan yang sememangnya memperjuangkan kerendahan akal budi, suka membantah dengan arahan Tuhan serta menonong memilih jalan kesesatan.
Azan Ringtones
Bagi bapa yang jahil dan fasiq, mereka tidak hiraukan sama sekali detik-detik penting dan amat bersejarah ini. Tanpa rasa cemburu apalagi rasa bersalah, mereka biarkan kalimat-kalimat lain menerjah lebih awal ke dalam telinga anaknya lalu menerobos masuk ke dalam jiwanya yang putih bersih bak kain putih ini. Amat malang bagi anak-anak yang punyai ayah sedemikian.
Kedapatan ayah-ayah yang tahu kelebihan azan di saat awal kelahiran ini, namun samada kerana kurang keyakinan, tiada pengalaman azan dan malu tak bertempat, maka azan tadi telah di’swasta’kan kepada orang lain yang tak berkenaan dengan dibayar sedikit upah. Alangkah sedih si anak apabila dia mengetahui suatu masa nanti bahawa orang lain yang telah ’diupah’ oleh bapanya supaya mengazankan ke telingannya. ’Oh ayah, keluh si anak.”
Seorang ayah yang lain pula, mendukung dan mengendong sianaknya yang baru lahir lalu diletakkan corong telefon bimbit miliknya ke telinga kanan anaknya. ”Nah anakku, dengarlah ringtone azan dari Masjidil haram ini.., maaflah ya, ayah tak pandai azan..bla bla bla,” bisik ayah ketelinga anaknya. Nurse-nurse di belakang berbisik-bisik: ”wah sedapnya suara abang kita ni.” Rupa-rupanya pakai handphone saja. ”Alahai, ayahku,” si anak mengeluh lagi.
Iqamat
Ayah yang beriman dan berilmu, akan mengiqamatkan pula ke telinga kiri anaknya selepas azan di telinga kanannya. Dia menuruti sedayanya pesanan Rasulullah saw. Ia faham sekalipun suruhan azan dan iqamat ini sebagai suruhan yang sunat, namun andai dilihat dari sudut hikmah, kesan dan implikasinya, maka pesanan Rasulullah ini tidak wajar diabaikan. Yang mengabaikannya adalah ayah-ayah yang tidak bersikap wajar. Melainkanlah andai si ayah itu seorang yang bisu, maka waris si anaklah yang mengambil tempat itu seperti atuknya atau bapa-bapa saudaranya.
Sesengguhnya anak yang diazan dan diiqamahkan ayahnya saat awal kelahirannya itu telah dipersiapkan dengan satu sistem ’keselamatan’ yang hebat. Anak yang bertuah itu telah dibekalkan dengan perisai dan aura kerohanian yang tinggi. Itulah kehebatan azan di dalam agama. Bukan sekadar seruan untuk menunaikan solat. Azan juga dikumandangkan saat berlaku rubut taufan, saat kebakaran dan lain-lain lagi.
Hikmah azan saat kelahiran adalah bermaksud supaya si anak sentiasa membesarkan Allah, hukum-hakam dan syiarNya selama hidup di dunia ini juga agar ia menjadi hamba-yang segera bergegas ke masjid dan surau saat azan dikumandangkan setelah usianya mencapai aqil baligh. Juga agar si anak terhindar dari gangguan serta mudharat syaitan yang bernama Ummu Sibyan yang ditugaskan secara khusus mengacau, mengganggu dan menyakat budak-budak. Itulah azan yang dikatakan sebagai perisai diri yang ampuh lagi terbukti ditakuti syaitan. Demikian yang tercatat di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al Baihaqi dan Ibnus sunni. Wallahu a’alam.
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
0 comments:
Post a Comment