INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Thursday, July 16, 2009

GANDINGAN YANG MENCETUSKAN CINTA HAKIKI

Biasa kita membaca dan mendengar peri pentingnya gandingan iman dan amal soleh di dalam kehidupan kita di dunia ini. Gandingan yang tidak dapat tidak itu menjadi pegangan yang kemas pada diri orang yang beriman. Sepanjang hidupnya, kedua prinsip itu tidak pernah terpisah bagaikan lagu dan irama. Bagaikan aur dan tebing. Andai terpisah, maka tidak sempurna dan bobroklah kehidupan manusia itu.

Selain gandingan itu, kita di fahamkan bahawa perlu adanya lagi gandingan berikutnya demi menjadi hamba yang dikasihi. Gandingan apa itu? Itulah gandingan Taqwa dan Akhlak mulia. Gandingan yang amat tepat lagi perlu bagi mengukuhkan ikatan hubungan kita dengan Allah swt dan sesama manusia.



Taqwa

Dalam berhubungan dengan Allah maka Taqwalah menjadi pengikat dan wasilahnya. Hanya dengan bertaqwa, barulah hubungan seorang hamba dengan Tuhan penciptanya akan menjadi baik dan elok. Tanpa taqwa, seseorang itu hanyut dan terlepas jauh dari tali Allah dan Allah juga telah ’berlepas tangan’ darinya.

Tanpa taqwa, hidup manusia menjadi sia-sia bagai mengejar sang fatamorgana. Akhirnya apa yang dikejar-kejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Tanpa taqwa, Allah tidak akan memahkotakan ’kemuliaan’ pada seseorang. Ini kerana, Allah tidak melihat pada rupa lahir dan warna kulit seseorang. Apa lagi pada nama, pangkat, harta dan kemahsyuran. Sebaliknya, nilaian Allah hanya pada ketinggian taqwa yang ada di dalam diri seseorang.

Firman Allah: “Sesugguhnya semulia-mulia kamu kamu di pandangan Allah ialah orang paling bertaqwa di kalangan kamu." (Al-Hujurat :13).

Akhlak Mulia

Bagi mengelok dan mengukuhkan hubungan kita dengan sesama manusia, maka kuncinya adalah mempergauli mereka dengan akhlak yang mulia. Dalam kata-kata yang lain, hubungan sesama insani hendaklah beroreantasikan akhlak mulia. Akhlak mulia dilestarikan samada ketika bertemu dan berpisah, ketika bergaul dan berkomunikasi, ketika bersembang dan berjenaka, ketika bertamu atau berziarah, ketika sihat ataupun sakit, ketika susah ataupun senang, ketika bersama keluarga atau khalayak ramai, ketika bermusyuarat atau berkenduri kendara, ketika berurus niaga atau pun bergotong royong dan seumpamanya.

Apabila setiap orang menjaga dan memelihara akhlaknya, maka sejahtera dan indahlah kehidupan manusia di dunia ini. Apabila setiap orang mengelokkan akhlaknya maka inilah yang dikatakan ’Hayatan Toyyibah’.

Apa yang kita lihat hari ini iaitu betapa cacamarba dan bobroknya hidup manusia akibat daripada mengabai dan meremehkan peri pentingnya gandingan dua unsur ataupun dua hubungan ini.

”Nabi saw telah menghimpun dan mengandingkan di antara Taqwallah dan Akhlak mulia. Sesungguhnya taqwallah mengelokkan hubungan hamba dengan Tuhannya, manakala akhlak mulia pula mengelokkan hubungan sesama manusia. Taqwallah mengundang cinta Allah manakala akhlak mulia mengundang kasih sayang manusia,” kata As Syeikh Al ’allamah Ibnul Qayyim Al Jauziyyah Rahimahullahu Ta’ala.

Jesteru, hiduplah berpaksikan taqwa, nescaya Allah akan mencintaimu dan hiduplah berlestarikan akhlak, nescya manusia akan mengasihimu. Nah, apa lagi yang kita mahu?



1 comments:

Zaman Shah said...

Moga kita benar-benar menjadi manusia yang bertaqwa dan mempunyai akhlak yang mulia.Segala tindak tanduk kita menuju ketaqwaan pada Allah.Akhlak adalah bunga diri serta jadikan pakaian kita sepanjang hidup kita.Hidup pasti bahagia.

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial