SEREMBAN: Salam Jumaat buat sekelian sahabatku, sekelian ummahku yang tercinta.
Remaja yang membesar dalam iman dan agama itulah satu daripada tujuh golongan yang bakal mendapat lindungan ‘Arasy Allah swt iaitu di hari mana tidak ada lindungan selain lindunganNya.
Remaja-remaja mithali inilah yang telah dicorakkan kedua ibubapa dan guru-gurunya yang soleh dan ikhlas dengan corakan iman dan taqwa. Dibentuk dengan akhlak Islami. Diasuh dalam suasana cintakan Al quran dan As Sunnah, cintakan kebenaran dan kesolehan. Dibina dengan matlamat, visi dan misi hidup yang jelas. Demi mencari redha Ilahi.
Remaja-remaja dalam kelompok ini, insya Allah dijamin tidak akan menconteng arang ke muka kedua ibubapa, tidak akan memeningkan kepala guru-guru, tidak akan merisaukan komuniti kejiranannya, tidak akan merosakkan agama dan tidak akan melingkupkan negara tercinta.
Namun, andai anak-anak kita khususnya remaja dibiarkan jauh dari petunjuk agama, renggang dengan Allah dan rasul, tidak terasuh dengan iman dan akhlak Islami, tidak terbentuk dengan matlamat hidup yang benar dan holistik, maka terjadilah apa yang terjadi. Berlakulah apa yang berlaku.
Keruntuhan demi keruntuhan. Kebejatan demi kebejatan. Kehinaan demi kehinaan yang realitinya hasil kerja tangan dan sikap kita sendiri. Walaupun cuaca dan kualiti udara dilaporkan semakin baik, tetapi akhlak ummah semakin ‘berjerebu’ lagi tidak menentu. Inikah makna dan erti kemerdekaan sejati yang akan kita sambut sekali lagi pada bulan hadapan?
"Selama 51 tahun yang lalu, penduduk berusaha untuk memerdekakan tanah air daripada penjajah. Walaupun negara kita telah mencapai kemerdekaan, malangnya hari demi hari, jiwa dan pemikiran kebanyakan daripada rakyat Malaysia masih dijajah. Ini termasuklah kebanyakan anak-anak muda yang lahir selepas tarikh bersejarah tersebut. Ramai dalam kalangan kita terikut-ikut dengan budaya hidup bekas penjajah. Dan ramai yang tidak sedar bahawa penjajah sentiasa berusaha untuk menakluk jiwa masyarakat kita. Buktinya, ramai masyarakat hari ini yang hidup tidak berlandaskan ajaran Islam dan lebih memuja budaya barat, banyak terlibat dalam aktiviti yang merosakkan diri, bangsa, agama dan boleh memundurkan negara, luah Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali.
Siapa lagi yang akan menangis dan merintih hiba untuk ini? Marilah ayah ibu! Marilah abang kakakku! Marilah adik-adikku! Marilah guru-guruku! Marilah para pendidikku! Marilah pemimpin-pemimpinku! Marilah Ummahku! Marilah kita menangis, bermunajat kepada Allah dan berikhtiar menyelesaikan masalah umat ini sebelum tiba hari dan masanya di mana manusia akan menangisi segala kesilapan dan dan kealpaannya dengan berair matakan ’darah’.
1 kerendahan daripada 1001 kerendahan
Lokasi: Dataran Seremban
Kehadiran sekumpulan remaja yang menjadikan tempat ini sebagai tempat mereka bermalam menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada orang ramai yang melalui kawasan itu, terutama perkara yang membabitkan pergaulan bebas dengan remaja lelaki dan perempuan tidur bersama.
Syair Arab ada menyebutkan bahawa: ”Sesuatu bangsa itu hampir runtuh bilamana akhlak ummahnya merudum jatuh”.
Bilakah ia bermula?
Sejak beberapa hari lalu, kumpulan remaja itu datang pada waktu malam dan tidur di dataran itu. Antara jam 7 hingga 8 pagi, mereka bangun dan mandi di kolam di situ, lalu beredar dari situ. Ada masanya, selepas jam 8 pagi pun masih ada yang terus lena tanpa mempedulikan pengguna jalan raya.
Ya Allah, siapakah ibubapa adik-adikku ini?
Apa yang menghairankan penduduk ialah remaja berkenaan seolah-olah tidak mempunyai keluarga kerana sanggup tidur di situ. Perbuatan tidak sopan seperti remaja perempuan tidur berbantalkan tubuh rakan lelaki mereka dilihat sebagai perbuatan yang mencolok mata dan ini dilakukan secara terang-terangan.
Tinjauan Berita Harian:
1. Kedapatan botol arak serta puntung rokok juga bersepah dan menyebabkan persekitaran kawasan itu menjadi kotor.
2. ”Saya dan rakan-rakan yang menunggu penumpang hingga lewat malam di depan dataran itu pernah melihat pekerja Majlis Perbandaran Seremban (MPS) meminta remaja berkenaan supaya tidak tidur di dataran itu, tetapi tidak dipedulikan. Kebanyakan mereka memakai pakaian tidak senonoh dan mencolok mata, malah ada yang mempunyai peralatan tidak sepatutnya seperti gari,” cerita pemandu teksi, Andrew Karupaya, 58.
3. ”Kami minta pihak berkuasa mengadakan rondaan di dataran itu, apatah lagi lokasinya yang strategik di pusat bandar. Setiap orang yang memasuki bandar ini akan melalui dataran itu dan sudah tentu ini memberikan imej buruk kepada bandar ini jika melihat sekumpulan remaja tidur dan mandi di kolam di situ seolah-olah mereka bebas melakukan apa saja. Tindakan tegas perlu diambil, sama ada oleh MPS atau polis supaya kumpulan remaja ini tidak lagi melepak di tempat terbuka itu," kata Nordin Bohari, 56, rakan kepada Andrew.
Terimakasih Andrew dan Nordin di atas keprihatinan anda berdua.
Sikap melawan dan kurang ajar
” Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan juga pernah bertindak terhadap remaja berkenaan, tetapi mereka bukan saja tidak mempedulikan arahan itu, malah bersikap kurang ajar,” kata Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ekonomi dan Sosial Islam Malaysia, Ghafar Nin.
Inilah keadaan anak-anak kita apabila sudah menjadi ’buluh’. Usia ’rebung’ mereka telah berlalu percuma tanpa asas agama yang kukuh.
”..Semua pihak meliputi pihak berkuasa, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat Islam perlu memberi perhatian terhadap gelagat kumpulan remaja ini yang ada sesetengahnya menindik hidung, lidah dan pusat kerana perbuatan itu adalah meniru budaya Barat yang tidak mementingkan agama,” rayu Ghafar Nin kepada sekelian umat Islam.
Apakah di hari-hari yang mendatang kita akan terus dihidangkan lagi berita dan peristiwa sebegini? Sallimna Ya Rabbana. Ra'idna min 'azabik.
Beritaharian Online@sahabatamal2009
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
1 comments:
Didikan dan asuhan dari usia kecil adalah sangat penting, ibu bapalah yang memberi didikan agar anak-anak menjadi anak yang soleh@solehah.Agama di terapkan dalam kehidupan sehari-harian dalam rumahtangga yang di bina.
Anak-anak di didik dengan prinsip-prinsip agama yang suci.Pendidikan,Hiburan,Bersukan dan sebagainya biarlah selari dengan aturan syariat agar anak-anak hidup dalam suasana islamik.
Sekadar pandangan saya Ustaz!
Post a Comment