INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Monday, March 23, 2009

WAHAI PERASUAH, LAKNAT ALLAH UNTUK KAMU!

Allah menegaskan pengharaman rasuah di kalangan umat Islam dengan berfirman: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya). (Surah al-Baqarah, ayat 188).

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : "Hadiah yang diberikan kepada para penguasa adalah suht (haram) dan rasuah yang diterima hakim adalah kufur." (Riwayat Ahmad)

Rasuah tidak akan berlaku jika hanya satu pihak yang wujud. Sekurang- kurangnya perlu ada dua pihak bagi membolehkan dosa rasuah berlaku. Oleh itu, kedua-dua pihak terbabit dikira melakukan perbuatan yang diharamkan Islam.

Malah, kedua-duanya dilaknat oleh Allah atas amalan keji itu. Dalam hal ini, Nabi Muhammad bersabda bermaksud: "Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah." (Hadis riwayat at-Tirmizi) Maknanya semua pihak yang terbabit dalam rasuah akan dilaknat oleh Allah. Perkataan laknat dalam al-Quran disebut sebanyak 37 kali.

Mereka yang dilaknat oleh Allah yang disebut dalam al-Quran antaranya:- * Iblis - "Sesungguhnya laknat-Ku tetap ke atasmu hingga hari akhirat." (Surah Sod, ayat 78) * Bani Israil - "Telah dilaknat orang kafir daripada Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampui batas." (Surah al-Maidah, ayat 78)

Jadi dalam kes rasuah, mereka yang mengamal rasuah memang setaraf dengan Bani Israil, iblis dan orang zalim yang lain kerana semuanya mendapat laknat Allah.

Laknat ini bukan saja terhad di akhirat, mungkin berlaku ketika si pelaku rasuah tadi hidup di dunia lagi. Mungkin hidup orang yang mengamalkan rasuah tadi tidak sebahagia orang lain.

Mungkin harta yang diperoleh cepat habis atau mudah hilang sama ada dicuri atau dirompak. Hal itu disebabkan tiada keberkatan dalam rezeki yang diperoleh. Mungkin juga dia cenderung untuk ditimpa sakit, kemalangan dan sebagainya.

Semua ini bala Tuhan yang jarang disedari oleh masyarakat kerana kurang mengaitkan bencana yang menimpa dengan salah laku yang dilakukan. Isu rasuah juga ada kaitan dengan sikap amanah.

Orang yang amanah tidak akan melakukan sesuatu yang di luar batas agama kerana tahu setiap amalannya akan dihisab dan dihitung di akhirat kelak. Ia tidak kira sama ada dia seorang pemimpin atau rakyat biasa, ketua atau pekerja biasa.

Jika sesuatu tugas dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah, rasuah tidak akan wujud dalam masyarakat, lebih-lebih lagi di kalangan masyarakat Islam yang percaya terhadap dosa pahala.

Mereka menyedari bahawa setiap amalan baik atau buruk dilihat oleh Allah. Semuanya dan dicatat oleh malaikat Raqib dan Atid.

Sumber: Laman Web IKIM

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial