INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Monday, March 30, 2009

SERINGAN-RINGAN SIKSANYA

Neraka Allah itu sesuatu yang pasti. Demikian juga azab siksanya. Itulah pengkhabaran Samawi lewat nuzulnya Al Quran serta perutusan Rasul Junjungan, kekasih Allah yang terpilih, yang telah berpengalaman dibawa Allah untuk melihat dengan mata kepalanya sendiri tanpa syak, ragu maupun kekhuatiran. Pengalaman benar lagi sangat nyata betapa baginda saw melihat neraka dan segala kesengsaraannya yang tidak terkata iaitu saat berlangsungnya peristiwa Isra dan Mikraj.


Maka, itulah antara keyakinan yang harus ada lagi terpasak di dalam jiwa mukmin sebagai tanda bulat pengesahannya dan bukti sempurna imannya pada Yaumul Akhirah. Gerun pada pengkhabaran neraka itulah mudah-mudahan menjadi perisai diri setiap kita daripada amukan badai nafsu syahawat Bahimiyah yang tidak pernah puas-puas, siang dan malam meranduk dan menggomoli dosa dan kemaksiatan.


Siksa neraka itu maha dahsyat sekali sehingga Nabi saw bersungguh-sungguh menasihati kita agar setiap hari, jangan sekali-kali lupa untuk memohon kepada Allah agar dijauhkan dari bakaran siksanya hatta agar dijauhkan juga dari melihat rupanya juga. Kerana, sekadar melihat julangan apinya sahaja sudah menjadi azab yang tidak tertanggung sakitnya di dalam jiwa. Apatah lagi andai seseorang dicampak Zabaniyah ke sana sebagai kayu api atau bahan bakarnya dalam keadaan dan rupa mereka yang sangat kasar dan amat bengis.


Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman berfirman:
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api Neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya Malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” [At-Tahrim : 6]


Lihatlah apa yang terjadi kepada Abrahah, tentera dan gajah-gajah liarnya setelah meredah masuk ke kota Makkah untuk memusnahkan Kaabah dan penduduknyanya? Mereka hangus, hancur lebur, rentung bersama kerakusan, ketamakkan dan dendam yang tak sudah. Kemusnahan yang terjadi atas diri mereka digambarkan Al Quran macam dedaun yang robek di makan ulat iaitu setelah mana dihujani kerikil-kerikil neraka yang dilontarkan sekawanan Ababil atas perintah Allah swt.

Kesan dan impak kerikil nereka yang kecil sahaja sudah menghancur luluhkan tentera Abrahah yang kuat itu. Bayangkan bagaimana keadaan dan nasib penghuni neraka yang digodam siksa sepanjang masa, setiap ketika tanpa henti-henti dan untuk selama-lamnya? Wal ‘iyazubillah.


Kerana itu, usah bermain-main dengan dosa sekecilmana pun dosa itu kerana balasannya adalah azab yang telah dijanjikan. Demikian juga, siksa neraka itu usahlah diremeh-remehkan sekecil dan seringan mana pun ia kerana pasti tiada siapa pun tahan untuk menanggungnya. Penghuni neraka yang dikenakan seringan-ringan azab neraka merasakan bahawa dirinyalah orang yang paling berat disiksa walhal keadaan adalah sebaliknya dan lebih dahsyat dari apa yang disangkakannya.


Daripada Nu`man Bin Basyir radhiallahu anhuma berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda : "Sesungguhnya seringan - ringan siksaan siksaan penghuni Neraka pada hari Qiamat ialah seseorang yang akan diletakkan di bawah dua telapak kakinya dua bara api neraka sehingga mendidih otak yang ada di kepalanya.(dari sebab panasnya kedua bara api neraka tersebut) Dia mengira bahawa tidak ada orang lain yang lebih dashyat siksaan daripadanya, padahal dialah orang yang paling ringan siksaannya". (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim).


Anda tahu siapakah di antara insan yang akan dikenakan seringan-ringan siksa neraka ini? Anda tentu saja sangat kenal dengannya kerana ia amat dikasihi Nabi saw bahkan dia sangat mengambil berat terhadap kehidupan Nabi saw setelah mana kewafatan ibu dan nindanya, Abdul Mutalib. Dialah Abu Talib, bapa saudara Nabi saw. Panjang sekali tangisan dan kesedihan Nabi mengingatkan nasib dan takdirnya, namun Allah jua yang Maha Adil, Saksama lagi Maha Mengetahui.

Dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda: ” Seringan-ringan azab penduduk neraka ialah azab yang dideritai oleh Abu Talib. Dia memakai sepasang terompah yang membuatkan otaknya menggelegak.” (Muslim)


Sekali lagi, kenapa Nabi bersedih? Kerana bapa saudara baginda merupakan seorang yang baik budi pekertinya, jujur dan mempunyai kesabaran yang tidak ada bandingannya bila menemui atau menghadapi sesuatu kesulitan atau cabaran hidup. Beliaulah yang memelihara nabi setelah kematian datuknya Abdul Muttalib. Baginda selalu dilindungi oleh bapa saudaranya ini daripada ancaman musuh dakwah baginda. Namun begitu di saat akhir kematiannya, Abu Talib tidak sempat beriman, tidak sempat memeluk agama Islam.


Dalam sebuah hadith riwayat Muslim dikatakan bahawa ketika Abu Talib, bapa saudara Rasulullah SAW dalam keadaan tenat, Rasulullah menghampirinya sedangkan ketika itu ada Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayah, Rasulullah mengajak Abu Talib mengucapkan “Laa ilaha illalLLah”, namun Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah memujuknya agar tetap mengikuti agama Abdul Muttalib.


Demikian seterusnya berlaku hingga Abu Talib meninggal dunia tidak dalam keadaan beriman, lalu Rasulullah bersabda “Demi Allah aku akan meminta ampunan Allah (untuknya) selagi tidak dilarang, lalu turunlah ayat surah Taubah:113-114 yang maksudnya “:


Tiadalah sepatutnya bagi Nabi Muhammad dan orang-orang yang beriman meminta ampun kepada Allah bagi orang-orang musyrik, walaupun mereka itu adalah kaum kerabatnya, setelah jelas bagi mereka, bahawa orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka Jahannam. Dan keampunan yang dipohon oleh Nabi Ibrahim a.s. untuk bapanya, tidak lain hanyalah kerana suatu janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya. Tatkala jelas bagi Nabi Ibrahim a.s. bahawa bapanya itu adalah musuh Allah maka Ibrahim berlepas diri daripadanya.

Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.”


Nota: Mendo’akan orang kafir yang masih hidup hukumnya harus, seperti yang dilakukan oleh Rasulullah ketika berhadapan dengan perlakuan buruk dari kaumnya yang musyrik, doa baginda:”Ya Allah tunjukkanlah kaumku kerana mereka tidak mengetahui” dan Rasulullah juga pernah berdoa agar Umar memeluk Islam hingga akhirnya dikabulkan oleh Allah. Namun begitu mendoakan orang kafir yang telah meninggal dan diketahui ia meninggal dalam keadaan kafir, hukumya haram seperti yang dijelaskan dalam ayat di atas.

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial