Sebagai seorang mukmin, Nabi saw menegah kita daripada bersikap lemah. Tak kiralah samada lemah fizikal, lemah minda lebih-lebih lagi lemah jiwa dan lemah iman. Tidaklah dinafikan bahawa orang beriman terbahagi kepada dua golongan. Pertama golongan Al Mu’minudh Dho’if yakni Mukmin yang lemah dan kedua adalah golongan Al Mukminul Qawiy yakni mukmin yang kuat. Kedua-dua golongan mukmin ini baik-baik belaka menurut Nabi saw. Islam meraikan kedua-duanya. Akan tetapi Nabi saw juga turut menegaskan bahawa mukmin yang terbaik lagi disukai Allah adalah Al Mu’minul Qawiy.
Biasanya, seorang yang merasakan dirinya lemah serba serbi akan berhadapan dengan sindrom tidak percaya dan kurang yakin pada diri sendiri. Bila tak yakin atau kurang yakin pada diri, maka hidup tidak jadi produktif bahkan semua perkara dilihat negative.
Jesteru bila dilihat Islam lemah, bukan kerana manhaj dan ajarannya lemah (Maha Suci Allah), kerana tiada yang lebih suci, agung dan tinggi selain Dinul Islam. Hakikat yang harus kita telan walaupun pahit ialah yang lemah, tidak berdaya dan tidak kuat itu adalah penganut Islam itu sendiri. Penganut Islamlah yang sudah tidak berpegang teguh dengan ajaran dan manhajnya yang suci. Penganut Islam jugalah yang yang meminggirkan islam jauh-jauh dari hidup mereka. Penganut Islamlah yang telah melupakan Allah sehinngga mereka dilihat musuh sebagai orang-orang lemah!
Maka untuk memastikan Islam sentiasa berada di dalam kondisi yang kuat dan bersiap siaga, umat Islam mestialah berani mengubah sikap dan persepsi negatif mereka sendiri. Mereka hendaklah bangun segera lalu menyingkirkan selimut kelemahan yang menutupi tubuh sejak sekian lama.
Islam tentunya berbangga dengan seorang umat yang sumbangannya terhadap agama seperti tenaga 10 orang, 8 orang, 6 orang 4 orang atau paling tidak tenaga dan sumbangan 2 orang. Dalam kata-kata yang lain muslim yang bersifat ‘multi-task’. Inilah hamba yang dikasihi Allah. Masih adakah muslim-muslim hebat dan cemerlang ini? Ramaikah lagi muslim dan muslimah yang berjiwa kesatria sebegini?
Dewasa kini, apa yang kita sedihkan ialah bagaimana untuk menjadikan gerak kerja dan memaksimakan sumbangan sebagai seseorang individu muslim pun tidak dapat dapat dan tidak tercapai apa lagi kalau hendak berperanan sebagai sebegai 2 orang muslim. Kenapa?, Kerana masalah dalaman. Dek kerana kelemahan aqidahnya, kedunguan mindanya, kecelaruan identitinya dan kerendahan akalbudinya,. Maka kehidupan seseorang itu menjadi kosong dan sia-sia sahaja. Dia bukan sahaja tidak dapat memberikan manfaat pada umat Islam lainnya, malah untuk dirinya semdiri pun tidak dapat. Dia bukan sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah orang lain bahkan masalah dirinya pun bertimbun-timbun banyaknya.
Sebab itulah tidak hairan untuk kita katakan betapa Jumlah kaum muslimin di seluruh dunia ini teramat-amatlah ramai tetapi yang benar-benar berperanan, mantap, berketrampilan, berfungsi dan menjadi asset kepada agama itu adalah di dalam jumlah yang amat kecil sekali.
Genarasi masa hadapan sangat kita harapkan bahkan pada mereka jugalah sandaran kita bagi mengangkat Islam dan sekelian syiarnya ke persada yang tertinggi. Namun, andaikata kita tinggalkan mereka dalam keaadaan lemah tidak bermaya lagi tidak berdaya dalam serba serbinya, apa agaknya akan terjadi pada agama dan negara tercinta untuk tempoh 10 tahun akan datang? firman Allah SWT dalam An-Nisa, ayat 9 yang bermaksud : “Dan hendaklah takut kepada Allah, orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap kesejahteraan mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar”.
Oleh itu, wahai sekelian saudara saudari seaqidahku, janganlah kita bersikap lemah supaya hidup kita penuh hemah lagi berkaramah. Usahlah bersikap lemah agar Islam tidak ditohmah.
0 comments:
Post a Comment