INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Friday, July 30, 2010

BUKAN HABUAN YANG KAMI KEJARKAN


"Bukan habuan yang mereka kejar," ujar Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, 26, dan Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27, dua jejaka muda yang tampak tenang dan cukup berkeyakinan. Kredibiliti mereka terserlah, walau tampak sedikit getar di dada menghitung detik kemuncak pertandingan realiti televisyen berunsur keagamaan terbitan Astro Oasis, Imam Muda.

Ya, malam ini, pukul 9 malam, edisi terakhir mereka di dalam program Imam Muda. Antara mereka, seorang akan dinobatkan sebagai juara sulung program keagamaan yang telah menarik minat media dan masyarakat dunia ini.

Sejak awal musim Imam Muda, niat mereka menyertai penyertaan program ini bukan bertujuan mengejar habuan dan populariti. Bukan itu keinginan asal mereka. Masing-masing mereka punya misi tersendiri untuk dicapai.

" Melihat kepada sambutan dan harapan semua, sekarang adalah jalan terbaik buat saya sampaikan sesuatu kepada masyarakat kelak. Ia bukan lagi bersifat untuk kepentingan peribadi," kata Asyraf tanpa teragak-agak.

IMPIAN MAHU MENJADI IMAM
"Saya tidak mempunyai sasaran untuk menang. Sebaliknya, sejak awal tertarik menyertai program ini dulu adalah mahu menebus mimpinya untuk menjadi imam. Dia melihat Imam Muda mampu menjadi platform terbaik untuk merealisasikan mimpi tersebut, "ujar Hizbur pula.

"Gambaran awal saya tentang program ini adalah ia platform terbaik buat saya mencapai misi menjadi imam. Kalau tidak dapat duduk di masjid besar, duduk di surau pun jadilah. Namun rupanya, apabila program mula berjalan, gambaran saya itu jauh tersasar. Pengalaman dan ilmu yang saya kutip di sini lebih daripada gambaran saya. Ia cukup besar dan luas. Saya bersyukur kerana mampu bertahan untuk terus mencari ilmu daripada semua yang terbabit dalam program ini, " sambung Hizbur lagi.

Berulang kali mereka tegaskan betapa mereka enggan memikirkan soal ganjaran. Apa yang penting ialah agar pembelajaran serta paparan yang diberi setiap minggu mampu menjadi teladan serta ilmu yang boleh dikongsi bersama.

PERKARA YANG BAIK WAJAR DIBERIKAN PUBLISITI MELUAS

Ketika ditanya wajar atau perlukah publisiti yang meluas sebegini diberikan kepada karya yang bersifat keagamaan seperti imam, Hizbur yang berkelulusan Muda Sarjana Muda Syariah daripada Universiti Al-Azhar, Mesir dan Asyraf sebagai penuntut Ijazah Sarjana Muda Usuluddin & Fiqh dari Universiti Malaya berkata: " Ia amat perlu. Program yang menyebarkan dakwah Islam seperti ini yang harus dibangga dan dihebahkan ke seluruh dunia. Dan publisiti yang meluas itu tidak salah agar segala kebaikan tersebar dengan cepat."

Mereka berkata lagi: "Publisiti amat penting dan perlu untuk program seumpama ini. Tentang ilmuwan agama pula, seseorang pendakwah itu perlu terkenal untuk menarik banyak orang mendengar ceramah mereka. Jika kurang dikenali, orang pun tak mahu pergi ke masjid atau lokasi ceramah untuk mendengar ceramah."

Memang benar. Usaha untuk menonjolkan segala kebaikan dan sifat yang dibawa Nabi Muhammad SAW perlukan platform dan publisiti sebegini. Hanya melalui hebahan dan siaraya, matlamat untuk meninggikan syiar Islam akan terlaksana dengan jayanya. Semoga usaha mulia ini berjaya.

KAMI JUGA INSAN BIASA

Tidak dinafikan bahawa harapan masyarakat yang mahu mereka tampil sebagai ikon itu satu tanggungjawab dan kepercayaan yang amat berat untuk dipikul, namun jika platform ini adalah jalan terbaik mempengaruhi masyarakat, mereka tidak akan mensia-siakannya.

"Senang untuk saya katakan, kami juga manusia biasa, bukan malaikat dan akan berusaha untuk memberi pengaruh yang terbaik kepada masyarakat," kata Hizbur yang senang menggunakan pendekatan 'memandu' berbanding menghukum.

Asyraf kemudian menambah pernyataan Hizbur: "Sebab itu kita gunakan status Imam Muda. Bukan imam hebat atau sebagainya. Oleh sebab itulah, kami semua muda dan masih banyak perlu belajar. Kami belajar bersama-sama, ini yang harus dilihat oleh semua orang. Selagi kami diberi kepercayaan, selagi itu kami akan sama-sama membantu ke arah kebaikan. Insya-Allah.

Saya rasa ini luahan rasa mereka yang amat menyentuh hati. "Kami tidak mahu disamakan dengan superstar hiburan. Atau dikatakan superstar Imam Muda. Sebaliknya lebih molek kalau dikatakan kami sebagai penyambung dakwah superstar sebenar kita yang semakin dilupakan iaitu Nabi Muhammad SAW."

Sumber: Kosmo Online

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial