INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Friday, July 16, 2010

BERMULA DARI NIAT

Indahnya Islam kerana ia sentiasa menyeru umatnya agar berfikiran positif dan melakukan amalan yang positif. Seluruh ajaran Islam amat jelas dan tuntas bahkan misinya teserlah Syumul dalam kehidupan nyata.

Di dalam lingkungannya yang unik dan tersendiri, Islam mencetuskan banyak sektor yang sangat luas untuk umatnya buat mengerjakan sesuatu yang soleh dan makruf. Manakala perbuatan makruf itu pula adalah manifestasi seseorang Muslim dalam menyatakan kecintaannya pada kebaikan dan objektifnya semata-mata mencari keredhaan Allah SWT.

Kerana sifat ajarannya yang tulus dan tuntas, maka Islam amat tidak setuju dan tidak menginginkan amalan-amalan yang dilakukan umatnya hanya terbina pada kerangka lahirnya semata-mata atau sekadar penonjolan sifat luarannya sahaja. Lebih-lebih lagi andai amalan yang dipersembahkan itu diwarnai riya, 'ujub, tipuan (Ghurur) dan sandiwara. Ini kerana sejak awal lagi bahawa Islam amat menitik beratkan soal 'RUH' dan prinsip yang diperjuangkannya seperti kerahmatan, kasih sayang, keadilan, ketulusan, kebenaran, kejujuran, pengabdian dan menunaikan amanat. Islam menginginkan agar terbina gandingan hasil nyata dan isinya, rohani dan jasmaninya.

Berasaskan matlamat mulia inilah Rasulullah saw diutuskan Allah SWT bagi memimpin umat dan menjelaskan kepada mereka tujuan-tujuan mulia yang hendak mereka capai. Baginda SAW hadir bersama sunnahnya yang bertindak menyinari sepanjang perjalanan manusia di dunia ini supaya mereka tidak tersesat saat menelusurinya.

Perutusan kerasulan ini amat penting sekali. Baginda bersama al quran dan sunnahnya berfungsi umpama menara cahaya yang terang benderang di saatmana dunia sedang parah diliputi kegelapan rohani, kebutaan nafsu, kebusukan jiwa hinggakan gerak kerja majoriti warganya sedang digerakan oleh niat-niat yang palsu, direncana oleh agenda yang haru-biru, dipandu oleh syahwat yang terburu-buru.

Sabda Nabi SAW: "Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung dengan niat." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sabda Nabi saw di atas adalah pembuktian Ruh, prinsip, asas, ketelusan, kebenaran dan kejujuran ajaran Islam. Apa maksudnya?

Semua perbuatan dan ucapan (seseorang) itu tidak akan dianggap benar, sempurna dan dapat diterima (Maqbul) di sisi Allah kecuali berdasarkan niat-niat yang baik, tujuan-tujuan yang bersih serta faktor-faktor yang mulia. Benar, segala amalan manusia dinilai bersumberkan niat-niat yang 'tersembunyi' disebaliknya.

Di manakah letak dan tempatnya niat? Tempatnya di dalam hati. An Niyyah Mahalluhal Qalb. Di dalam hati manusia. Maksud niat pula adalah: "Menyengajakan berbuat sesuatu bersama dengan membuat (mengerja)kannya."

Maka, marilah kita berniat kerana Allah agar amalan kita layak dinilai, diberi perhatian dan diterima olehNya. Hanya orang jahil sahaja yang tidak ambil peduli soal niat kerana barangkali ia tidak ada ilmu tentangnya ataupun mungkin anggapannya niat itu soal remeh temeh sahaja.

Selamanya kejahilan menjana kerugian dan penyesalan. Rugi kerana perkataan dan perbuatannya tidak di nilai pahala. Menyesal tak sudah kerana menyangka bahawa segala amalannya diterima sempurna walhal dalam catatan amalnya kelihatan kosong belaka.

Singkirkanlah kejahilan. Hindarkanlah ketidakpastian.

Sama-sama kita mendengar pandangan para ulama dan mengambil nasihat para hukamak. Kata-kata siapa lagi yang harus kita dengar dan dari siapa lagi kita patut mengambil panduan dan nasihat kalau bukan dari mereka? Merekalah waris perjuangan Nabi saw di akhir zaman ini.

"Aku menyukai setiap orang yang melakukan amalan berupa solat, puasa atau sedekah atau kebaktian apa sahaja, asalkan ia mendahulukan niat sebelum melakukannya," ujar Imam Ahmad ibn Hanbal.

Keheningan jiwa dan kedamaian rohani amat penting dalam membentuk niat-niat yang murni. Supaya saat berniat kita benar-benar konsentrasi.

Ketika menjawab soalan Al Fadhil bin Ziyad berkenaan bagaimana kedudukan niat di dalam amalan, Imam Ahmad berkata: "Jika hendak melakukan sesuatu amalan, seseorang itu harus konsentrasi (memberi fokus dan tumpuan) penuh dengan mengabaikan sesama manusia."

Demikianlah teladan konsentrasi Nabi SAW. Baginda benar-benar fokus kala mahu mengadap Allah Rabbul 'Alamin. Saat mencerita keadaan Rasulullah SAW ketika baginda mendengar azan, Ummul Mukminin, Aisyah rdha berkata: "Beliau biasa berbincang-bincang dengan kami dan kami pun berbincang-bincang dengan beliau. Apabila waktu solat tiba, maka seolah-olah beliau tidak mengenali kami dan kami pun tidak mengenali beliau."

Berikut pula adalah kisah Nafi' bin Jubair Rahimahullah.

"Apakah anda hendak menziarahi jenazah?" tanya seorang kenalan padanya. Jawab Nafi': "Ya, sepertimana yang kamu lihat. Namun aku harus berniat terlebih dahulu." Setelah tampak berfikir dan berkonsentrasi seketika, Nafi' berkata kepada kenalannya: " Jom kita berangkat." dia melangkah penuh semangat, penuh keyakinan bahawa langkahnya itu benar-benar tulus dan tuntas, tanpa bercampur aduk dan bersimpang siur dengan niat-niat yang lain.

Rujukan: Fi Rihab as Sunnah al Mutohharoh: Al Fadhil Dr Abdullah Syahaatah.

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial