INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Monday, July 26, 2010

PANAH BERACUN : SIAPA YANG KENA?


Kita lihat siapa yang kena? Ramai yang sudah terkena sebenarnya. Susah betul nak elak. Kalau tak kuat iman, memang terkena punya. Saya sendiri pun antara orang yang dah terkena. Anda mungkin tidak kena. Semoga Allah beri kekuatan.
Persoalannya, terkena apa?

Apa lagi, terkena panahan Iblislah. Beracun pula tu.

Sedar ataupun tidak, panahan beracun yang dibidik sang Iblis menghunjam tepat mengenai sepasang mata yang memandang sesuatu yang diharamkan Allah. Contohnya: Saat seorang melihat dan meratah aurat wanita yang terdedah di depan matanya termasuklah di dada akhbar, tv atau internet, maka pandangan matanya kala itu sebenarnya telahpun terkena bidikan panah beracun sang Iblis.

Sabda Nabi SAW: "Pandangan mata itu adalah anak panah daripada panah-panah Iblis. Maka barangsiapa meninggalkannya (mengelakkannya daripada melihat wanita) kerana takut kepada-Ku, nescaya Aku (Allah) ganti dengan iman yang dirasakan lazat-manisnya dalam hatinya." (Riwayat Thabrani dan Hakim daripada Ibnu Mas'ud.)

BAGAI KUBU SANG IBLIS
Dari arah mana iblis membidik panah beracunnya? Ketahuilah, bahawa objek 'terdedah' yang 'HARAM' dipandang seseorang itu bagaikan (umpama) kubu sang Iblis untuk melepaskan bidikan panah racunnya yang berbisa itu. Aduh, satu pandangan ke arah yang haram mengundang satu anak panah yang beracun terpacak menjunam ke sepasang mata kita.

Yang selamat, yang tidak terkena panahan beracun Iblis itu adalah mata sekelian hamba yang mukminin. Hamba yang tunduk mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Hamba yang takut dituangkan cairan panas neraka ke dalam matanya. Hamba yang sedar bahawa mata adalah amanah Allah SWT ke atas dirinya.

Firman Allah SWT: “Katakanlah kepada laki-laki yang beriman, "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat". (QS. An-Nur :30)

KESAN RACUN
Sebagaimana yang kita tahu, yang dinamakan racun itu ada kesan dan pengaruhnya bila terkena pada diri seseorang. Begitulah jadinya apabila panahan beracun Iblis telah mengenai mata seseorang. Kesannya berpanjangan sekalipun 'objek' yang dipandang telah berlalu pergi. Benarlah kata-kata: “Dari mata, turun ke hati.” Racun yang memenuhi mata, sedikit demi sedikit, mula merembes dan merebak ke ulu hati.

Aduhh...,Sekalipun anak panah yang menusuk 'mata' telah pun dicabut dan dibuang jauh-jauh, namun kesan racun yang berbisa terus tersebar ke seluruh tubuh dan ke segala urat sendi.

Itulah matlamat sebenar syaitan. Pandangan mata (anak panah) itu hanyalah utusannya, namun racun berbisa yang ada pada anak panah (kesan pandangan mata) itulah tujuan terbesarnya. Akibat pandangan (panahan berbisa) itu, fikiran mulalah bercelaru, tidak keruan, jiwa mula menggelisah, menyemai benih berahi dan mengaktifkan nafsu serakahnya.

Kesan racun panahan Iblis ini akan lebih cepat berkesan bilamana luntur rasa takut kepada Allah dan bilamana titik-titik hitam semakin menebal di dalam hati.

TARGET JANGKA PANJANG IBLIS
Seandainya tidak 'ditawar' racun yang bersebar dari panahan Iblis tadi dengan kadar segera, ia akan membuatkan seseorang semakin berani melanggar segala yang dilarang Allah, semakin berkelakuan tidak senonoh, semakin hanyut, kecanduan, senang hati dan berbangga dengan kemaksiatan yang dilakukannya.

Objek yang dijadikan syaitan sebagai tempat melepaskan panahan beracunnya sudah tentulah kaum wanita. Namun wanita yang bagaimana? Itulah wanita-wanita yang tidak beriman kepada Allah dan hari Akhirat, wanita-wanita yang tidak mensyukuri kemuliaan dirinya, wanita-wanita KA-SIYAT (yang berpakaian, namun masih bertelanjang), wanita-wanita yang hilang rendah maruahnya dan hilang sifat malunya.
Wanita-wanita yang beriman, insya Allah sangat sedar akan hal ini. Mereka tahu, andai tersilap langkah, syaitan akan menjadikan dirinya senjata yang paling efektif dalam kerangka memerangkap dan memusnahkan iman serta agama mereka yang bergelar kaum Adam maupun mereka bergelar Hawa juga.

Benar sabda Rasulullah SAW. Tiada fitnah terbesar buat manusia selepas peninggalannya yang lebih merbahayakan kaum lelaki mereka melebihi fitnah kaum wanita mereka. Demikian juga, fitnah pertama yang melanda kaum Bani Israel suatu masa dulu juga bersumber dari wanita.

Catatan ini usah ditanggap dan dihadam secara emosi atau melulu, sebaliknya ditangani penuh insaf dan sedar bahawa ia merupakan ingatan-ingatan lampau yang telah disebar dan sampaikan oleh pemangku risalah, Sayyiduna Muhammad SAW.

Allah memerintahkan kita mengekang dan mendidik nafsu sebaliknya syaitan mahu memperkudakannya supaya anak Adam jadi terkutuk dan tercela hina bersamanya di dalam kawah neraka. Panahan beracun yang dibidik syaitan tidak lain supaya nafsu serakah (seks) manusia jadi membuak-buak kehausan, jadi liar dan buas tidak terarah dan akhirnya dilampiskan secara keji dan dibenci Allah SWT. Itulah perbuatan (dosa) zina yang merupakan seburuk-buruk jalan yang diredah manusia.

Bila manusia menuruti nafsunya, maka nafsunyalah yang menjadi tuhannya kala itu. Maka, ber'maharajalela'lah nafsu di jagat raya ini. Lihatlah, fitrah manusia jadi kacau bilau. Aurat semakin terbuka, terlondeh sana-sini. Sekolah menjadi 'port' aktiviti bercouple di kalangan para pelajarnya. Agensi perlacuran atau 'bisnes tubuh' sangat laris. Sosok 'kemungkaran' telah dipakaikan baju kemuliaan. Aktiviti perzinaan menjadi ketagihan. Harga diri tidak menjadi penting lagi. Perkahwinan sejenis diberi hak, laluan dan keizinan. Sifat malu dan sopan santun menyapu bumi manakala cerita dalam kelambu (yang diharamkan Allah dari disebarkan) dah menjadi perkara biasa bahkan menjadi bahan utama untuk melariskan web, buku dan akhbar.

Ya Allah selamatkanlah kami, iman kami, agama kami, pandangan mata kami, selamatkanlah isteri, anak-anak, keturunan dan zuriat kami di zaman mana kegelapan, fitnah dan kefasadan jadi bertimpa-timpa.

Rujukan: Safaqat Ar Rabihah karya Dr Khalid Abu Syadi.

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial