INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Monday, July 19, 2010

WANGINYA IMAN BAK KUNTUMAN AR RAIHAN

Sesuatu yang baik, soleh lagi berasaskan keimanan itu insya Allah wangi dan harum di sisi Allah, harum di sisi para malaikat al Muqarrabin dan sekelian hamba yang solihin. Yang harum mewangi itulah Ar Raihan.

Sebaliknya, sesuatu yang keji, maksiat, dosa lagi berasaskan kekufuran dan kederhakaan itu berbau busuk dan hanyir di sisi Allah sekalipun berbau wangi pada pandangan dan 'hidung' manusia.

Apabila Allah SWT memberikannya al Quran dan As Sunnah padamu, maka ambilah. Pengajaran al quran dan as sunnah itu adalah wangian yang paling harum dari segala-galanya. Bau wangi dari kebunannya tersebar di seluruh alam. Maka, terimalah Ar Raihan (wangian) Al Quran dan Sunnah dari Allah dan RasulNya. Terimalah dengan sepenuh hatimu. Janganlah ditolak. Menolak dan menyisihkan al quran dan as sunnah sebagai Dustur kehidupan, bermakna memilih untuk terus hidup secara 'hanyir.'

Biarpun seseorang memakai haruman berjenama antarabangsa bernilai ribuan ringgit, namun ia tetap berbau hanyir di sisi Allah kerana ia memakainya bukan kerana Allah, bukan kerana mengikuti Sunnah Rasulillah SAW, bukan di atas faktor keimanan. Mungkin dirinya wangi pada 'hidung' manusia, tapi hanyir pada pandangan Allah dan para malaikatNya yang suci. Hanyir kerana dipakai untuk tujuan bermegah-megah, menunjuk-nunjuk juga kerana tujuan 'memikat' lelaki dan wanita yang bukan Mahramnya.

Sebaliknya, yang hanyir pada padangan dan sangkaan manusia, rupanya amat harum di sisi Allah SWT. Contohnya darah pada syuhada fi Sabilillah. Bau darah bukankah hanyir? Namun di sisi Allah bau hanyir darah para Syuhada itu lebih harum dari bau kasturi. Subhanallah!

Sama juga dengan bau mulut orang yang berpuasa kerana Allah. Ia berpuasa semata-mata kerana mencari Mardhatillah. Kerana berpuasa, maka KHALUF yakni bau mulutnya akan berubah. Bau mulutnya tidak akan 'sesegar' seperti di waktu pagi tadi. Pada orang lain, bau mulut orang yang berpuasa tentunya tidak menyelesakan, tetapi di sisi Allah ia lebih wangi dan harum dari haruman kasturi!

Sirah, perjalanan dan perjuangan Rasulullah SAW dan sirah Solafus Soleh juga adalah Sirah yang sentiasa wangi dan harum bak kuntuman Ar Raihan. Harum itu begitu kuat aromanya buat umat yang mencintai Rasulnya juga buat sekelian pejuang-pejuang kebenaran. Maka, sirah Rasulullah itu hendaklah diterima. Segala pesanan Baginda SAW dan praktik generasi Salafus Soleh hendaklah diambil agar hidup kita juga turut mewangi. Sungguh, kehidupan yang jauh dari teladan Sirah Rasulullah SAW dan teladan Solafus Soleh adalah kehidupan yang berbau 'Bacin' lagi memualkan.

Iman Masyitah juga, semerbak mewangi. Aroma keharuman imannya menambah seri perjalan Mi'raj Nabi SAW. Sebaliknya 'bau bangkai' dari kekufuran dan keangkuhan Firaun tidak akan hilang selama-lamanya.

Nasihat-nasihat, peringatan dan pengajaran sesama manusia juga adalah kuntuman (wangian) ar Raihan yang harum semerbak. Lalu, bilamana nasihat diberi, usahlah menolak. Lapangkan dadamu dan terimalah nasihat-nasihat itu. Menolak nasihat bererti menolak kuntuman wangian Ar Raihan. Menolak dan membenci Ar Raihan bermakna memilih untuk terus mem'busuk'.

Demikianlah antara iktibar mewangi yang dapat kita ambil dari hadis berikut.

Sabda Nabi SAW: "Barangsiapa yang ditawarkan (diberikan) Ar Raihan, maka janganlah ia menolaknya. Sebab, ia mudah dibawa dan berbau wangi." (Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud dari Abu Hurairah RA, sebagaimana yang tertera di dalam kitab Sahihul Jami'us Soghir – 6392).

Apakah definisi Ar Raihan?

Menurut ahli bahasa dan ahli hadis, Ar Raihan adalah setiap tumbuhan yang memiliki aroma (bau) yang sedap. Qadhi 'Iyadh pula berkata: "Menurut saya yang dimaksudkan dengan Ar Raihan di dalam hadis tersebut adalah semua jenis minyak wangi." (Syarhun Nawawi li Muslim – VII/439).

Rujukan: Sofaqat Rabihah karya Dr Khalid Abu Syadi.

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial