KUALA LUMPUR – Selagi kita tidak tutup pintu-pintu ke arah perzinaan dan selagi kita tidak membenteras muqaddimah-muqaddimah zina, maka usahlah diharapkan bencana pembuangan bayi akan tamat dan selesai dengan mudah.
Dari awal lagi Allah larang kita (umat Islam) supaya jangan hampiri asbab-asbab serta muqaddimah (intro) perbuatan zina, namun kita tak peduli. Kita buat tak hairan dengan larangan Allah. Walhal Allah hendak kita selamat, sejahtera dan terpelihara dari kerosakan, kejahatan dan kemurkaanNya. Akibatnya zina semakin berleluasa manakala anak luar nikah (anak hasil perzinaan) ditinggal bersepah-sepah dan hidup tidak tentu arah.
Dahulu, kita ghairah memperkatakan kebejatan masyarakat Barat yang hidup tanpa batas dan sempadan. Kita geleng kepala dan 'mengucap' panjang setiap kali membaca mengenai keruntuhan moral masyarakat Barat dengan budaya kuning mereka. Tapi hari ini, segala kebejatan dan keruntuhan akhlak dan moral itu telah semakin berleluasa di depan mata kepala sendiri. Di negara kita sendiri. Boleh dikatakan setiap hari. Dilakukan oleh anak bangsa kita sendiri.
Mana jatiri dan identiti masyarakat Melayu yang mendakwa teguh berpegang dengan ajaran islam? Hidup sudah jadi terbalik! Masyarakat Barat pula 'tabik spring' dengan keruntuhan moral dan kerendahan akal budi yang melanda masyarakat kita.
Sehingga artikel ini ditulis, satu demi satu gejala dan bencana sosial terus bersilih ganti menghantui kita. Media yang sepatutnya 'sangat berperanan' dalam mendidik masyarakat supaya takutkan ancaman Allah, gerunkan nerakaNya serta menjauhi zina masih terus memaparkan kisah-kisah perlakuan seks dan kehidupan lepas bebas selebriti barat.
Bayangkan, dalam akhbar yang di dalamnya mendedahkan statistik keruntuhan akhlak anak bangsa kita, dipaparkan juga cerita bagaimana Victoria Beckham merancang untuk memberikan layanan seks istemewa buat suaminya yang tidak dapat menerima kekalahan skuad England di World Cup 2010 lalu. Apa guna dan manfaatnya cerita sedemikian buat masyarakat kita? Untuk keuntungan?
Apa yang kita akan jawab saat di soal Munkar dan Nakir dalam kegelapan kubur nanti? Apa pula alasan kita di hadapan Allah di yaumil Mahsyar sana? Astaghfirullah..sama-samalah kita bertaubat sebelum Malakul Maut dan kematian menjelma di depan mata.
Kaedah penyelesaian yang diutarakan pula hanya bermain di permukaan masalahnya semata-mata. Mata dipejamkan manakala telinga ditulikan dari saranan Kitabullah dan Sunnah lewat 1500 silam. Langsung tidak menerobos kepada punca dan akar masalah sebagaimana yang dikehendaki Allah dan sepertimana telah dijelaskan dua rujukan utama kita dengan 'seterang-seterangya'.
Sabda Nabi SAW: "Jadikanlah (diri kita) kunci kepada kebaikan dan manga kepada kejahatan."
Ingatlah saudara-saudara seagamaku! Maruah anak-anak bangsa kita, bahkan mungkin maruah anak-anak saudara kita dan anak-anak gadis kita sendiri semakin hari semakin dalam bahaya! Semakin tidak terjaga. Iman kita semakin kontang di dalam jiwa! Rasa takut pada dosa entah hilang kemana! Di mana Allah dalam hidup kita? Siapa lagi yang mahu mahu berfikir, mencari jalan penyelesaian dan menangisi segala musibah yang menimpa agama? Di mana kita mahu letakan saranan Allah SWT dan rasulNya?
Minggu lalu, media memaparkan satu kajian terbaru membuktikan remaja Melayu paling ramai melayari laman web lucah sekali gus mendorong mereka terjebak dengan gejala seks bebas berbanding kaum Cina dan India. Ya. Maka bertambah lagilah 'pencapaian' kita dalam koleksi 'keruntuhan' yang telah sedia ada.
Kajian dan penyelidikan yang diketuai oleh Pengarah IPSAS, Profesor Dr. Md. Salleh Hassan bersama sekumpulan penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia itu mendapati 22 peratus remaja Melayu gemar melayari laman web lucah sama ada di rumah mahupun di kafe siber. Menurut kajian itu, 15 peratus remaja Melayu suka melepak, menghisap rokok (13.7 peratus) manakala ponteng sekolah dan memaki hamun orang masing-masing 11.5 peratus.
Internet macam pisau. Tertakluk ke arah mana kita gunakan. Kalau ke arah yang baik dan soleh, maka bermanfaat dan berpahalalah kita. Tapi kalau diguna ke arah maksiat dan kemungkaran, maka bertimbunlah dosa-dosa kita. Dosa-dosa yang tidak disusuli dengan taubat itulah yang akan menjadi punca kemurkaan Allah dan mengheret pelakunya kepada Su-ul Khatimah (mati yang buruk).
Disebabkan jatidiri yang rapuh dan jiwa yang kemarau dari iman, bahan pornografi yang berlambak di pasaran dan terlalu mudah dibeli juga senang diakses menerusi Internet menjadi punca utama remaja Melayu terjebak dengan gejala tersebut.
“Lebih menyedihkan, ibu bapa yang ditemu bual tidak mengaku kesilapan anak masing-masing sedangkan si anak mengakui kesalahan salah laku yang dilakukan mereka ketika disoal selidik. Kalau dulu, ponteng sekolah yang mendominasi salah laku pelajar-pelajar kita, tapi kini mereka yang ditemu bual mengaku lebih suka tengok pornografi dengan bertandang ke kafe siber,'' kata kumpulan penyelidik itu lagi.
Kepada sekelian ibu ayah yang dikasihi, sama-samalah kita renungi ayat Allah yang berikut. Berat sekali tanggunjawab kita. Berjuanglah untuk menjaga dan memelihara kemuliaan zuriat dan keturunan kita. Apakah kita suka dan gembira andai ada di dalam nasab keturunan kita insan yang bergelar anak zina atau anak luar nikah yang punca berlakunya adalah dari sebab kealpaan dan kecuaian kita sendiri?
Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu berhala. Di atasnya ada malaikat yang amat kasar lagi keras perlakuannya. Mereka tidak mengengkari Allah apabila disuruh dan mereka tentu melaksanakan apa yang diperintahkan” [al-Tahrim 66 : 6]
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
2 comments:
benar..kes buang bayi meningkat..dan cara penyelesaiannya hanya satu..lihat balik dari sudut pandang islam.. jika hukum-hukum Allah tidak dipraktikkan,begini lah jadinya....
السلام عليكم. Apabila akal tidak diberi ilmu (duniawi & ukhrawi), hati tidak diberi iman dan nafsu tidak dididik, maka gejala ini akan memusnahkan kesyumulan Islam itu sendiri. Ini kerana kita mesti ingat bahawa tertegaknya kesyumulan Islam atas 3 perkara iaitu AQIDAH, SYARIAT DAN AKHLAQ. والله اعلم
Post a Comment