Ini kali kedua saya catatkan mengenai PROGRAM realiti pencarian Imam Muda yang diperkenalkan Astro Oasis. Post pertama saya dulu mengenai aktiviti Imam Muda mendekati mat motor yang di Johor Bahru.
Program kerjasama Astro dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) ini bukan sahaja menjadi bualan penonton tempatan bahkan mendapat perhatian media antarbangsa.
Antara media antarabangsa yang terawal melaporkan mengenai perkembangan program itu menerusi laman webnya ialah akhbar The Straits Times, Singapura.Rupa-rupanya artikel mengenai program Imam Muda dengan judul Imam Search On TV (Pencarian Imam di TV) bertarikh 7 Jun itu, semakin mendapat perhatian media antarabangsa. Ekoran itu, banyaklah panggilan serta emel daripada pengamal media antarabangsa yang menyatakan minat mereka untuk membuat liputan mengenai program itu.
BBC TURUT BERMINAT
Semasa rakaman episod keempat program Imam Muda di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur baru-baru ini, peserta dan krew program realiti ini telah menerima kunjungan dua media antarabangsa iaitu Associated Press (AP) dan The Wall Street Journal. Selepas itu, Perbadanan Penyiaran British (BBC) juga turut menyatakan minat untuk mengikuti rakaman program berkenaan.
Siapa sangka? Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar pun tidak menyangka Imam Muda mendapat perhatian seperti ini. Tahniah. Apabila media Barat mula menunjukkan minat terhadap program Islami sebegini, maka ia satu petanda baik.
Mudah-mudahan usaha menerbitkan rancangan Islami yang berhikmah sebegini akan dilipatgandakan.
“Kami amat berbesar hati menerima kehadiran mereka yang mahu menyaksikan sendiri bagaimana program ini dilaksanakan. Sewaktu Oasis bersama-sama JAWI tampil dengan idea untuk program ini dulu, kami langsung tidak menyangka ia mendapat impak sebegini," jelas Izelan.
Sungguh mengejutkan. Semenjak program ini ditayangkan, bahagian perhubungan awam TV Oasis telah menerima banyak panggilan telefon serta kiriman emel daripada pengamal media antarabangsa yang menyatakan minat untuk hadir membuat liputan mengenai Imam Muda.
MENARIK MINAT BUKAN ISLAM
"Ini adalah perkembangan yang baik kerana program berunsurkan keislaman berjaya menarik minat orang bukan Islam,” kata Izelan lagi.
Benar Izelan. Bukan 'mudah' untuk mengenengahkan idea-idea dan produk islami kita ke khalayak global masakini lebih-lebih lagi sehingga kini Islam dan umatnyatak henti-henti dilabelkan dengan keganasan, hak dan kebebasan mengamalkan Islam dinafikan manakala situasi Islamphobia yang masih menebal.
Yang penting kita memulakan satu usaha dengan keyakinan, rasa tanggungjawab, kesedaran, azam, iltizam dan Itqan. Selebihnya kita bermuhasabah diri, berdoa dan bertawakal kepada Allah.
Biarpun ada sekelompok (atau beberapa pihak) dari kalangan mereka begitu membenci dan memandang serong terhadap Islam, namun percayalah di beberapa pihak yang lain, ada sejumlah jiwa yang 'hampir' beroleh hidayah Allah SWT. Mana kita tahu, barangkali asbab mereka memeluk agama Allah ini dari kerana menyaksikan paparan program-program dan karya Islami yang diterbitkan oleh sahabat-sahabat kita.
Saya berpandangan usaha Izelan dan rakan-rakan memaparkan keindahan dan keunggulan Islam di media elektronik sebegini wajar dipuji, di doa dan diberi sokongan.
EPISOD PALING MENARIK
Antara episod yang menarik dan paling diminati ialah tugasan memandikan dua mayat yang sudah reput. Sean Yoong dari Associated Press dan James Hookway mewakili The Wall Street Journal sependapat amat mengagumi episod berkenaan. Bagi mereka, tugasan memandikan mayat yang telah reput itu amat sukar. Mereka amat kagum apabila melihat peserta perlu menjalani tugas memandikan mayat yang reput dan berbau busuk.
BERBEZA DARI SURVIVOR
“Saya melihat program ini amat berbeza dengan program realiti seperti Survivor dan American Idol. Mereka tidak memburuk-burukkan peserta lain atau berlumba untuk menang, sebaliknya hubungan setiap peserta amat akrab. Mereka nampak cukup ikhlas dalam persahabatan. Saya yakin program ini mampu menarik pembaca dari luar negara untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program ini. Pembaca media di Barat yang ingin mengetahui apa itu Islam, boleh mendapatkan maklumat dengan menonton program ini,” kata Sean (wartawan Associated Press) yang turut suka menonton episod kedua dan ketiga yang memaparkan mengenai wanita yang terlanjur serta anak-anak HIV.
Lihatlah, keakraban dan ketulusan masih menjadi nilai kemanusiaan yang terpenting pada hemat Sean. Faktor itu menjadi tumpuan dan nilaian beliau. Itu baru keakraban di antara para peserta program Imam Muda. Agaknya, apakah respons Sean dan media dunia andai umat Islam diserata pelosok dunia kembali teguh memegang dan menghayati dua nilai mulia tersebut?
Bagaimana pun, perlu ditekankan bahwa keakraban dan kesetiakawanan yang terjalin antara kita umat Islam hanya akan menyentuh hati dan membuka mata orang seperti Sean bilamana keakraban dan persahabatan itu terjalin berasaskan ketulusan, keimanan dan kasih sayang. Di situlah indah Islam.
BANYAK YANG DAPAT DIPELAJARI
Kita lihat pula apa respons Hookway. Beliau yang datang dari Bangkok amat mengagumi Astro Oasis kerana berjaya menghasilkan program seperti itu.
“Tiada yang mengkagumkan bagi saya selain daripada meletakkan peserta muda di dalam situasi yang pelik iaitu terpaksa memandikan mayat yang sudah reput sebegini. Tugasan itu cukup berat bagi saya tetapi berjaya disempurnakan dengan baik oleh peserta program ini. Secara tidak langsung program ini sebenarnya membantu orang luar memahami mengenai budaya rakyat Malaysia. Banyak yang saya pelajari melalui program ini setelah mengikuti episod pertama hingga ketiga melalui Youtube,” kata Hookway.
SEMOGA BEROLEH HIDAYAH ALLAH
Kalau Hookay boleh kata dia dapat belajar banyak perkara dari program ini, bagaimana pula dengan kita selaku umat Islam di tanah air Malaysia (negara diterbitkan program ini)? Apakah di kalangan rakyat kita ada yang langsung tiada maklumat mengenai rancangan realiti berinformasi ini?
Jesteru, pandangan dan respon Sean dan Hookay wajar menyentuh pintu hati dan minda kita semua betapa kita ada tanggungjawab besar untuk menyebarluaskan keindahan dan keagungan ajaran Islam. Mudah-mudahan mereka berdua bakal beroleh hidayah Allah. Kita sama-sama doakan. Amin.
Sementara itu, khabarnya media di Jerman dan Switzerland juga turut melaporkan secara meluas mengenai program realiti "Imam Muda" ini. Akhbar-akhbar di dua negara tersebut melaporkan program memilih bintang dan bakat televisyen di Malaysia dianjurkan bagi memilih "bintang imam".
Seperti yang dilaporkan secara meluas oleh akhbar harian dari Tagesspiegel, Merkur Online menerusi n-tv.de, Bild.de, Sueddeutsche Zeitung sehinggalah kepada akhbar harian Switzerland, Tagesanzeiger – menunjukan bahawa pembaca begitu asyik dengan perjalanan program Imam Muda seperti yang digambarkan oleh pembaca dalam komen mereka terhadap laporan berita itu.
Tagesanzeiger, misalnya, menyifatkan calon berkenaan sebagai "superstar" di televisyen Malaysia dan melaporkan bahawa mereka nampaknya telah menjadi pujaan hati ramai wanita muda.
Sumber & rujukan: Bernama
Ulasan: sahabatamal
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
1 comments:
waaaaa.. yuyu kagum sangat semua ni.. semoga IMAN MUDA dapat beri kesan pd semua... aminnn
Post a Comment