INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Wednesday, July 14, 2010

SUBHANALLAH! TIADA RETAK SEDIKIT PUN


Di waktu pagi, sambil-sambil keluar pergi kerja, ambillah sedikit masa untuk melihat langit. Dongakan seketika pandangan kita ke arah langit yang membiru itu. Ya, itulah langit Ilahi. Sahabat saya, Ustaz Hilal Asyraf menamakan sesawangnya dengan nama 'Langit Ilahi'. Sejuk hati menyebutnya. Sejuk juga hati kala membaca catatan-catatan Tarbiahnya.

Subhanallah! Saksikanlah ciptaan Allah yang hebat dan dahsyat itu. Agar teguh iman kita. Bertafakkurlah. Agar subur Taqwa di jiwa.

Firman Allah: "Maka apakah mereka tidak melihat akan langit yang ada di atas mereka, bagaimana Kami meninggikannya dan menghiasinya dan langit itu tidak mempunyai retak-retak sedikit pun." (Surah Qaf: 6).

Maha Suci Allah! Nampak macam dekat, namun tingginya tidak tercapai dek jangkauan manusia. Langit itu benar-benar tinggi kerana ia dicipta oleh Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Pencipta. Sekalipun telah sekian lama 'taat menabur khidmat', namun tiada sedikitpun kedapatan rosak padanya. Lihatlah ke langit. Ia langsung tidak menggelebeh, tidak berlopak, tidak terkoyak, tidak usang dan tidak berlaku sebarang keretakan dan ketirisan.

Yang tiris, terkoyak dan usang adalah sikap manusia di muka bumi. Yang retak adalah hubungan sesama manusiawi di bumi. Semakin hari semakin rabak dan punah jadinya. Sehingga bumi jadi tak keruan, jadi haru-biru, hancur lebur dan penuh kerosakan.

Perhatikanlah langit Allah itu. Ia tegak tanpa sebatang pun tiang yang menyokong dari arah bawahnya. Tidak seperti bangunan pencakar 'langit' yang di bina oleh manusia. Setinggi mana pun binaannya tetap juga memerlukan banyak tiang yang menyokong di bawahnya. Tanpa tiang, roboh dan ranaplah abgunan-bangunan itu.

Firman Allah: “Dia menciptakan langit tanpa tiang sebagaimana kamu melihatnya..." (Surah Luqman: 10 )

Firman Allah lagi: “Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis, kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang," (Surah Al Mulk: 3).

Andai direnung dengan jiwa yang lapang dan hati yang jernih, nescaya kita akan dapati alam semesta ini tak ubah bagaikan sebuah 'rumah' yang dipersiap, dilengkapi dan dibangunkan di dalamnya dengan segala keperluan dan hajat yang diperlukan sekelian penghuninya. Maha Suci Allah!

Langit berfungsi sebagai atap dan bumbungnya.
Bumi dibentangkan bagai permaidani di disegenap ruang lantainya.
Bintang-bintang yang bertaburan di langit bagaikan jutaan lampu yang bersinar menawan menambah serinya malam.
Mutiara-mutiara yang tersimpan (tersembunyi) pula bagaikan simapanan khazanah yang disediakan untuk pelbagai keperluan manusia.
Demikian juga, segala pokok dan tumbuhan, segala jenis binatang dan haiwan semuanya diciptakan Allah sebagai mengisi kepeluan manusia.
Manakala manusia itu sendiri bagaikan pemilik rumah yang harus bertanggungjawab, jujur dan beramanah memelihara segala apa yang ada di dalamnya.

Sekali lagi pandanglah ke langit. Lihatlah warna yang ada padanya. Ya, ia warna yang mendamaikan. Warna yang cocok untuk penglihatan manusia. Memandang langit akan menyihat dan menguatkan sepasang mata kita. Bayangkanlah andai warna langit itu bersinar dan bercahaya, sudah tentu akan membahayakan setiap orang yang melihatnya.

Jesteru, kesan warna dalam pembentukan syakhsiah manusia tidak boleh dinafikan lagi. Dengan melihat langit yang membiru atau menghijau, pandangan mata akan jadi selesa dan ia warna yang paling sesuai untuknya.

Sungguh, pada penciptaan langit itu ada sindiran yang amat tajam dari Allah kepada manusia-manusia yang bersikap bodoh sombong. Mereka rasa diri mereka terlalu hebat lalu tergamak ego dan menyombong diri terhadap Allah SWT. Mereka tidak sedar betapa kerdil, lemah dan hinanya diri mereka di hadapan Allah.

Firman Allah: "(Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)! Ia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnaKannya, .” (An-Nazi’at: 27-28)

Rujukan: Al Hikmah Fi Makhluqatillah – Hujjatul Islam Imam Al Ghazali Rahimahullah.

1 comments:

Muhammad Ibnu Nazir said...

salam.

In The Name Of Allah.

Alhamdulillah. Satu perkongsian yang menarik.

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial