Dalam semua keadaan, sikap waspada dan berhati-hati itu baik bagi kita. Lebih-lebih lagi, saat kita mendepani tipudaya dan makar musuh batin yang tidak kenal erti rehat. Siapa lagi kalau bukan syaitan dan nafsu yang sentiasa menyeru ke arah kejahatan?
Benar, andai dua sikap ini tidak diusaha milikkan, maka mudahlah bagi nafsu dan syaitan untuk memerangkap kita lalu menjadikan kita sebagai tawanannya.
Daripada manakah datangnya kedua-dua sikap ini? Apakah sumbernya?
Sikap berwaspada dan berhati-hati datang dari pengetahuan, kesedaran dan kefahaman kita yang mendalam tentang siapakah sebenarnya syaitan itu sendiri, apakah tujuan dan matlamatnya, apakah peranannya, apakah cara dan kaedah yang diambil olehnya, apakah sembonyannya, apakah 'Modus Operandi'nya, apakah kesukaan dan kelemahannya dan apakah senjata yang digunakannya untuk menyesatkan sekelian manusia?
Bagaimana pula kefahaman, pengetahuan dan kesedaran itu terbina?
Ia terbina hasil komitmennya yang bersungguh-sungguh hadir ke majlis-majlis ilmu, tazkirah, muzakarah dan wacana dakwah. Di sana ia tidak jemu-jemu menyantap ilmu, menadah hikmah, mengutip 'ibrah dari sekelian ulama al 'amilin dan para 'Du'at' (pendakwah) yang mukhlisin.
Oleh itu sama-samalah kita berwaspada, berhati-hati dan awas dari hasutan dan tipudaya syaitan kerna ia memang 'bijak dan licik' tapi penuh dendam kesumat, busuk hati dan sangat bantah terhadap Tuhannya. Dengan pengetahuan dan kefahaman ini, insya Allah akan terhindarlah kita dari godaannya.
Allahumma inna Na'uzubika Min Hamazatish Syayatin..
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
0 comments:
Post a Comment