INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Wednesday, July 7, 2010

"BOLEH MINTA TANGGUH DULU?"


1. Hari-hari mendatang bagi seorang mukmin (seandainya masih dikurniakan kehidupan) adalah hari yang berlaku padanya 'penambahbaikan'.
2. Bila penambahbaikan diusahakan bersungguh-sungguh, maka akan semakin berkurangan (minima)lah unsur-unsur yang Mazmumah dan negatif di dalam kehidupan.
3. Usaha ke arah penambahbaikan itu bermaksud berusaha ke arah kecemerlangan duniawi dan ukhrawi, kecemerlangan rohani dan jasmani. Ia bermula dari hati nurani yang sentiasa rindukan penghijrahan total kepada Allah SWT.
4. Usaha penambahbaikan adalah wajar kerana usia seseorang juga semakin bertambah manakala kematiannya juga semakin bertambah dekat. Sepatutnya semakin usia bertambah dan semakin dekatnya panggilan ke alam Barzakh, maka semakin baiklah amalan kita, semakin bertambahlah kesolehan kita, semakin bertambahlah ilmu kita, semakin lebatlah ibadah kita, semakin bertambahlah kefahaman (Tafaqquh) kita, semakin berkuranganlah dosa dan kemaksiatan kita, semakin berkuranganlah hutang piutang kita (dengan Allah maupun dengan sesama manusia), semakin berkuranganlah musuh kita, semakin bertambahlah sahabat-sahabat kita bahkan semakin berkuranglah bebanan amanah kita. Tak begitu?

5. Antara penambahbaikan yang wajar diusahakan ialah meningkatkan kefahaman kita terhadap kitab suci kita, Al Quranul Karim. Kalamullah itu seharusnya semakin basah dibibir kita dan semakin akrab di dalam pemahaman dan penghayatan kita.
6. Jesteru, asas terkuat bagi seseorang Muslim Mukmin untuk memahami Al quran secara mendalam, tepat dan menyeluruh, adalah dengan cara mempelajari dan memahami bahasa Arab.
7. Usaha bersungguh-sungguh mempelajari bahasa Arab ternyata menjadi wasilah utama untuk kita memahami segala kehendak, Wasiat, Tazkirah, tawaran, jaminan, perintah serta larangan Allah di dalam quran.
8. Nun, di kedalaman Barzakh sana, berapa ramai sudah manusia yang pergi mengadap Ilahi dalam keadaan 'amat menyesal' oleh kerana semasa hidup di dunia, dia tidak cuba untuk memahami isi kandung dan pengajaran al quran. Ia juga amat jahil apakah maksud firman Allah di dalam alquran termasuklah jahil (tidak faham) terhadap segala tuntutan, ajaran surah Al fatihah (Ummul Kitab) yang lazimnya diulang baca secara minimum sebanyak lima kali sehari semalam. Bukan kata tidak mengetahui bahasa Arab, usaha untuk menatap alquran berserta makna-maknanya pun langsung tidak dilakukan. 'Apa nak jadi?, tanya Tan Sri S.M Salim.
9. Seandainya masjid dan surau sekitar perumahan kita menganjurkan kelas al quran atau kelas bahasa Arab, hendaklah kita mengambil peluang menyertainya. Kalau rasa malu, buang malu itu jauh-jauh kerana malu itu dalam kategori negatif atau Mazmumah (tercela). Usah bersikap malu dalam soal ilmu dan kebaikan.
10. Saya pasti, motivasi yang paling kuat untuk mendorong kita belajar bahasa Arab adalah untuk memahami al quran dan as Sunnah yang menjadi dua sumber utama kita dalam menyuluh seluruh aspek kehidupan kita.
11. Imam As Syafi'i Rahimahullah berkata: "Lisan (pertuturan & bahasa) yang (nyata) dipilih Allah adalah lisan (bahasa) Arab. KitabNya diturunkan dalam bahasa Arab bahkan Allah menjadikannya bahasa (pertuturan) penutup sekelian nabi-nabiNya, Nabi Muhammad SAW. Atas asas tersebut, (maka) kita katakan: Wajarlah bagi orang yang mampu mempelajari bahasa Arab untuk mempelajarinya kerana ialah lisan (pertuturan & bahasa) yang paling utama."(Iqtidho-us Sirathal Mustaqim: 1/464).
12. Imam Mawardi rahimahullah juga berkata: "Mengetahui (mempelajari) bahasa Arab merupakan kefardhuan yang asas bagi setiap muslimin dan muslimat (samada) dia seorang Mujtahid ataupun tidak." (Rujuk: Irsyadul Fuhul mukasurat 222).
13. Berdasarkan dua pandangan yang tersebut di atas, kita simpulkan bahawa anjuran mempelajari Bahasa Arab itu kuat sekali.
14. Sekiranya kita tak mula belajar sekarang, bila lagi agaknya kita akan mulakan? Tunggu lepas pencen atau usia senja kita? Sempat sampaikah usia pencen dan usia senja kita?
15. Bolehkah kita kata dekat Malakul Maut, waktu dia datang mahu mengambil nyawa kita: "Saya nak minta tangguh dulu?, Hmm, saya tak beli quran lagi! Saya..sayaa...saya janji nak 'start' mengaji quran semula!".
10. Ya Salam.., yang pastinya bukan kata nak minta penangguhan, untuk hidup sejam atau seminit dua lagi pun langsung tiada jaminannya. Tiada siapa yang tahu bila saat dan masa keberangkatan pulangnya ke alam Baqa. Kerana kita semua adalah milikNya dan sentiasa di dalam genggeman, Iradat dan taqdirNya.

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial