INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Friday, December 5, 2008

ARTIKEL PROMO DLM UTUSAN MALAYSIA 5 NOV 2008

Zikir Ustaz Amal

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my

DALAM kegawatan industri hiburan negara dewasa ini, tidak dinafikan ramai di kalangan penggiat seni serta para penyanyi tempatan yang kurang yakin dalam menghasilkan produk-produk terbaru mereka.

Kalau ada yang berjaya sekalipun, ia pasti didominasi oleh barisan artis yang cukup kukuh dan gah namanya di persada seni hiburan tempatan.

Namun, di sebalik kepayahan tersebut, artis-artis di bawah label Inteam Records sdn. Bhd., tetap giat mengeluarkan produk-produk terbaru mereka.

Setelah dua tahun ‘sunyi’ tanpa album baru, kini Ustaz Amal atau nama sebenarnya Amaluddin Mohd. Napiah, 40, berkongsi ‘rasa’ bersama peminatnya dengan kelahiran album terbaru, Zikir Munajat yang telah mula dipasarkan sejak akhir September lalu.

Menyifatkan alunannya dalam album tersebut tidak serupa dengan mana-mana album zikir sedia ada, Ustaz Amal mendekati pembaharuan dengan memberi sesuatu yang segar dari segi pemilihan zikir, air lagu, melodi, serta suara latar.

Penerimaan menggalakkan daripada para peminat terhadap beberapa zikir yang terkandung dalam album terdahulu iaitu Qutul Qulub yang diterbitkan pada tahun 2006, ia merupakan pendorong kepadanya menghasilkan Zikir Munajat yang mengandungi 16 buah zikir.

Antara zikir-zikir yang dimuatkan termasuk Kalimah At-Tauhid, At-Tasbih 1, At-Tahlil, Basmallah, Doa Taubat Nabi Yunus, Zikrussalam, Ya Hayyu Ya Qayyum, Doa Menghilangkan Dukacita dan Hasbiallah.

“Setelah menghasilkan lapan album, Zikir Munajat merupakan album zikir saya yang pertama. Sebelum ini saya ada juga selitkan beberapa zikir dalam album solo saya tetapi ia berselang-seli dengan lagu,” katanya.

Tidak menafikan album nasyid dan zikir tidak mengalami gangguan ketara dari segi jualan album, kata Ustaz Amal, semakin lagu nasyid menjadi lama semakin peminat suka mendengar lagu-lagu tersebut.

“Sebenarnya kalau diikutkan lagu-lagu nasyid sekali imbas memang nampak biasa sahaja kecuali mesej yang disampaikan.

“Tetapi, sesuatu yang orang ramai tidak perasan, walaupun jualan sekarang tidak begitu baik namun, jualan untuk album nasyid tetap menggalakkan dan peminat tetap mencari.

“Album-album nasyid memang ada pengikutnya yang tersendiri dan setakat ini jualan untuk album-album di bawah label Inteam Records memang menggalakkan,” kata Ustaz Amal lagi.

Kata Ustaz Amal, 3,000 unit cetakan pertama album tersebut telah pun berada di pasaran sejak akhir September lalu. Kini, albumnya sedang dicetak untuk cetakan kedua.

Manfaatkan zikir dalam program motivasi

Sebagai seorang penceramah yang banyak mengendalikan program-program motivasi, Ustaz Amal juga menggunakan peluang yang ada dalam mempromosikan album zikir tersebut kepada para pelajar yang terlibat dalam program motivasinya.

Ustaz Amal kini bukan sahaja bergerak secara solo sebagai penyanyi nasyid tetapi turut menguruskan syarikat sendiri iaitu Muazzin Production yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail serta bertanggungjawab sebagai penceramah jemputan, Jabatan kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Selain menjadi hiburan halwa telinga, zikir juga boleh digunakan sebagai amalan menyejukkan hati serta menenangkan jiwa yang dalam kecelaruan.

“Banyak manfaatnya menggunakan zikir sebagai amalan dalam kehidupan. Selain kita gunakan untuk berhibur ia juga sebagai terapi mententeramkan fikiran.

“Saya ketengahkan ia kepada para pendengar dan pelajar sebagai satu tanggungjawab. Niat saya agar segala amalan dan zikir-zikir nabi dapat dijadikan sebagai amalan hidup bagi setiap orang,” kata Ustaz Amal sebelum mengakhiri perbualan.

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial