INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Monday, January 11, 2010

Sepasang Telinga Yang Tidak Disyukuri..


1. Betapa besarnya nikmat pendengaran yang Allah kurniakan kepada kita. Bayangkan, selain kita ada ramai lagi insan-insan yang ditimpa ketulian. Telinga mereka tidak dapat mendengar. Pendengaran mereka langsung tidak dapat berfungsi. Segala maklumat dan percakapan orang lain hanya dapat diketahui dan difahami melalui perantaraan bahasa isyarat. Itupun kalau dia memahami bahasa isyarat.

2. Allah Yang Maha Mendengar telah mencipta, menentu dan mengizinkan bahawa kita di kalangan hambaNya dapat mendengar. Maka langsungkanlah rima kesyukuran di atas nikmat pendengaran yang tidak ternilai itu. Firman Allah: “Jika kamu bersyukur, nescaya (AKu) akan tambah lagi (nikmat itu) ke atas kamu.”


3. Tidak mengapa, biarpun mungkin telinga kita sedikit besar dari telinga orang lain atau mungkin telinga kita terdapat sedikit sumbing atau terkelepet. Yang penting kita dapat mendengar. Bersyukurlah. Andai diamati penciptaan sekelian penduduk bumi ini, barangkali kedapatan sedikit perbezaan dan kelainan pada telinga seseorang dan seseorang yang lain samada kita sedari atau pun tidak.

4. Sekali lagi, yang pentingnya telinga kita dapat mendengar. Dapat mendengar kesyaduan tilawah firmanNya. Dapat mendengar alunan tasbih dan zikir rimba buana flora dan fauna. Dapat mendengar untaian tahmid dan munajat unggas dan mergastua yang mengasyikan. Dapat mendengar seruan dakwah dan panggilan ketuhanan.

5. Bukankah telinga di antara pancaindera yang diciptakan Allah supaya menjadi saluran penerimaan ilmu, saluran ombak pahala dan ‘sungai hidayah’ bagi hamba-hamba yang dikehendakiNya. Bukakanlah telingamu ‘seluas-luas’nya agar mencurah-curah hikmah dan hidayah ‘berenang’ memasukinya lalu mengambil tempat yang kukuh dan selesa diqalbumu.

6. Ungkapan ‘masuk telinga kanan keluar telinga kiri’ menggambarkan betapa wujud ‘sejumlah’ telinga yang langsung tidak berfungsi sebagai ‘sungai hidayah’. Barangkali kegagalan fungsi inilah yang disindir Allah swt: “..mereka ada telinga, tetapi mereka tidak mendengar dengannya..”

7. Berapa ramai yang telah mengingkari allah dengan nikmat telinga yang dikurniakanNya?? Telinga mereka mungkin hanya dapat (atau dihalakan) mendengar lagu dan irama yang membangkitkan syahawat, menyerap gurindam yang tenggelam memuja makhluq, pujuk rayu dan bisikan yang keji dan lucah, kata bicara yang sendat dengan fitnah, umpatan, adu domba dan kata-kata dusta semata-mata.

8. Namun, telinga (yang sama) itu sama sekali telah tuli dari seruan kebenaran, pekak dari alunan firman dan dan hadis Nabi pilihan, tertutup dari panggilan laungan iqamat dan panggilan azan, jauh dari jalinan bicara perpaduan dan persaudaraan, janggal dari burdah dan qasidah bahkan tersumbat dari tazkirah dan ‘ibrah.

Firman Allah: “..mereka mengetahui bahawa semua nikmat yang ada berasal (bersumber) dari Allah, tetapi mereka mengingkarinya.” (An Nahl: 83).

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial