1. Melihat dan mempelajari ayat 58 dari surah An Nisa, kita dapati ada dua sifat (sikap) utama yang Allah swt perintahkan kepada sekelian hambaNya yang mukminin. Perintah pertama adalah memelihara Amanah dan perintah yang kedua ialah sentiasa bersikap adil sesame manusia.
2. Seandainya dua sifat mulia itu dihayati dan dilaksanakan, maka manusia bakal mengecapi kemuncak kehidupan yang bahagia dan sejahtera. Itulah janji Allah dan itulah nilai agung yang Islam tawarkan. Namun, kerana dua sifat mulia tersebut semakin hari diabai dan diremehkan, maka meletuslah kehidupan yang tidak seimbang, tidak keruan, caca marba dan semakin menuju kemusnahan dek kerana gejala rasuah, khianat, pecah amanah, ketirisan, hipokrit, kejam, serta sesuka melakukan kezaliman.
3. Firman Allah: “Sesungguhnya Allah memerintahkan suapaya disampaikan (ditunaikan) segala amanah kepada ahli (mereka yang berhak). Dan jika kamu menghukum di antara manusia hendaklah menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah sebaik-baik yang mengajar kamu akan perkara tersebut. Sesungguhnya Allah itu maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
4. Imam Al Bughawi Rahimahullah telah meriwayatkan mengenai kenapa dan mengapa ayat ini dinuzulkan. Ayat ini menceritakan mengenai sebab Islamnya seorang lelaki dari suku Bani Abdid Dar yang bernama ‘Uthman bin Talhah Al Hajabiy. Apa yang menarik tentang dirinya? Yang paling menarik tentang dirinya ialah bahawa dia adalah seorang penjaga Ka’abah. Ya, bukan semua orang berpeluang menjaga dan menguruskan Ka’abah (Baitullahil Haram) itu dan disitulah menariknya kisah lelaki ini.
5. Semasa peristiwa penaklukan kota Makkah, Rasulullah saw dapati pintu Ka’abah tertutup rapat. Siapa lagi yang menutupnya kalau bukan ‘Uthman bin Talhah? Setelah menguncinya, beliau bergegas naik ke atas Sutuh (bumbung Ka’abah) walhal anak kunci Ka’abah ada di tangannya.
6. Dari bawah, Rasulullah saw meminta kepada ‘Uthman bin Talhah agar kunci diserahkan. Setelah berkali-kali diminta, beliau masih enggan menyerahkan kunci tersebut sambil berkata: “Kalau saya tahu (pasti) bahawa dia benar-benar Rasulullah, saya tidak akan menahan kunci itu.”
7. Sementara itu, Saidina Ali dengan sepenuh kepantasan telah memulas tangan ‘Uthman bin Talhah lalu mengambil anak kunci Ka’abah yang ada ditangannya. Maka pintu Ka’abah pun dapat dibuka…kemudian masuklah Nabi saw ke dalam Ka’abah yang mulia serta bersembahyang dua rakaat di dalamnya.
8. Sewaktu keluar dari Ka’abah, Rasulullah saw telah didatangi pakciknya, Abbas bin Abdil Muttalib. Kepada Rasulullah saw, beliau (Abbas) beria-ria meminta agar kunci Ka’abah diserahkan sahaja kepadanya termasuklah juga urusan Siqayah (memberi minum air zam-zam) dan segala urusan yang berkaitan dengan pengurusan dan penyelenggaraan Ka’abah.
9. Sampai ketahap ini, maka Allah swt pun menurunkan ayat 58 dari surah An Nisa seperti di atas. Lihat bagaimana kehendak dan rencana Allah swt! Lihat juga bagaimana Allah mahu mendidik kita!
10. Maka, Saidina Ali pun dipanggil mengadap. Rasulullah saw mengarahkannya supaya mengembalikan semula kunci Ka’abah itu kepada ‘Uthman bin Talhah Al Hajabiy serta memohon kemaafan kepadanya. Dalam penuh kehairanan ‘Uthman bin Talhah bertanya kepada Saidina Ali: “ …Tadi kamu bersikap keras sekali dengan aku tetapi sekarang berlembut pula?”
11. Apa jawab Saidina Ali? “Sesungguhnya Allah swt baru sahaja menurunkan ayat (firmanNya) mengenai perihal (diri) kamu,” lalu Saidina Ali pun membacakan ayat tersebut. Sebaik sahaja mendengarkan ayat tersebut dibacakan, Uthman bin Talhah tidak berlengah lagi lalu terus mengucapkan dua kalimah syahadah dengan lapang dada. Dengan ini sempurnalah keimanan dan keislamannya. Saidina Ali juga segera memulangkan kunci Ka’abah kepada ‘Uthman bin Talhah r.a.
12. Al Kisah, kunci Ka’abah tersebut berada di dalam jagaan (tangan)nya sehinggalah beliau kembali ke alam Baqa. Setelah kematiannya, kunci Ka’abah telah beralih tangan dan diamanahkan kepada saudaranya yang bernama Syaibah dan jadilah sejak itu segala urusan penjagaan Ka’abah termasuklah memelihara kuncinya sebagai satu amanah (pertaruhan) yang diwarisi oleh anak cucu Sayibah secara turun temurun hinggalah hari qiamat.
13. Ya, lihatlah betapa Rasulullah saw telah menjadi contoh terbaik buat sekelian ummah dengan mengambalikan amanah kepada mereka yang berhak dan baginda sangat adil dalam memutuskan sesuatu perkara.
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
0 comments:
Post a Comment