1. Pada malam yang tenang dan terang kerana awan tidak berarak mendung, dongakanlah kepalamu seketika ke langit dunia. Ya, langit yang terdekat. Halakan sepasang matamu ke samudera angkasaraya.
2. Subhanallah! Malam nan indah dan syahdu. Tumpukan awan putih bersih berpuput lalu dipukul angin gemalai. Sang unggas dan mergastua tidak henti-henti memuji dan memuja Khaliqnya dalam bahasa dan irama yang tulus mengusik jiwa. Bayu malam bertiup lembut menyapa tubuh si perindu Tuhannya.
3. Hati mukmin terasa damai tatkala menyaksikan rembulan ‘Al Badr’ menyimbahkan cahayanya yang dingin lagi mengasyikkan lalu ia terkesima dan tenggelam khusyuk di hadapan duli kebesaranNya.
4. Panorama langit malam bertambah indah dengan ‘hiasan’ taburan gugusan jutaan bintang menghiasi dada langit. Gandingan sinar cahaya rembulan purnama dan gemerlapan sekelian bintang yang terus ‘berenangan’ di putaran orbitnya menambahkan lagi seri malam kurniaan Tuhan.
5. Sayup di hati mukmin rasa ‘damai’ dan ‘sakinah’ yang tidak terhingga lalu terungkap untaian tasbih dan tahmid kerana apa yang mereka sedang lihat dan saksikan disebalik segala keindahan dan kecantikan itu adalah kebenaran wujud, Maha agung dan Maha indahnya Allah Tabaraka wa Ta’ala, Pencipta semesta alam.
6. Firman Allah swt: “Sesungguhnya Kami menghiasi langit (langit dunia) dengan lampu-lampu (bintang-bintang).” (Surah Al Mulk: 5).
7. Imam Al Bukhari menukilkan bahawa Imam Al Qatadah berkata: “Allah menciptakan bintang-bintang tersebut untuk tiga kepentingan:
a. Sebagai perhiasan yang mengindahkan langit malam.
b. Sebagai alat pelempar ‘perejam’ terhadap syaitan-syaitan.
c. Sebagai petunjuk arah dan haluan (buat manfaat manusiawi).
Rujukan: Mukhtasar Al Bidayah wan Nihayah (Ibnu Katsir): Dr Ahmad Al Khani.
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
0 comments:
Post a Comment