1. Syariat islam itu ternyata hebat dan terunggul kerana ia adalah peraturan, ajaran, panduan dan pedoman Samawi yang maha sempurna yang telah digaris dan ditetapkan oleh Allah Rabbul ‘Alamin.
2. Namun, adakah setiap individu muslim itu dapat melihat dan mampu memahami di manakah letakduduknya apa yang dikatakan faktor kehebatan dan keunggulan syariat islam itu?
3. Ya, dengan adanya faham barulah adanya kemanisan dan rasa bangga saat menghayati syariat Islam dalam kehidupan. Sabda Nabi saw: “Barangsiapa yang Allah mahukan kebaikkan pada dirinya, maka Dia akan menjadikannya faham dalam urusan agamanya”.
4. Bila tidak faham, maka tidak hairanlah ada individu dan kumpulan-kumpulan tertentu di kalangan umat Islam sendiri yang dengan penuh kedangkalan telah memandang pesimis terhadap hukum-hakam Islam dan berani pula mempertikaikan syariat Allah yang maha suci itu. Kedudukan mereka tak lebih macam ‘api dalam sekam’ atau ‘gunting dalam lipatan’.
5. MANTIQAT AL’AFW
Salah satu faktor keunggulan Islam ialah pada keluasan ‘Ruang Kemaafan’nya. Allah swt melalui nas-nasnya sengaja membiarkan ‘ruang-ruang kosong’ atau ‘ruang kemaafan’ itu terbuka luas sedemikian.
6. Kenapa agaknya? Kerana Allah Yang Maha pemaaf lagi Maha Pengasih mahu memberikan ‘ruang gerak’ bagi para mujtahidin untuk berijtihad dan supaya mereka dapat mengisinya dengan hal-hal yang ‘Aslah’ yakni yang paling baik untuk manfaat sekelian umat.
7. Ya, itulah ‘ruang kosong’ bagi sekelian Mujtahidin agar mereka dapat merencana dan memutuskan ‘perkara-perkara’ yang paling layak dengan zaman dan persekitaran yang mereka huni dengan syarat mereka selalu beristiqamah memperhatikan ‘Maqasid’ (tujuan-tujuan) syariat yang umum serta mempedomani jiwa mereka dengan nas-nas yang Muhkamat (mantap).
8. Sabda Nabi saw: “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menentukan beberapa batas, maka janganlah kamu melampauinya. Dan Dia telah mewajibkan sesuatu, maka janganlah kamu meninggalkannya. Dan Dia telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu melanggarnya, dan Dia telah diam dari beberapa perkara sebab (Ia mahukan) rahmat bagi kamu sekelian, bukan kerana lupa, maka janganlah kamu membahaskannya.” (Riwayat Ad Daruquthni dan dinilai oleh Imam An Nawawi sebagai hadith Hasan).
9. Lihat pada frasa ‘maka janganlah kamu membahasnya’ (dalam hadis di atas), ditujukan khitab (percakapannya)nya kepada para sahabat yang hidup pada zaman wahyu masih lagi turun kepada Rasulillah saw. Apa maksud Rasulullah saw dengan percakapan itu? Ya, supaya tidak berlaku (tercetus) kesulitan ke atas mereka dengan sebab bertambahnya Taklif sebagai akibat (atau berpunca) dari tindakan mereka mencari-carinya baik berkenaan perintah-perintah yang diwajibkan maupun larangan-larangan yang diharamkan.
10. Dalam hadis di atas juga, seolah-olah Rasulullah saw mengingatkan para sahabat (sekelian umatnya) agar tidak mengulangi kedangkalan dan kebodohan kaum Bani Israel yang nyata sengaja mencari beban (cari penyakit) akibat dari sikap ‘banyak soal’ mereka terhadap perkara-perkara yang tidak perlu yang akhirnya menimbulkan kesudahan yang menyakitkan. Sabda nabi saw: “Ambillah apa yang aku tinggalkan pada kamu sekelian.” (Riwayat Ahmad, Muslim, An Nasa-ie dan Ibnu Majah dari Abi Hurairah r.a.)
11. Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman! Jaanganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan al quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanya) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam al quran); kerana Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyabar).” (Al Maidah: 101).
12. Ya, pada apa yang Allah ‘diam’kan itu ada kemaafan dan rahmat dariNYa. Itulah MAnthiqat Al ‘Afwu’ yakni ‘ruang kemaafan’ dari Allah yang Maha Pemaaf. Sabda Nabi saw: “Apa yang Allah Ta’ala halalkan di dalam kitab suciNya, maka ia adalah halal, dan apa yang Dia haramkan, maka ianya dalah haram. Sesuatu yang Dia diamkan tentangnya, maka ia dimaafkan, terimalah kebaikan daripada Allah. Seungguhnya Allah itu sedikitpun tidak lupa akan sesuatu.” Kemudian ia membacakan firman Allah Ta’ala: Dan tiadalah Tuhanmu itu lupa.” (Maryam:64). (Riwayat Al Hakim daripada Salman Al Farisi r.a.)
13. Keterbatasan jumlah taklif (kewajipan dan larangan) dan keluasan ruang kemaafan di dalam syariat Islam itu bukannya terjadi secara spontan, tergesa-gesa maupun kebetulan semata-mata. Allah sengaja menjadikannya sedemikian dengan tujuan supaya syariat Islam secara berterusan memiliki sifat keumuman, bercirikan kesedehanaan, kekal sesuai, baik dan praktikal untuk segala zaman, situasi, tempat dan keadaan.
Rujukan: ‘Awamil As sa’ah wal Murunah Fi AsySyari’ah : prof Dr Yusuf Al Qardhawi Rahimahullah.
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
1 comments:
Menurut Imam Abu Bakr al-warraq (guru al-Ghazali): "Apabila engkau dengar perihal kaum kafir akan berkekalan di dalam neraka, maka jangan engkau, kerana engkau orang Islam, berasa aman dan terselamat atau terlepas daripada pembalasan seperti orang-orang kafir itu. Sebabnya, urusanmu dan dirimu itu masih di dalam ancaman bahaya. Engkau belum tahu bagaiaman keadaanmu di hujung hayatmu nanti dan betapa nasib dirimu dalan suratan di Lauhul-Mahfudz. Sebab itu, janganlah berasa sedap hati dengan masa gemilangmu sekarang. Di sebalik kegemilangan itu berkemungkinan besar tersembunyi kecelakaan".
Imam al-Ghazali pula berkata, "Jangan terpesona, terpedaya dan berasa terlalu sedap hati dan aman dengan ni'mat Islam dan ni'mat terlepas daripada kemungkaran, karena kelurusan di pangkal jalan tidak semestinya lurus juga di hujung jalan. Ambillah iktibar daipada kisah-kisah di kalangan golongan 'abidin dahulu yang dengan tak semena-mena menjadi sesat di hujung jalan, lalu ditimpa 'kecelakaan' pada saat
terakhir hayatnya".
Post a Comment