KOTA BAHARU, 18 Okt
1. Masyarakat Arab Jahiliyah dahulukala terkenal kejam dan sadis kerana tergamak membunuh dan menanam anak-anak perempuan mereka hidup-hidup kerana takut jatuh miskin atau sial. Memang zalim kerna binatang pun tidak sampai ke tahap demikian. Inilah yang mungkin dikatakan ‘biar mati anak, jangan mati adat’.
2. Walaupun dunia kini berada di alaf 21, namun penyakit masyarakat jahiliah ini masih wujud bahkan semakin merebak dan berleluasa. Inilah yang dinamakan Jahiliah Moden.
3. Apakah masyarakat jahiliah yang tinggal di Jaziratul Arab sebelum kerasulan Nabi Muhmmad saw itu tidak kenal pada Allah? Bahkan! Mereka sangat mengenal Allah. Ya, mereka kata Allah itulah Pencipta langit dan bumi serta sekelian isinya, namun mereka tetap mempersekutui dan menderhakaiNya. Bila ditanya kepada mereka, siapakah yang menjadikan langit dan bumi, nescaya mereka akan mengatakan Allah. Mereka sekadar tahu, namun pengetahuan mereka itu tidak bertunjang sebagai keyakinan dan kepercayaan yang ampuh di dalam hati.
4. Dewasa ini isu pengguguran dan pembuangan bayi terus diperkatakan dan lebih menyilukan bila jenayah ini dilakukan oleh ramai remaja dan belia Melayu Muslim yang dikatakan sebagai ‘masyarakat’ yang memiliki adab dan budipekerti yang tinggi.
5. “Perbuatan mereka yang membuang bayi adalah sama dengan sikap kaum Jahiliyyah di Mekah iaitu kaum yang terkenal dengan keruntuhan akhlak dan moralnya. Golongan ini, mereka menolak agama, mereka suka kepada dunia dan wang tanpa memikirkan agama. Mereka sanggup terlibat dalam zina, dadah dan jenayah, “ kata Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
6. Apakah remaja dan belia Islam yang terlibat dalam jenayah ini tidak kenal Allah dan rasul? Bahkan! Mereka amat mengenalinya. Namun pengetahuan mereka tentang Allah dan Rasul setakat ‘tahu’ sahaja bukannya bertunjang di dalam jiwa. Selagi iman tidak bertunjang di dalam jiwa sebagai keyakinan yang kukuh dan selagi Islam tidak dihayati sebagai cara hidup maka selagi itulah ummah ini akan terdedah kepada tipudaya nafsu dan syaitan serta 'mudah' menjadi ‘bahan mainan’ pihak kapitalis dan imperialis Barat yang sememangnya berjuang siang dan malam untuk menjauhkan ummah dari agama Islam yang suci ini.
6. “Kita perlu menggiatkan lagi aktiviti kerohanian seperti dakwah untuk meningkatkan lagi kesedaran dan nilai moral masyarakat. Kita akan lakukan dakwah termasuk khutbah dan ceramah. Apa yang penting adalah kesedaran masyarakat di dalam hati mereka terhadap Islam bukannya polis. Orang lihat perkara ini tanggungjawab polis, itu salah. Sebenarnya tanggungjawab individu itu untuk menjaga moral mereka dengan Islam," katanya lagi.
BERNAMA@Sahabatamal09
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
5 comments:
FAKTA: Kesan pengguguran haram
Pada diri sendiri:
Jangkitan kuman pada bahagian peranakan.
Mengalami pendarahan dalam perut yang boleh mengakibatkan kematian.
Kecederaan pada rahim.
Sukar untuk mengandung lagi.
Jika mengandung, wanita berkenaan akan mengandung di luar rahim dan apabila beranak rahim boleh pecah secara spontan.
Mandul.
Senggugut dalam rahim.
Masalah psikologi – mental dan emosi.
Kemurungan berikutan teringat akan anak yang pernah dibuang.
Keluarga
Malu.
Psikologi – mental dan emosi.
Masyarakat
Mengikut langkah selepas mendapat tahu ada cara mudah yang boleh menggugurkan kandungan.
Kes pembuangan bayi semakin berleluasa.
Pandangan serong oleh orang sekeliling.
salam….
bukan nak ditujukan pd sesape..
namun,adalah nyata yg manusia semakin lalai dgn hal duniawi berbanding ukhrawi..
nak salahkan parent mereka yg melakukan perbuatan terkutuk ni pun bkn jawapan yg relevan skrg.
Malah,ade di antara mrk ni adlah anak kpd ibubapa yg sememangnya tahu persis perihal agama ni…………….
Melihat kepada perbahasan para fuqaha dapat diringkaskan hukum pengguguran janin dalam Islam terbahagi kepada dua keadaan:
Keadaan pertama:pengguguran janin yang berlaku selepas ditiupkan roh padanya(selepas 120 hari atau 4 bulan).Para fuqaha telah bersepakat bahawa pada ketika ini pengguguran adalah haram(rujuk Fatawa Ibnu Taimiyah jilid 34,m/s160;Hasyiah Ad-Dusuqi jilid 2,m/s 267;Nihayatul Muhtaj jilid 8,m/s 416;al-Furu’ jilid 1,m/s 191;al-Muhalla jilid 11,m/s 29)
Ia dianggap melakukan jenayah terhadap makhluk yang hidup,sempurna dan bernyawa.
Denda yang dikenakan sekiranya janin itu hidup ketika digugurkan kemudian mati adalah bayaran diat.Bagi janin yang mati ketika gugur dikenakan bayaran ghurrah.
Haram pengguguran selepas ditiupkan roh dikuatkan dengan hadis yang diriwayat oleh Ibnu Mas’ud secara marfu’,mafhumnya:
“Bahawa setiap seorang daripada kamu dihimpunkan kejadiannya di dalam perut ibunya selama 40 hari,kemudian jadilah ia segumpal darah seperti yang demikian,kemudian jadilah ia seketul daging seperti yang demikian,kemudian diutuskan malaikat lalu ditiupkan padanya roh“(Rujuk Fathul Bari jilid 11,m/s 477)
Keadaan kedua:pengguguran janin yang berlaku sebelum ditiupkan roh
Pendapat pertama:Boleh melakukan pengguguran janin dalam tempoh 40 hari dari tempoh kehamilan.
Kemudian mereka berselisih pada menyatakan keharusan menggugurkan tersebut.Setengah daripada mereka membolehkannya secara keseluruhan seperti sebilangan fuqaha Hanafi,al-Laqhmi daripada Maliki,Abu Ishak al-Marwazi daripada Syafei dan sebahagian Hambali(rujuk Hasyiah Ibnu Abidin jilid 2,m/s 380;Hasyiah ar-Rahuni jilid 3,m/s 264;Nihayatul Muhtaj jilid 8,m/s 416;al-Furu’ jilid 6,m/s 191)Bagi mereka dalam tempoh yang disebutkan tadi kandungan masih lagi tidak bernyawa.
Setengah daripada mereka pula meletakkan beberapa syarat dan garis panduan bagi membolehkan kandungan digugurkan.(rujuk Hasyiah Ibnu Abidin jilid 2,m/s 380;Hasyiah ar-Rahuni jilid 3,m/s 264;Nihayatul Muhtaj jilid 8,m/s 416;al-Furu’ jilid 6,m/s 191).
a. Sekiranya kandungan tersebut dikekalkan akan memberi kemudharatan pada isteri
b. Terputusnya susu dengan sebab hamil lagi(bagi pasangan yang mempunyai anak kecil yang masih menyusu) dan suami tidak berkemampuan untuk mengupah wanita lain untuk menyusukan anaknya.
c. Mesti redha di kedua-dua belah pihak dari hasil perbincangan suami isteri.
d. Mestilah mendapat kepastian dari pakar perubatan yang dipercayai(thiqah) bahawa pengguguran yang akan dilakukan tidak memberi sebarang kemudharatan kepada isteri.
e. Mesti bertujuan untuk menumpukan perhatian penuh kepada tarbiah dan pendidikan anak,kerana sebilangan isteri tidak dapat melakasanakan tanggungjawabnya apabila mengandung.
f. Sesetengah fuqaha memberi kelonggaran kepada kandungan yang terhasil dari zina(tajuk ini akan dibincangkan secara terperinci di bawah).
Pendapat kedua:Makruh yang membawa kepada kepada haram menggugurkan janin,pendapat ini dipelopori oleh sebilangan fuqaha Hanafi,Syafie dan Hambali(rujuk Jamie al-Fusulin jilid 2,m/s 354;Fatawa Khaniyah jilid 3,m/s 410;Hasyiah Ibnu Abidin jilid 3,m/s 495;Nihayatul Muhtaj jilid 8,m/s 416;al-Furu’ jilid 1,m/s 281)
Pendapat ketiga:Haram pengguguran secara keseluruhan
Mereka berhujah tidak boleh mengeluarkan mani(yang sudah berlaku persenyawaan) yang telah terbentuk di dalam rahim walaupun sebelum tempoh 40 hari,kerana ia akan hidup.Maka hukum baginya adalah seperti yang hidup.
Imam Ghazali mengungkapkan haram melakukan pengguguran dalam tempoh ini dengan katanya:Ia adalah jenayah ke atas benda wujud yang akan terjadi,peringkat pertama kewujudannya ialah apabila mani diletak di dalam rahim dan berlaku persenyewaan serta bersedia untuk menerima kehidupannya.Menghalang perkara tersebut beerti jenayah,kerana ia menyekat ia dari terbentuk dengan sempurna.(rujuk Ihya’ Ulumuddin jilid 2,m/s 51)
Kata Ibnu Jauzi:Perkara tersebut adalah haram tetapi kurang dosanya berbanding dengan pengguguran yang dilakukan selepas ditiupkan padanya roh(rujuk Ahkam an-Nisa’ m/s 374)
Pendapat yang dipegang oleh kebanyakan fuqaha adalah pendapat yang mengatakan haram menggugurkan janin(jika tidak ada sebarang sebab yang membolehkannya).Bagaimana pula pengguguran yang dilakukan ke atas janin anak luar nikah?Berikut adalah perbahasan para ulama mengenainya:
Hukum Pengguguran Janin Anak Luar Nikah
Pendapat ulama terdahulu:
a. Mazhab Maliki
Penguguran adalah diharamkan jika dilakukan selepas ditiupkan roh ke atas janin tersebut.
Berdasarkan pendapat al-Imam Khurasyi dan lain-lain ulama Malikiyah mengharamkan secara mutlak pengguguran janin walaupun sebelum 40 hari yang pertama di dalam rahim.Inilah pendapat muktamad di dalam mazhab Maliki.
b. Mazhab Syafei
Para ulama bermazhab Syafei bersepakat mengatakan bahawa pengguguran adalah diharamkan jika dilakukan selepas ditiupkan roh ke atas janin tersebut.
Manakala jika sebelum ditiupkan roh sebahagian ulama Syafieyah membenarkan pengguguran dilakukan.Ini berdasarkan pendapat Imam Qarafi.Imam al-Ghazali juga membahaskan tentang perkara ini tetapi tidak menjelaskan sama ada ianya haram atau tidak.
Imam al-Ramli dan Syeikh Sulaiman Jamal mengatakan harus dilakukan pengguguran jika sebelum ditiupkan roh.Manakala Imam Subki meletakkan bahawa harus digugurkan jika janin yang berada di dalam rahim tersebut belum melebihi 80 hari.
2. Pendapat Ulama Semasa:
Menurut Dr. Misbah Mutawalli Sayyid Hammad(pensyarah Fiqh Perbandingan Universiti Al-Azhar):Tidak terdapat seorang pun di kalangan ulama semasa yang bersetuju bahawa janin anak zina dibenarkan untuk dilakukan pengguguran.Antara ulama yang berpendapat sedemikian adalah seperti Dr.Abdul Fattah Idris dan Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti.Bahkan mereka menegaskan bahawa sepatutnya para ulama melarang perkara seperti ini berlaku.
Di antara doktor perubatan yang menyokong pendapat ini ialah Dr. Hassan Huthut dan Dr. Muhammad Ali al-Bar.
Antara dalil yang digunakan oleh para ulama yang mengharamkan perkara ini ialah:
i. Firman Allah s.w.t dalam surah an-Najm ayat 38,maksudnya:
“Bahawasanya seseorang yang berdosa tidak akan menanggung dosa orang lain“
Ayat ini menerangkan bahawa seseorang itu tidak akan menanggung dosa perbuatan orang lain.Menurut Dr.Muhammad Said Ramadhan al-Buti:”Kita mengetahui dengan jelas bahawa tujuan sebenar pengguguran ini dilakukan oleh penzina adalah semata-mata untuk mengelakkan dirinya dicemuh masyarakat terhadap dosa yang dilakukan olehnya”
Maka ini jelas menunjukkan bahawa perkara ini diharamkan.Seolah-olah janin yang tidak bersalah tersebut turut terlibat sama di dalam dosa yang dilakukan oleh penzina terbabit.
ii. Berdasarkan hadis wanita yang berzina pada zaman baginda nabi s.a.w.Hadis tersebut diriwayatkan di dalam Sahih Muslim pada bab hukuman zina.Kesimpulan yang dapat kita ambil daripada hadis ini ialah jika benar pengguguran janin anak zina dibenarkan oleh syarak,maka tentulah banginda nabi s.a.w. akan mengarahkan wanita tersebut untuk menggugurkan kandungannya.Hadis tersebut juga menjelaskan bahawa wajib menjaga kandungan tersebut sehingga dilahirkan dan disusukan selama 2 tahun.
Kesimpulan:
Kesimpulan yang dapat kita lakukan berdasarkan dua pendapat di atas ialah haram melakukan pengguguran terhadap anak luar nikah.Dalil-dalil yang digunakan oleh para ulama semasa lebih jelas dan kuat berkenaan pengharaman perkara ini.Maka para pengamal perubatan perlu mengambil perhatian tentang perkara ini.
Sumber:
Kertas Kerja Seminar Perubatan Kali Ke-2 mengenai Kelahiran dan Kematian anjuran Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia-Mesir pada 11-12 Februari 2009,pembentang hasil kertas kerja di atas ialah Ustaz Nazrul bin Nasir(penuntut Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar,tahun 3) dan Ustaz Faizuddin bin Hassan(penuntut Master Syariah Universiti Terbuka Amerika Kaherah,tahun 2)
Post a Comment