1. Dia dilahirkan pada tahun 54 sebelum peristiwa Hijrah. Hadirnya ke dunia ini memberi kekuatan kepada perjuangan, dakwah dan jihad Nabi saw. Di antara gugusan dan taburan jutaan bintang yang berada di sekitar bulan purnama indah nan berseri, dialah 'bintang' yang paling menyinar, indah lagi menawan. 'Sahabat-sahabatku umpama bintang," sabda Rasulullah saw.
2. Beliau adalah Abdullah bin Abi Quhafah atau yang yang lebih kita kenali dengan nama Saidina Abu Bakar As Siddiq r.a. Sahabat yang mulia yang telah memberikan seratus peratus keyakinan, kepercayaan, dokongan dan kesetiaan kepada Allah dan rasulnya.
3. Tidak ada sedetik atau sekelumit keraguan pun yang singgah bertandang di dalam jiwanya saat mula ia tulus dan pasrah menjadi lelaki pertama beriman kepada Allah dan RasulNya sepertimana tidak pernah masuk setitik arak pun ke dalam tubuhnya lantaran beliau telah mengharamkan najis arak itu ke atas dirinya semenjak era jahiliah lagi. Bayangkan, saat masyarakat Arab ketagih dan gilakan arak, dia sedikit pun tidak teliur untuk meneguknya. Jelas dan nyata, kenapa cahaya iman paling cepat menerobos ke dalam jiwanya.
4. Bapanya Abu Quhafah masih hidup saat beliau menerima amanah dan kepercayaan rasul saw untuk menjadi khalifah pertamanya. Pemergian Rasulullah menuju Ar Rafiqul A'la saw buat selama-lamanya wajar ditangani segera kerana itulah yang baginda mahu. Ummah tidak boleh terbiar tanpa pimpinan bagai anak ayam kehilangan ibunya. Saat itu, tiada siapa yang layak untuk jawatan khalifah Rasul yang utama ini melain putera Abi Quhafah inilah. Sebulat suara dimulai Saidina Umar lalu diikuti sekelian Muhajirin dan Ansar memberikan wala dan bai'ah yang tidak berbelah bagi kepadanya.
5. Di kalangan umat rasul saw, tidak ada orang lain yang memiliki iman seberat imannya. Tiada orang yang mampu berkorban fi sabilillah seumpama dirinya. Dia menangis dan hatinya berduka saat orang lain ketawa ria ekoran wahyu telah tamat sempurna. Dialah yang digambarkan baginda saw sebagai orang yang paling kasihkan umat ini.
6. Dia di senarai teratas 10 sahabat yang beroleh berita gembira dengan jaminan syurga. Namun, mahar yang dibayar olehnya untuk kemuncak bahagia itu adalah jejeran airmata, keringat, darah dan jiwa raga. Yang lebih utama adalah kerana imannya yang murni di puncak persada. Tiada taburan bunga maupun 'karpet merah' untuk itu semua. Perjuangan itu pahit kerana syurga itu manis.
7. Beliau meninggal dunia pada tahun 13 Hijrah. Langit dan bumi menangis lagi untuk kesekian kalinya. Kewafatannya saat itu turut disaksikan oleh ayahndanya yang tercinta. Dia pergi dahulu sebelum ayahndanya. Semoga Allah meredhaimu.
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
1 comments:
Dialah sahabat yang paling setia pada Rasulullah...kini nak cari sahabat yang seperti Abu Bakar amt sukar sekali...
Post a Comment