1. Seandainya di dalam sanubari kita ada sekelumit rasa ‘Khasyah’ (takutkan Allah saw) , maka pasti kita akan menjadi hambaNya yang tunduk dan pasrah mengutip mutiara iktibar dari segala peringatan-peringatan Allah swt yang yang kini bertali arus letusannya di hadapan mata kepala kita. Ya, kita mesti budayakan ‘Ainul I’tibar’ iaitu ‘pandangan untuk mengambil iktibar’.Itulah pandangan dengan matahati yang hidup.
2. Tanpa rasa Khasyah itu, jiwa kita tidak akan tersentuh dan merasai apa-apa. Semuanya bagai angin lalu. Peringatan-peringatan Allah itu tidak lebih umpama air yang tercurah ke daun keladi. Malapetaka yang terjadi seperti biasa terus dilabelkan sebagai ‘fenomena alam’ sahaja yang ternyata asasnya adalah pegangan jazam puak sekularis dan athies.
3. Ya, kepada mereka yang menjadi mangsa dan korban bencana tak kira di benua mana mereka, kita wajar hulurkan bantuan menurut apa yang termampu tanda simpati. Doakan kerahmatan dan keampunan untuk mereka. Itu sememangnya kewajipan di antara sesama bani Insan.
4. Namun, bagi kita yang masih hidup, apa pengajaran yang kita ambil? Apa iktibar yang kita kutip untuk suluhan di hari-hari mendatang?
5. Pengajarannya adalah agar kita semua segera kembali kepada Allah. Kembali kepada rahmat, keampunan dan redhaNya. Kembali menurut syariatNya dan tunduk kepada SunnahNya.
6. Dalam segala malapetaka yang terjadi, tidak nampakkah kita bahawa Allah swt sedang memberitahu kepada sekelia manusia bahawa Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Berkuasa?? Di mana saat itu, nyata sekali bahawa penguasa-penguasa di negara-negara yang ditimpa melapetaka itu jadi terkedu, lesu dan tidak berdaya apa-apa lagi..Lalu siapkah yang benar-benar Maha Berkuasa??
7. Kepada Nabi saw, Allah Ta’ala perintahkan: (Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): “Turutilah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan”.[4]. Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari, atau ketika mereka berehat pada tengah hari.(5)
8. Sekali lagi kita berseru. Ayuh marilah kita kembali kepada Allah sebelum kemarahanNya tidak dapat dibendung lagi. Sebelum azabnya tidak mampu ditahan lagi. Marilah kita kembali kepada agama yang diredhaiNya tanpa melampirkan sebarang syarat. kerana Islam itu sudah bererti selamat. Kembalilah dan tuluskanlah hati. Kebenaran itu milik dan dari Tuhan Rabbul ‘Alamin yang tidak wajar kita meraguinya sama sekali.
9. FirmanNYA dalam surah az Zumar ayat 54 dan 55, ‘ Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah sepenuhnya kepadaNYA, sebelum kamu didatangi azab. Kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan. Dan turutilah al Quran sebaik-baiknya (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya’.
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
0 comments:
Post a Comment