INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Thursday, February 26, 2009

TIADA YANG DAPAT MENANDINGI IMANNYA

Nama sebenar Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a ialah Abdullah bin Abi Quhafah Uthman bin Amir bin ka’ab as-Siddiq at-Taimiyy al-Quraisyi. Beliau lahir tiga tahun selepas Tahun Gajah, bermakna beliau muda tiga tahun dari Rasulullah s.a.w. Semasa zaman jahiliyyah, beliau adalah seorang yang disayangi, zuhud, penyabar dan tidak pernah meminum arak atau menyembah berhala. Begitulah insan yang dipilih Allah untuk dimuliakan, telah berada dalam pemeliharan-NYA.

Ketika semboyan peperangan berbunyi:- Maka Rasulullah s.a.w mengajak para sahabat menginfakkan harta mereka untuk peralatan peperangan..maka Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al-Khattab tidak ketinggalan menginfakkan harta mereka untuk Islam..Maka sejumlah besar harta diberikan kepada Rasululah s.a.w fisabilillah. Rasululah s.a.w bertanya kepada Saidina Umar al-Khattab: Apa yang kamu tinggal untuk keluarga kamu? Maka jawab Saidina Umar: Aku tinggalkan mereka dengan jumlah yang sama. Maka Rasulullah s.a.w bertanya pula kepada Saidina Abu Bakar, maka jawabnya: Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul. Saidina Umar yang mendengar jawapan sahabatnya itu, lantas berkata: "memang aku tak dapat saingi kamu dalam apa pun, hai Abu Bakar!"

Begitu mulia hati Saidina Abu Bakar, sejarah telah membuktikan..betapa sanggup ia berhijrah bersama Rasulullah s.a.w, walaupun nyawanya diancam bahaya. Malah, keselamatan Rasulullah s.a.w lebih dikhuatiri dari dirinya sendiri. Ingatkah sahabatku, peristiwa hijrah, ketika Saidina Abu Bakar dan Rasulullah s.a.w bersembunyi di Gua Thur , Saidina Abu Bakar yang menutup lubang dengan kakinya telah disengat seekor kala jengking, namun dia hanya memendam rasa..saat Rasululah s.a.w. berbaring, terasa sebutir air mata jatuh pada Baginda..begitulah sayangnya Saidina Abu Bakar. Cintanya buat Allah dan Rasul-NYA.

Sahabat sejati Rasulullah s.a.w ini telah mendapat gelaran ‘As-Siddiq’ bukan ’sodiq’ atau’ saadiq’- tetapi…: "AS-SIDDIQ" iaitu tidak pernah berdusta di dalam hidupnya. Ia sentiasa benar dalam kata-katanya sepanjang ia hidup. Malah , beliau sentiasa membenarkan kata-kata Rasululah s.a.w, tidak kira dalam apa keadaan sekalipun…maha suci ALLAH yang mengurniakan Rasululah s.a.w sahabat semulia Saidina Abu Bakar, sesuailah insan semulia dan setinggi martabat kekasih ALLAH, didampingi sahabat sebaik dan semulia hati seperti Saidina Abu Bakar…begitulah putaran hidup dan suratan takdir yang Allah telah susunkan terbaik untuk hambaNya…

Bayangkanlah, di waktu Rasulullah s.a.w diangkat menjadi Rasul, maka Saidina Abu Bakar adalah lelaki dewasa pertama beriman dengan ALLAH dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w, malah, Saidina Abu Bakar sendiri telah mengislamkan beberapa orang sahabat yang lima daripadanya tergolong ahli Syurga:seperti Uthman bin Affan, Talhah bin Ubaidillah, Abdul Rahman bin Auf, Abu Ubaidah al-Jarrah, Zubair bin al-Awwam dan lain2. Sumbangan Saidina Abu Bakar amatlah besar dalam perkembangan Islam, beliau juga telah memerdekakan beberapa hamba yang diseksa oleh kaum quraisy termasuk Amir bin Fuhairah dan Bilal bin Rabbah yang teguh mempertahankan kalimat LAILAHAILLALLAH walaupun dadanya ditimpa batu besar dan beliau dijemur di tengah panas, maka Abu Bakar telah membeli beliau dan memerdekakannya, iaitu Bilal sahabat nabi yang sangat sedap mengalunkan azan.

Di suatu peristiwa lain, apabila Rasulullah s.a.w, mengangkat seketul batu, baginda berkata: Batu ini sedang berzikir… Kata Saidina Abu Bakar as-Siddiq" Apakah engkau yang berkata bahawa batu ini berzikir? Maka benar katamu, batu ini berzikir". Ketika Rasulullah s.a.w, Saidina Abu Bakar, Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Uthman berada di atas Bukit Uhud, maka bergoncang bukit uhud. Rasulullah s.a.w berkata: Wahai Uhud, diamlah kamu, sesungguhnya di atas kamu terdapat Nabi Allah, As-Siddiq dan dua Syuhada’ (H.R. Muslim). Masya Allah, begitulah mulianya para sahabat Nabi. Maka, Bukit Uhud diam patuh pada arahan Nabi s.a.w. Begitulah gelaran as-Siddiq yang diberi khusus untuk sahabatnya yang setia iaitu Saidina Abu Bakar r.a dan dua syuhada’ itu ialah Saidina Umar al-Khattab yang dibunuh ketika sedang solat subuh sewaktu pemerintahannya.

Dan seorang lagi yang diberi gelaran syuhada’ ialah Saidina Uthman bin Affan yang dibunuh ketika dia membaca Al-Qur’an semasa zaman pemerintahannya. Begitulah Rasulullah s.a.w telah dimaklumkan mengenai sahabatnya yang akan tergolong syuhada’.Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berkata kepada sahabatnya:

" Sesiapa yang memulakan paginya dengan berpuasa pada hari ini? Maka berkata Abu Bakar: Saya. Rasulullah s.a.w menyambung lagi: Siapa yang menghantar jenazah pada hari ini? Maka berkata Abu Bakar: Saya. Kata Rasulullah s.a.w. lagi, siapa yang menziarahi orang sakit pada hari ini?. Berkata Abu Bakar: Saya. Siapa di antara kamu yang bersedeqah pada hari ini? Maka jawab Abu Bakar: Saya. Kata Rasulullah s.a.w: Tidak ada yang melakukan semua ini kecuali dia akan dimasukkan ke dalam Syurga. ( H.R. Muslim).

Keimanan Saidina Abu Bakar terbukti di saat Rasulullah s.a.w wafat. Betapa ramainya kaum Muslimin tidak dapat menerima hakikat ini, malah antara sahabat terakrab Nabi s.a.w iaitu Saidina Umar al-Khattab yang berani dan teramat cintakan Nabi s.a.w telah berkata, "Nabi tidak mati, siapa yang berani berkata nabi telah mati, maka aku akan bunuh dia". Di sinilah bukti teguhnya iman sahabat setia Nabi.s.a.w iaitu Saidina Abu Bakar, beliau telah keluar untuk meredakan ketegangan yang berlaku. Beliau bangkit dan berkata :" Wahai manusia, barangsiapa yang menyembah Muhammad, maka Muhammad telah mati. Dan barangsiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah hidup dan tidak mati".

Begitulah contoh ketabahan terhebat, sedangkan kekasih Allah itu jugalah sahabat yang paling dicintainya, namun ia tabah menghadapi kewafatannya. Kesan yang lahir dari keimanan yang mantap. Maka, tenanglah hati Saidina Umar yang tegang tadi mendengar kan kata sahabatnya ini yang dipetik daripada ayat al-Qur’an Surah Ali-Imran: ayat 44.

Sadina Umar yang menghafaz Al-Qur’an telah berkata: "Ini kali pertama aku mendengar ayat ini". Setelah itu, para sahabat telah berbai’ah kepada Saidina Abu Bakar sebagai khalifah pertama dalam Islam. Semasa pemerintahan Saidina Abu Bakar, beliau telah memerangi golongan yang tidak mahu membayar zakat kerana nabi telah wafat, maka mereka bertanggapan, tidak perlu lagi membayar zakat setelah kewafatan nabi.


Beliau juga memerangi mereka yang menggelar diri sebagai nabi, iaitu nabi palsu, termasuklah Musailamah al-Kazzab dan sajjah dan lain-lain. Beliau juga telah memperkembangkan Islam ke Wilayah Parsi dan Rom. Antara jasa terbesar insan mulia kesayangan Nabi s.a.w ini di zaman pemerintahannya ialah mengumpulkan al-Qur’an dalam satu mashaf yang ditulis oleh Zaid bin Thabit. Ini adalah kerana al-Qur’an hanya dihafal oleh sahabat-sahabat dan ada yang menulis di pelepah tamar, dan ada yang hafal sedikit, beberapa surah , beberapa juzu’ dan sebagainya. Maka Khalifah Abu Bakar telah memerintahkan Zaid bin Thabit menulis semua al-Qur’an ke dalam satu mashaf. Ini berikutan peperangan yang berlaku telah berakhir dengan gugurnya ramai sahabat penghafaz al-Qur’an sebagai shuhada’, maka tindakan bijak ini telah diambil oleh Khalifah Abu Bakar ketika pemerintahannya.

Sahabat setia Rasulullah s.a.w ini jatuh sakit dan wfat pada bulan Jamadil Awal tahun 13 Hijrah. Tempoh pemerintahan beliau ialah dua tahun tiga bulan dan pemerintahan diserahkan kepada khalifah kedua dalam Islam iaitu Saidina Umar al-Khattab. Wallahua’lam

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial