INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Saturday, June 20, 2009

TV ISLAM : SATU HARAPAN, PERJUANGAN & WARISAN

PUTRAJAYA:
Alhamdulillah. Penantian dan impian umat Islam di seluruh negara sekian lama dahulu untuk memiliki TV berwadahkan Islam dan syariah termakbul jua. Kita berharap perasmian saluran berkenaan tidak tergendala dan menghadapi sebarang masalah. Melahirkan TV Islam bukan perkara kecil di zaman teknologi maklumat dan serba canggih dan pantas ini. Bagaimana syiar Islam dapat diwar-war dan diketengahkan ke tengah khalayak muslim ataupun non muslim andai kita lemah dan ketinggalan di belakang dalam bidang ini.

Bukankah Islam itu bersifat syumul dan sempurna? Dengan mewujudkan system penyiaran Islam yang unik dan tersendiri ini maka kita sebenarnya sedang merealisasikan kesyumulan Islam itu sendiri. Dr Yusuf al Qaradhawi juga pernah mengenengahkan saranan dan pandangan di dalam karya-karyanya bahawa zaman sekarang bukan zaman orang di suruh membuang dan mencampakkan TV, tetapi zaman di mana bagaimana kita harus merencana dan merancang apa dan bagaimanakah pengisian yang akan diisi di dalamnya.


“Kita mahu supaya saluran televisyen Islam milik kerajaan yang akan diwujudkan, menjadi wadah untuk menjelaskan perkara berkaitan agama di negara ini dengan lebih berkesan,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saluran berkenaan akan diwujudkan secepat mungkin selepas beberapa isu teknikal mengenainya diselesaikan,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom.

"Perdana Menteri bersetuju dengan usaha mewujudkan saluran televisyen Islam itu dan ketika ini beberapa isu teknikal termasuk mengenai frekuensinya masih diselaraskan dan Perdana Menteri mahu ia direalisasikan secepat mungkin," katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Jamil Khir berkata, nama saluran televisyen itu juga belum ditentukan tetapi ia akan dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dari segi kandungan.
Katanya, kewujudan televisyen Islam itu penting pada masa ini bagi memberi kefahaman yang baik kepada umat Islam di Malaysia berhubung isu berkaitan agama.

Pada 11 Jun lalu, Jamil mengumumkan kerajaan meluluskan sebuah lagi saluran televisyen baru yang dikhaskan untuk televisyen Islam, dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan dan dikendalikan Jakim.

Jakim sudah bersiap sedia dengan pelbagai program dakwah untuk disalurkan menerusi saluran televisyen itu.

Jamil Khir berkata, kandungan saluran televisyen Islam itu memuatkan pelbagai rancangan seperti berita semasa, ekonomi, sukan, kebudayaan, program membina minda termasuk hiburan, tetapi mengikut Syariah.

“Dengan adanya saluran televisyen itu yang berkonsepkan penyiaran dakwah Islamiah, akan memberi pilihan baru kepada penonton selain saluran televisyen sedia ada dimiliki kerajaan, swasta dan stesen televisyen berbayar.” Kata Khir lagi.

Dengan gandingan Radio IKIM dan TV Jakim ini kita mengharapkan usaha dakwah dan pendidikan ummah akan lebih berkesan, mantap bersepadu dan menyeluruh. Usaha semua pihak meralisasi dan menjayakan projek ini saya anggap sebagai projek fardhu Kifayah satu amal jariah terbesar yang sedang kita persiapkan untuk anak-anak dan generasi kita akan datang. Bila sebut amal jariah, maka dia adalah amalan yang pahalanya berpanjangan.

Kepada ibubapa muslim pula, kita berharap agar dapat bersungguh-sungguh memperkenalkan saluran TV Islam ini kepada anak-anak dan keluarga kita. Tanamkan ke dalam jiwa anak-anak kita rasa sayang pada setiap perkara yang ada kena mengena dengan kemajuan dan perkembangan agama kita seperti Radio Ikim dan TV Jakim ini. Kalau kita tidak prihatin dan memberi sokongan kepada dua saluran ini, maka kepada siapa lagi yang harus harapkan. Kepada seluruh krew yang terlibat dan akan terlibat, tuluskan niat kita dan selamat berjuang!





2 comments:

Anonymoussaid...

السلام عليكم ورحمة الله. Saya amat bersetuju dengan penulis bahawa orang pertama yang MESTI memainkan peranan apabila TV Islam ini dilancarkan ialah ibubapa sendiri. Jika ibubapa tidak merancang untuk pengisian minda anak-anak, jangan mengharap orang lain boleh membetulkan dengan mudah minda anak-anak yang diabaikan oleh ibubapa. Ingat Firman ALLAH dalam Surah At-tahrim ayat 6 yang bermaksud,"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka, yang bahan bakarnya adalah terdiri dari manusia dan batu....."

Kita dapat lihat beberapa contoh benar yang berlaku dewasa ini. Berapa ramai ibubapa yang menonton Malaysia Hari ini walhal dalam masa yang sama adanya rancangan Tanyalah Ustaz. Berapa ramai ibubapa yang memilih menonton rancangan drama walhal dalam masa yang sama adanya rancangan Forum Perdana Ehwal Islam dan Halaqah.

Oleh yang demikian, ibubapa yang terlebih dahulu perlu mengambil langkah untuk berhijrah dari penonton rancangan-rancangan yang melalaikan terutama rancangan hiburan yang jelas jauh menyimpang dari garis panduan yang telah ditetap oleh syarak kepada rancangan-rancangan yang lebih bermunafaat yang boleh membentuk minda kelas 1 ibubapa dan anak-anak.

Kita sama-sama berdoa dan berharap agar TV Islam ini akan menjadi pemankin kedua selepas Radio IKIM dalam melahirkan ummah yang berkualiti dari segi minda dan aqidah agar terhasil kebaikan dalam akhlaq dan kebenaran dalam kepercayaan. Maka akan terbentuk generasi muda yang mampu untuk menjadi khalifah ALLAH di muka bumi ini.

SAHABAT AMAL said...

Sama2 kita doa dan gerakkan. amin

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial