INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Tuesday, June 9, 2009

SIKAP & ASBAB YANG MENGUNDANG KEHINAAN

Gemilangnya hidup seorang muslim di dunia ini ialah bilamana ia dapat mengislah atau mengelokkan hubungannya dengan Allah dan hubungannya dengan sesama manusia.

Itulah dua ‘Tali’ yang dinyatakan al quran sebagai Hablum minallah dan Hablum minan nas. Itulah dua cabang ibadah yang harus dilaksana dan dibangunkan secara selari dan serentak tanpa meminggirkan salah satu dari keduanya apalagi andai diabaikan kedua-duanya kerana pengabaian dan peminggiran terhadap keduannya bakal mengundang kehinaan di dunia dan di akhirat.


Lalu, bagaimana status hubungan kita dengan Allah ketika ini?
Dan di saat ini, bagaimana pula hubungan kita dengan sesama manusia?

Apakah salah satu dari dua hubungan itu berada di dalam keadaan yang baik atau tidak baik? Atau apakah kedua-dua hubungan itu berada di dalam keadaan tenat lagi caca marba?

Untuk menjawabnya elok kita mengulangkaji apakah yang dikatakan ibadah hablum minallah dan hablum minan nas itu?

Ibadah Hablum minallah

Apakah Hablum minallah? Itulah segala syariat dan hukum hakam agama yang yang bersifat fardhu ’ain (kewajipan yang tertakluk di atas setiap individu) seperti:

Beriman dan bertaqwa kepadaNYa, solat, zikrullah, ikhlas beramal, sabar dan redha menghadapi ketentuaNya, membaca dan menghayati alquran, berpuasa, berzakat, mengerjakan haji dan umrah, menuntut ilmu, menutup aurat (berhijab) berakhlak dengan Allah, membantu (memperjuang dan memelihara) agamaNYa, mengingati mati dan bersedia menghadapinya, mencari sumber rezeki yang halal, menyeru yang makruf dan mencegah yang mungkar, membersihkan hati dari dosa, syirik, nifaq, mazmumah dan sebagainya.

Ibadah Hablum minan nas

Apakah dia ibadah hablum minnas?
Itulah segala syariat dan hukum hakam agama yang bersifat fardhu kifayah (kewajipan yang tidak dapat dilaksanakan melainkan secara jamaah atau amal jama’ie) seperti:

Membangunkan pendidikan, hubungan antarabangsa, keusahawanan, penulisan, ekonomi, perniagaan, masyarakat, penyiaran, nikah kahwin, kenduri kendara pergaulan secara Islam, pengurusan jenazah, berakhlak dengan sesama manusia, bergotong royong, bermesyurat dan bermuafakat, Mendamaikan orang yang bersengketa, berukhuwah dan bersilaturrahim, membela golongan yang tidak bernasib baik seperti anak yatim, ibu tunggal, fakir miskin, sakit melarat, dibebani hutang, ditimpa bencana dan sebagainya.

Kehinaan Yang Menyeluruh

Kehinaan yang Allah akan timpakan ekoran pengabaian kepada dua faktor itu tadi sebenarnya bersifat menyeluruh. Di mana-mana sahaja dan di segenap aspek kehidupan. Inilah yang kita sangat takutkan. Inilah apa yang amat kita bimbangkan.

Dihina oleh manusia pun, kita sudah tidak tahan menanggungnya, inikan pula menerima penghinaan secara total dari Allah yang telah menciptakan kita.

Firman Allah: ”Akan ditimpakan ke atas mereka kehinaan (dalam segenap urusan) di mana sahaja mereka berada kecuali mereka menghubungkan diri mereka dengan Allah (hablum minan nas) dan menghubungkan diri mereka dengan sesama manusia (Hablum minan nas).” (Surah ’Imran: 112).

Pelbagai bentuk Kehinaan

1. Bukankah ’kehinaan’ namanya bilamana umat khasnya anak-anak remaja ditimpakan gejala dan penyakit sosial yang semakin hari semakin tenat dan gawat seperti budaya bercouple, budaya shuffle, budaya metal, hedonisme, berkhalwat, menonton video lucah, perogolan, perzinaan, sumbang mahram, bersekedudukan dan seterusnya pengguguran haram?

2. Selanjutnya bukan ”kehinaan”kah namanya bilamana Allah hinakan manusia dengan pelbagai panyakit dan virus yang pelik-pelik lagi menakutkan seperti selsema burung, selsema khinzir, Siplis, HIV (Aids) yang mana sebahagian daripadanya tidak pernah diketemui penawarnya?

Lanjutan kehinaan itu, menurut teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh JAIS (bertarikh 18 april 2008) mencatatkan bahawa majlis AIDS Malaysia telah membelanjakan sejumlah 40 juta ringgit setahun untuk menangani mangsa-mangsa aids diseluruh negara.

3. Bukankah ’kehinaan’ nama nya bila rasuah berleluasa, pecah amanah dimana-mana, perebutan kuasa, saling jatuh menjatuhkan, berpolitik secara rimba yang kebarangkalian akhirnya ialah menjadikan rakyat jelata ’merempat di bumi sendiri’ sementara tanah kelahiran menjadi gadaian?

4. Bukanlah ’kehinaan’ namanya bila kes-kes perceraian, penderaan dan keretakan rumahtangga semakin hari semakin meningkat lagi sukar dibendung? Kehinaan itu menjalar kepada pula kepada bertambahnya jumlah anak-anak yang terabai rohaniah dan minda mereka, pertambahan ibu tunggal yang tidak terbela, kecelaruan dalam aspek pembahagiaan harta dan sebagainya.

5. Bukankah ’kehinaan’ namanya bilamana masyarakat Islam yang merupakan masyarakat teramai di dalam negara masih ’lemas’ dan terhimpit dalam isu-isu kepengunaan juga dalam isu halal haram yang tidak berkesudahan?

6. Bukankah ’kehinaan’ nama nya apabila anak-anak mengabaikan kedua ibubapa mereka? Memaki hamun, menggugut dan memukul mereka atau menghantar mereka jauh-jauh ke rumah penjagaan orang tua dan sebagainya?

7. Bukan ’kehinaan’ kah namanya bila hari ke hari bertambah jumlah anak bangsa kita menjadi peragut, samseng jalanan, pembuli, pembunuh, perokok dan penagih tegar dan sebagainya.

Ekoran itu, penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai kegiatan yang tidak bermoral itu bukan sahaja membezakan jutaan ringgit (dari sudut kerugian wang ringgit dan dana), malah hilangnya tenaga-tenaga pelapis yang sepatutnya mewarisi kepimpinan negara.

Mengikut laporan daripada agensi anti dadah kebangsaan,sebanyak 19 juta ringgit setahun dibelanjakan untuk pemulihan penagih-penagih dadah diseluruh negara.

8. Bukankah ’kehinaan’ namanya bila usia, masa dan harta kita habis dihalakan ke arah yang sia-sia? Ke arah maksiat dan dosa yang berterusan.

Ya, kita baru sahaja membicarakan secara ringkas sebahagian daripada kehinaan yang Allah telah timpakan ke atas kita ekoran kegagalan kita melaksanakan perintah Allah agar membangunkan hubungan dengan Allah dan sesama manusia menurut yang dikehendakiNya.

Kesan paling besar dari kegagalan membangunkan kedua faktor ’kemuliaan’ itu ialah Allah akan ’serah’kan umat Islam kepada musuh-musuh sebagai ’pecacai’ untuk dipermain, di hina dan dikeronyokkan oleh mereka sebagaimana yang ketara di alaf ini manakala kehinaan di akhirat nanti berupa hisab yang berat dan panjang dan dilupakan Allah ar Rahman.

Inilah akibatnya bilamana Islam tidak diperjuangkan, bilamana syiar Allah tidak tidak diangkatkan setingginya, bilamana hukum-hakam Allah diperlecehkan dan bilamana perintah Allah dikebelakangkan.

Sesungguhnya, kitalah yang menzalimi diri kita sendiri. Realiti yang samasekali tidak boleh diketepikan.

Dengan menyingkirkan asbab 'Az Zillah' (kehinaan), maka akan hadirlah asbab Al 'Izzah (kemuliaan). Ini kerja kita bersama.

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial