INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Friday, April 16, 2010

MENGUBAT PENYAKIT MASYARAKAT? : KEMBALILAH KEPADA PUNCA & SEBABNYA


Menurut pengamatan dan lewat pembacaan kita, sebelum ubat diberikan kepada pesakit, kita lihat doktor atau Tabib terlebih dahulu akan menyelidik, memeriksa dan menganalisa latar belakang, sejarah pesakit juga simptom-simptom yang yang ada pada diri pesakit kerana itulah displin yang mesti dipatuhi dan dilaksanakan dalam dunia perubatan dan perawatan.

Asas ini terbina di atas pegangan, fakta ilmu, kefahaman, kesedaran dan pengalaman bahawa hukum yang diterima pakai sejak sekian lama dahulu menyimpul dan merumuskan yang ‘setiap sesuatu (penyakit) itu pasti ada sebabnya.’ Sama juga dengan asas berikut iaitu: ‘setiap penyakit ada ubat (penawar)nya kecuali mati.’

Bilamana sebab dan punca penyakit diketahui dengan betul dan tepat, maka tepat dan betul jugalah nasihat, ubatan dan rawatan yang akan diberikan. Maka kesembuhan akan cepat berlaku dengan izin Allah swt jua. Kegagalan dalam menganalisa simptom yang berlaku pada diri pesakit serta kelemahan untuk mengenal pasti ‘punca’penyakit berkemungkinan menjadikan penyakit yang dideritai akan lambat sembuh ataupun penyakit akan semakin merebak dan bertambah.

Punca Penyakit Masyarakat

Demikianlah halnya dalam usaha merawat dan mengubat penyakit yang melanda jiwa dan hati manusia atau yang kita sering namakan sebagai ‘penyakit masyarakat’. Para tabib rohani dari kalangan Mursyid, Du’at, Ulama, Murabbi, Muhazzib dan Muaddib yang bijaksana akan membuat dan melakukan tindakan yang sama sebagaimana yang dilakukan oleh doktor dan Tabib jasmani.

Penyakit-penyakit masyarakat yang menimpa umat seperti sombong, dengki, putus silaturrahim, cinta dunia, rasuah, gila pangkat dan kemahsyuran, perzinaan, perceraian, jenayah ragut, samun dan rompak, buang anak, dera anak, pembunuhan, gejala rempit, ketagihan dadah, semua ada punca dan sebabnya. Kepada sebab dan punca itulah, Allah dan rasul mahu kita teliti , selidiki dan mula merawati.

Cukup-cukup dan ‘sudah-sudahlah daripada sekadar seronok mendedah, mencatat kemudian melaporkan statistik ‘jenayah’ dan kebejatan sosial yang semakin gawat itu sebaliknya di masa dan ketika yang lain atau dalam masa yang sama, terus memejamkan mata daripada melihat punca dan sebabnya ataupun langsung berpeluk tubuh daripada menggerakan sebarang usaha penyingkiran dan pencegahan wabak sosial dan penyakit masyarakat yang semakin meruncing itu.

Bila rasakan diri lebih 'pandai' dari Allah

Seringkali berlaku, kalau adapun ‘penawar’ dan tindakan yang diambil, namun ia amat jauh dariapada petunjuk al quran dan as sunnah bagai jauhnya panggang dari api. Sudahlah usaha ‘pencegahan’ bagai melepaskan batuk ditangga, malahan penawar yang diberi pun langsung tidak bersesuaian dan tidak menepati ‘penyakit’ (gejala) yang sedang berlaku. Al Hasilnya, penyakit masyarakat tak sembuh-sembuh juga bahkan makin kronik, memeningkan kepala dan sangat menyesak di dada.

Secara jujur, ikhlas, tidak berkepentingan, bertanggung jawab serta penuh kasih sayang , sekelian tabib rohani telah, sedang dan akan terus ‘bangun’ mendedah, membongkarkan serta menyedarkan umat dari mana bermulanya sebab dan punca kepada semua gejala hanyir dan kebejatan sosial ini. Namun, apakah umat akan menerima dengan redha atau menolak mentah-mentah setelah mana mereka dijelaskan ‘Hakikat’ kebenaran ini?

Umat jauh dari Iman dan Islam : Keuntungan berganda di pihak musuh

Amat perlu dijelaskan bahawa dipihak Imperialis, Kapitalis dan Sekularis, semakin lama dan panjangnya usia dan tempoh ‘penyakit-penyakit’ rohaniah itu menimpa masyarakat Islam, maka semakin banyaklah keuntungan, laba dan kepuasan yang dapat dikaut mereka kerana kesinambungan kejahatan mereka pun bergerak di atas dasar: ‘Matlamat menghalalkan cara.’ Untuk itu mereka akan memastikan kita terus sakit dan lemah, tak kebah sampai bila-bila. Apakah kita pernah melihat mereka berhenti, berpuas hati, berpeluk tubuh atau tidur lena selagimana ‘Nur’ Islam tidak dapat mereka padam keseluruhannya?

Punca penyakit Sombong

Sombong atau Takabbur adalah penyakit rohani yang paling merbahaya. Allah swt amat murka kepada pemilik-pemiliknya. Apa sebab atau punca lahirnya penyakit Mazmumah terbesar ini?

Pada dasarnya sombong kembali kepada:

a. Rasa bongkak dan berbangga diri terhadap sesama manusia.
b. Rasa tamak dan inginkan keistimewaan melebihi keistimewaan orang lain.
c. Rasa diri lebih tinggi dan hebat menandingi orang lain.
d. Rasa tidak memerlukan bantuan, nasihat dan tunjuk ajar dari sesiapapun.
e. Ada kesedaran bahawa dirinya lemah dan banyak kekurangan tetapi tidak mahu mengakuinya supaya tidak diketahui oleh orang lain.
f. Agar kelemahannya tidak terdedah, maka ia menyembunyikan dirinya di sebalik ‘kesombongan’nya itu.

Demikian pentingnya kita kembali kepada punca dan sebab kepada sesuatu masalah dan penyakit rohaniah yang menimpa diri kita dan masyarakat kita kemudian kembali kepada penawar yang dinyatakan Allah dan Rasul.

Supaya kita benar-benar ‘sembuh’ dan dikasihi Allah. Supaya usia, masa dan wang ringgit kita tidak terbuang dan membazir sia-sia. Semoga kita dan zuriat generasi kita terpelihara mulia sebagaimana mulianya rasulullah saw dan para sahabat yang beroleh redha. “Li Kulli Syai-in Sababa.”

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial