Seperkara yang selalu kita mohon kepada Allah lewat permusafiran kita di dunia ini ialah perlindungan daripada berlakunya sebarang bentuk ‘pernyimpangan’ yang bakal menjauhkan kita dari Allah. Wal ‘iyazubillah.
Amat menakutkan bilamana seorang yang telah menyimpang dari jalan kebenaran itu akhirnya langsung tidak bertemu jalan pulang kepada Allah dan petunjukNya.
Penyimpangan yang menjerumuskan dirinya kepada kebinasaan total. Allahummahdina Subulas Salam.
Seseorang itu tidak akan menyimpang sebegitu sahaja. Penyimpangannya dari jalan ketuhanan sebenarnya berpunca dari beberapa asbab. Asbab-asbab itulah yang harus dijauhi. Mendekati asbab-asbab itu akan membuka pintu-pintu ‘penyimpangan’ yang sedang kita perkatakan. Maka, seandainya dari awal-awal lagi, kita berusaha menjauhi segala asbab itu, insya Allah, akan terselamatlah kita dari penyimpangan.
Ramai yang kurang kesedaran bahawa pengaulan yang rosak dan komunikasi yang negatif adalah antara asbab yang menyumbang kepada penyimpangan hidup. Faktor ini tentunya akan lebih parah bilamana menimpa kehidupan orang yang bodoh, lemah aqidahnya lagi terumbang ambing akalbudinya.
Kerosakkan boleh berlaku di dalam pergaulan apabila seseorang itu mula bercampur, bergelumang dan cepat terpengaruh dengan rakan-rakan yang keras hati, degil, nakal dan jahat. Komunikasi buruk dengan kelompok rakan-rakan ‘parasit’ ini sehari ke sehari semakin menjadi tabiat dan kebiasaan hidup mereka. Ini yang kita sangat bimbangkan terhadap kesan jangka panjang terhadap landskap dan rohaniah kehidupan anak-anak remaja kita.
Adalah amat sulit dan sukar sekali untuk diperbetulkan apabila sesuatu kejahatan dan kemaksiatan yang telah menjadi tabiat, sebati dan mensedaging dengan diri seseorang. Jalan untuk kembali pada Allah kini diselimuti belukar tebal! Dibaluti mendung pekat! Kecuali orang yang benar-benar dikehendaki Allah.
Syariat Islam sangat menitik beratkan siapa kawan dan teman yang melingkungi kita. Tak kira teman seperjuangan, sekerja, sepejabat, sekelas, sebilik atau sekampong. Demikian juga kawan dalam berpolitik, dalam berparti, dalam berpesatuan, dalam berjamaah, dalam berhibur dan sebagainya.
Pengaruh kawan-kawan itu amat kuat sekali dalam pembentukkan agama, akhlak dan syaksiyah seseorang. Benarlah sabda Nabi SAW yang mengatakan: “Seorang itu adalah menurut agama temannya. Maka perhatikan siapakah teman kamu” (Riwayat At Tirmizi).
Kawan-kawan yang baik dan soleh hendaklah dicari manakal teman-teman yang jahat dan fasiq hendaklah dijauhi. Bagi ibubapa yang faqih lagi mutadayyin, persoalan mengenai siapakah ‘kawan’ anak-anak ini telah ditangani penuh cermat dan bijaksana sejak anak-anak di usia rebung mereka lagi. Soal menentukan siapakah kawan-kawan kita bukanlah soal ‘trial and error’ atau soal yang remeh temeh. Ia termasuk perkara Aulawiyyat. Jesteru, daripada awal-awal lagi Nabi Saw telah menitik beratkan persoalan ini supaya ‘pintu-pintu’ kerosakkan dan kejahatan dapat ditutup.
Rumah adalah Madrasatul U-la yang bermaksud sekolah pertama buat anak-anak. Maka ia harus berperanan sebagaimana fungsinya. Ibubapa pula sangat bertanggungjawab memberi panduan jelas kepada anak-anak mengenai kepentingan perkara ini tanpa rasa jemu, tanpa rasa bosan dan selanjutnya berdoa dan bertawakkal kepada Allah.
Kini, kesilapan anak-anak kita mengenalpasti dan memilih kawan di peringkat sekolah kebangsaan seterusnya di sekolah menengah telah membenihkan banyak bibit-bibit kerosakkan dan kepincangan. Kesinambungannya adalah penyimpangan dan kebinasaan yang meleret ke usia senja.
Firman Allah Ta’ala: “Dan (ingatlah) hari (ketika) orang yang zalim menggigit kedua belah tangannya seraya berkata, “aduhai kiranya (dulu) aku mengambil jalan bersama para Rasul. Kecelakaan besarlah bagiku; kiranya aku (dulu) tidak menjadikan sifulan itu (sebagai) teman akarab (ku). Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari Al Quran ketika al Quran telah datang padaku. Dan Adalah syaitan itu tidak mau menolong menusia”. (Surah 25 ayat 27 hingga 29).
Menurut ayat di atas, amat ketara dan terserlah penyesalan orang yang ‘tersalah’ dalam memilih kawan. Sebelum ‘penyesalan’ itu berlaku, bina segera jaringan kawan-kawan yang soleh yang bukan sahaja akan menasihati kita, mendoakan kita, menjadi contoh kepada kita bahkan akan menjadi jiran tetangga kita di laman Firdausil A’la.
0 comments:
Post a Comment