"Dosa-dosa kecil boleh bertukar menjadi dosa-dosa besar dengan beberapa sebab," dedah Hujjatul Islam, Al Imam Ghazali Rahimahullah.
Kenyataan ini tentu saja mencemaskan emosi orang yang beriman yang sentiasa memantau, menghalusi dan mengemaskini hubungannya dengan Allah Rabbul 'Alamin.
Ada pun orang Fajir, hatinya tidak pernah tersentuh ataupun tersentak dalam hal dosa pahala ini lantaran hatinya yang telah karat dimamah dosa.
Imam Ghazali menyambung bicara: "Antara sebab dosa kecil menjadi dosa besar ialah bilamana ia terus dan selalu dilakukan."
Sebagaimana satu ungkapan menyebutkan: Tidak ada dosa kecil bilamana dilakukan terus menerus dan tidak ada dosa besar bilaman disusuli dengan Istighfar.
Sekalipun terjebak ke dalam dosa besar namun tiada dosa besar lain yang disusuli selepas itu adalah lebih diharapkan mendapatkan keampunan jika dibandingkan dengan beberapa dosa kecil yang dilakukan serta ditekuni secara berterusan tanpa rasa berdosa.
Aduhhh.., dosa mata adalah antara dosa-dosa kecil yang sering kita remehkan tanpa sekelumit rasa takut dan bimbang. Anak mata terus meratah aurat wanita-wanita yang bukan milik kita samada yang jalan melenggok liuk di kotaraya, maupun yang termuat di dalam pelbagai media. Kerana rasa tidak ada apa-apa, maka dosa mata saban hari terus-menerus dilakukan dengan sebuah pegangan sesat, "ah, tak mengapa, dosa kecil sahaja." Ya Tuhan, beraninya kita.
Saksikanlah. Air yang terus menerus menitik di atas batu pejal, lama kelamaan melekuk ia manakala air setempayan dalam jumlah yang sama, bilamana dicurahkan sekaligus ke atasnya nyata tidak berkesan dan membekas apa-apa.
Sifir yang sama dalam memahami erti kebaikan dan kebajikan yang kecil (minor). Kebaikan yang kecil namun berterusan itulah yang hebat dan dahsyatnya.
Sabda Nabi SAW: "Sebaik-baik amalan itu ialah yang berkekalan sekalipun (dalam jumlah) yang sedikit (kecil)."
Kita sering di didik untuk melihat dan mengenali sesuatu secara kebalikannya. Seperti Semua Rasul itu nabi, tapi tidak semua nabi itu rasul. Yang tenang itu senang namun tidak semua senang itu tenang. Demikian juga, ada perkara yang kita suka tapi tidak baik untuk kita manakala perkara yang kita tidak suka bertukar menjadi baik untuk kita.
Jesteru, amalan yang bermanfaat untuk membersihkan hati adalah amalan yang terus menerus dilakukan walaupun dalam jumlah yang kecil (sedikit) sebaliknya amalan yang berkapasiti (berskala) besar namun sering terputus dan tidak konsisten tiada gunanya dan kurang manfaatnya dalam rangka usaha penyucian jiwa.
Demikianlah kita harus melihat bahawa kejahatan dan keburukan kecil dan sedikit yang kita gomoli secara berterusan atau sering dilakukan, maka efeknya terlalu besar. Risiko bahayanya berganda. Keberkesanan tranformasinya dalam mengotori dan menggelapkan jiwa begitu terasa.
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
0 comments:
Post a Comment