INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Tuesday, August 10, 2010

MUNAJAT RAMADHAN 1431 HIJRIYYAH


Salam Ramadhan 1431 Hijriah diucapkan kepada sekelian muslimin dan muslimat, tidak kira di mana jua anda berada khasnya kepada teman-teman di Komuniti Sahabat Amal yang budiman. Sekalung doa dilafazkan: Ramadhan Karim...TaqabbalaLLahu Minni Wa Minkum!

Syukur kepada Allah yang tidak terhingga di atas nikmat yang besar ini. Nikmat dan anugerah dapat bertemu bulan Ramadhan yang penuh Barakah. Sungguh kita semua tidak berdaya, tidak berpeluang untuk sampai ke tarikh ini, ke detik dan saat ini andai tidak diizinkan Allah SWT.

Andainya kita dapat bersama lagi di tahun ini untuk menyempurnakan ibadah puasa, qiyam dan segala amalan yang lain, ia sesungguhnya membawa makna bahawa Allah jualah yang dengan kasih sayangNya telah memilih dan memberikan kita peluang yang amat berharga ini.

Lalu, pamerkanlah kesyukuran kita..persembahkanlah kehambaan kita..ya, di atas pemilihan dan peluang itu.

Apakah kita tidak merasa insaf bahawa ada di kalangan ahli keluarga dan sahabat handai kita yang tidak dapat bersama kita lagi di Ramadhan kali ini kerana mereka telah kembali terlebih dahulu mengadap Ilahi?

Berapa ramai di kalangan kita yang telah dan sedang merancang untuk menempah baju raya warna itu dan warna ini, sekian-sekian jumlahnya, membeli kuih raya itu dan ini, tukar langsir itu, ganti kusyen ini, tukar kereta baru, jalan raya sana dan sini, namun tanpa sedar rupa-rupanya kematian telah pun tiba di depan berandanya. 'Pemutus Kelazatan' hampir merapatinya. Malakul Maut telah pun menjelma di hadapan kedua belah matanya. Para malaikat Na-zi'at ataupun Na-syitat telah pun berkeliling di katil kematiannya.

Sungguh, tiap-tiap perkara yang mendatangi kita itu, ia hakikatnya telah semakin dekat, semakin merapat.., termasuklah kematian yang tidak dapat dilihat!

Apakah kita amat pasti bahawa ajal kita masih lama lagi? Apakah kita amat pasti janji temu kita dengan Malakul Maut hanya akan berlaku selepas pencen atau selepas tamat segala hutang piutang, janji dan kesibukan kita??

Oh tidak..Lihatlah, Janji temu mereka telah pun tiba.

Suka atau pun tidak, seseorang itu terpaksa berangkat pulang bilamana deringan jam kematian mulai berdering.
Bersedia ataupun tidak, Dunia yang fana ini akan ditinggalkan jua. Segala perancangan dan persiapan Ramadhan maupun Syawal dan segala-galanya nampaknya tidak kesampaian.

Siapa pun kita, dia terpaksa mengabaikan dan melupakan kesemuanya kerana kita sekelian adalah hambaNya yang tertakluk di dalam keagungan tadbir dan qudrahNya dan kita secara jujurnya tidak memiliki apa-apa. Sampai masa, pulanglah kita. Tiada surat menyurat, tiada rayuan dan tiada peluang kedua. Sejak Azali, Dia telah mengatur dan menentukan perjalanan diri kita mengikut sebagaimana yang Dia mahu bukannya menurut apa yang kita mahu.

Makanya, mereka lebih awal berkampung di Barzakh sana. Dalam tempoh yang tidak lama, kita pula bakal menyusul mereka. Janji temu kita juga bakal tiba. Hanya Allah yang Maha Tahu. Wa inna Insya Allah...bikum Lahiquuunn...demikianlah lafaz doa kita kala menziarahi tanah perkuburan saudara-saudara kita.

Kepada mereka, kami memohon agar Engkau mengampuni, merahmati serta memaafkan mereka.

Ya Allah, sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.
Rezekikan kami dengan kemuliaan dan keberkatan Ramadhan.
Sihatkanlah jiwa, fikiran dan tubuh badan kami agar kami dan berpuasa dan beribadah denga cara yang paling sempurna..
Panjangkanlah usia kami agar dapat berhuma kembali di kebunan RamadhanMu yang subur lagi harum mewangi itu.

Sesungguhnya diri kami berada di dalam genggamanMu ya Rabb. Hidup dan mati kami juga termaktub di dalam Ilmu, taqdir dan IradatMu ya Allah.

Tiada daya kami ya Allah.
Tiada langsung jaminan untuk kami ya Allah walaupun untuk menarik dan menyedut nafas kami yang berikutnya.
Tiada apa-apa yang kami miliki. Semuanya kerana kasih sayangMu ya Allah..kasih sayang yang tidak bertepi.

Malunya kami padaMu ya Allah..
Dalam pada sembah syukur kami compang camping, tidak konsisten, caca marba dan tidak sempurna..
Dalam pada dosa-dosa kami padaMU yang berselirat, berkeladak dan menghayirkan jiwa serta alam semesta..

Namun....,
Di keheningan dan ke syahduan Ramadhan ini, Engkau masih lagi memberi ruang pada kami untuk mendekat, berbicara, bermunajat dan memohon keampunanMu..dan ruang yang Engkau hamparkan itu teramat luas..seluas dan selebar JannahMu ya Rabb. Maha PengasihNya engkau Ya Allah! Maha PemaafNya Ya Allah! Maha PengampunNya Engkau Ya Allah!

Ya Rahman Ya Rahim..inginku lafazkan bahawa Aku berpuasa keranaMU..dan aku beriman padaMU dan aku berbuka dengan rezeki pemberianMu..

Ya Allah, aku memohon pada agar dikurniakan redha dan kenikmatan SyurgaMu dan aku juga memohon agar dilindungi diriku dari kemurkaan dan azab api nerakaMu..Aminn.

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan.

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial