INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Tuesday, August 24, 2010

PERJUANGAN MEMENANGKAN UNSUR LANGIT (RABBANIYAH)

Tidak dinafikan bahawa antara hikmah puasa itu, ia menyumbang kepada kesihatan tubuh badan. Dengan berpuasa kita dalam situasi berlapar dan berdahaga. Usus perut yang 'bekerja keras' selama 11 bulan sebelumnya diberi ruang merehatkan diri di siang Ramadhan.

Bila Allah perintahkan kita berpuasa, hakikatnya Allah mahu kita sihat dan 'hidup' secara sihat sementelah pula 'perut itu rumah penyakit' sebagaimana tersebut di dalam hadis Nabi SAW. Hal ini telah pun disepakati oleh sekelian doktor-doktor spesialis di seluruh dunia tanpa keraguan lagi.

Namun, yang lebih utama dari itu ialah Allah perintahkan kita berpuasa agar sihat, sembuh dan cemerlang aspek jiwa ataupun rohaniah kita yang merupakan bahagian terpenting dari belahan diri kita. Dunia hari ini menyaksikan betapa jiwa dan rohani umat manusia lebih sakit, rosak, parah dan bermasalah daripada penyakit lahiriah mereka. Bilamana jiwa atau rohaniah semakin hari semakin bertambah sakit dan parah, maka tiada siapa yang boleh menyangkal bahawa akan berlaku kemusnahan alam dan kehancuran manusia yang lebih besar dari sebelumnya.

Perperangan, pembunuhan, pergaduhan, perebutan kuasa, jatuh menjatuh, dengki mendengki, dendam berdendam, saling iri hati dan membenci, hipokrit dan hilang kejujuran, perzinaan dan pembuangan bayi, pergaulan bebas, vandalisme, melepak, ponteng solat dan ponteng sekolah, buli membuli, riba dan rasuah, pecah amanah, kecurangan dan penceraian, penderhakaan dan segala simptom yang sama waktu dengannya adalah refleksi, metafora, pembayang ataupun penanda aras betapa jiwa (rohaniah) manusia berada dalam keadaan yang begitu parah, tenat dan kronik sekali.

Maka Allah SWT dengan rahmatNya yang tidak bertepi, telah anugerahkan kita Ramadhan dan puasa sebulan di dalamnya untuk mengangkat aspek kejiwaan (rohaniah) supaya ia lebih mengungguli dan mengatasi aspek materialisma yang ada dalam diri manusia.

Bila bercakap tentang diri manusia, sesungguhnya penciptaan manusia itu unik sekali. Sebagaimana yang sering disebut oleh cerdik pandai bahawa manusia memiliki tabiat berganda. Antara tabiat berganda itu ialah adanya dua unsur yang tarik menarik, seret menyeret di dalam diri manusia. Unsur tanah dan unsur Ruh Ilahi yang ditiupkan Allah kepadanya.

Satu menyeret ke bawah dan satu yang lain menyeret dan menarik ke atas. Unsur tanah mahu menarik dan menyeret manusia ke bawah yakni ke arah kerendahan manakala unsur Ruh Ilahi (unsur langit / rabbaniyah) menarik ke atas iaitu ke arah kemuliaan.

Perhatian. Andaikata yang mendominasi diri adalah unsur tanah, maka ia akan menarik manusia ke arah kerendahan, menyeret turun ke darjat binatang bahkan lebih teruk dari itu. Contoh yang ketara ialah makan rasuah, berzina, buang anak, bunuh dan dera anak, minum arak dan sebagainya. Manusia-manusia yang melakukan perkara-perkara 'kerendahan' sebegini dikira telah di dominasi oleh unsur tanah yang memperlihatkan tabiat serta fi'il mereka yang tak ubah macam binatang bahkan lebih dahsyat dari binatang.

Sebaliknya jika unsur Ruh Ilahi (Rabbaniyyah) yang menguasai dan mendominasi, maka darjat manusia ia melonjak mulia dan tinggi ke darjat para malaikat al muqarrabin hingga para malaikat yang dicipta dari cahaya lagi tidak bernafsu itu pun jadi malu kepada mereka sebagaimana kisah Saidina Usman bin Affan. Lantaran sifat malunya kepada Allah SWT (berasaskan keimanan) membuatkan para malaikat pula amat malu kepadanya.

Maka ketahuilah, di antara hikmat puasa Ramadhan ialah terdapat sokongan dan pertolongan Allah untuk memenangkan unsur Ruh Ilahi ke atas unsur bumi, material, akal fikiran dan lebih-lebih lagi nafsu syahwat yang sentiasa mengajak manusia ke arah kesesatan, kepalsuan dan kerendahan.

Masya Allah, malam ini kita dah nak masuk ke malam 15 Ramadhan. Setelah 14 hari berpuasa, menurut hemat kita unsur manakah yang telah mendominasi di dalam diri kita saat dan ketika ini? Ampun maaf, jumpa lagi kesempatan yang lain.

RUJUKAN: FIQIH PUASA: DR YUSUF AL QARADHAWI RAHIMAHULLAH.

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial