Dalam satu hari satu malam, banyak majlis yang telah berlangsung, sedang dan akan berlangsung. Hari ini pun, kita sendiri ada menghadiri beberapa majlis dan akan memenuhi beberapa undangan keluarga dan rakan-rakan sebagaimana yang telah disusun dan dirancang. Persoalannya, apakah majlis ataupun program yang kita hadiri dan bakal hadiri itu majlis yang beroreantasi dan berlandaskan kepada mengingati Allah (zikrullah) atau pun tidak?
Apa yang akan berlaku?
Majlis atau program yang beroreantasi dan berlandaskan Zikrullah adalah majlis yang dicintai Allah dan para malaikat. Di majlis-majlis seumpama inilah turunnya kerahmatan dan melimpahnya keberkatan. Berusahalah untuk sentiasa dapat menghadiri dan menyertai majlis, perkumpulan, program dan aktiviti seumpama ini. Insya Allah! Cemerlang.
Abu Hurairah RA dan Abu Said RA mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: 'Tidaklah satu kaum berkumpul untuk berzikrullah melainkan malaikat akan hadir bersama mereka dan rahmat akan menyelimuti mereka. Kepada mereka akan turunnya Sakinah (ketenangan) dan Allah akan menyebut (memuji-muji) mereka dikalangan hamba-hamba yang berada di sisiNya (Para Nabi dan malaikat)." (Hadis Sahih ditakhrijkan oleh Ahmad dan Muslim. Hadis ini juga terdapat dalam Sahihul jami' no: 7757.).
Andaikata majlis kita majlis yang penuh dengan kelalaian serta dosa maka para malaikat rahmat tidak akan menyertai dan mendampingi kita. Para malaikat selamanya akan menjauhi dan meninggalkan majlis-majlis yang beroreantasikan kelalaian dan kosong dari Zikrullah. Alangkah ruginya kita.
Sekiranya kita mengabaikan Zikrullah (mengingati Allah) di majlis dan program kita, maka samada sedar ataupun tidak, hukuman duniawinya telah pun bermula.
Apakah hukumannya?
1. Hukuman itu berupa sebuah kelalaian, kealpaan dan ke 'lagha' an.
Mungkin orang-orang yang fasiq tidak merasakan kepedihan apa-apa lantaran hati mereka yang telah tenggelam di dalam kederhakaan. Namun, dihukum dengan sebuah 'kelalaian' pun sudah cukup menjadi azab yang amat pedih di dalam jiwa orang-orang yang beriman.
2. Hukuman seterusnya ialah majlis yang lagha tersebut langsung tidak dihadiri para malaikat rahmat. Malaikat tidak hadir? Ohh, lerugian yang sungguh besar! Bukankan para malaikat rahmat hadir di dalam majlis-majlis zikrullah untuk mendoakan keampunan dan kesejahteraan atas sekelian hadirin yang duduk dan singgah di dalamnya?
Maka gantinya, hadirlah syaitan-syaitan yang kerja mereka membujuk, menggoda, menghasut dan mengwas-waskan sekelian hadirin yang ada ke arah kejahatan dan penderhakaan terhadap Allah SWT.
3. Hukuman berikut juga amat berat impaknya.
Majlis yang kosong dari zikrullah bakal menyaksikan kemerosotan iman kita. Rugi lagi. Bukankah iman seseorang merosot dan berkurangan disebabkan dosa dan penderhakaan yang dilakukan?
Bagaimana pula di akhirat nanti?
Allahh..., majlis yang kosong dari zikrullah akan diwartakan sebagai majlis yang 'kosong' pula dari pahala dan kebajikan.
Berkaitan dengan apa yang kita bincangkan, terdapat riwayat dari Jabir RA yang berkata bahawa Rasulullah SAW telah berabda: "Tidaklah satu kaum berkumpul lalu berpisah dengan tidak berzikrullah dan berselawat atas rasulullah SAW melainkan mereka bersurai dengan (keadaan) bau yang lebih busuk daripada bangkai." (Hadis Sahih ditakhrijkan oleh Imam At Toyalisi dan Imam Al Baihaqi dalam kitab Syu'abul Iman, juga oleh Imam Dhiyauddin. Lihat juga Silsilah Ahadith Sahihah: 80. Hadis ini juga ada di dalam Sahihul Jami' no 5506).
Majlis yang dimaksudkan di atas adalah majlis yang sunyi dari ketaatan, kosong daripada Zikrullah dan selawat Nabi. Di akhirat nanti, sekelian yang hadir di dalam majlis sebegini akan dirundung penyesalan dan kesedihan.
Abu Hurairah RA pula berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah berkumpul sayu kaum di dalam suatu majlis lalu mereka berpisah (bersurai) tanpa zikrullah melainkan mereka seakan-akan bersurai meninggalkan bangkai kaldai sementara mereka akan ditimpa rasa sesal dan duka." (Hadis Sahih ditakhrijkan oleh Imam Ahmad. Hadis ini juga terdapat di dalam Sahihul Jami' no 5508. lihat juga di dalam Silisilah Ahadith Sahihah no: 77).
Lihatlah, majlis atau program yang kosong dari Zirullah dan selawat pun sudah tidak mendapat perhatian Allah, berbau bangkai dan tidak dihadiri para malaikat Allah! Agaknya bagaimanakah kedudukan majlis-majlis yang beroreantasikan kedosaan dan kemaksiatan seperti majlis yang tunggang langgang dengan aktiviti meminum arak, perzinaan, perjudian, tari menari, pergaulan bebas, tidak menutup aurat dan gejala meninggalkan solat? Apakah pandangan Allah dan para malaikat terhadap majlis-majlis yang seumapama ini?
Jom pakat muhasabah majlis, program, aktiviti anjuran kita. Agar tidak busuk dan hanyir pada pandangan Allah.
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
0 comments:
Post a Comment