Dalam pergaulan, kita hendaklah menampilkan wajah yang manis dan penuh kemesraan. Berwajah manis dan mudah mesra itu nampak macam perkara kecil dan biasa sahaja tetapi Nabi saw tak mahu kita pandang remeh dan ambil mudah dengannya. Dalam Islam, biar pun sesuatu kebaikkan itu tampak kecil, namun bilamana dilakukan dengan ikhlas, maka pahalanya akan menjadi sangat besar di sisi Allah malah impaknya juga amat besar di dalam pembentukan dan peningkatan iman seseorang.
Sama juga dengan kejahatan dan dosa-dosa kecil. Usah diremeh-remehkan. Usah pandang kecil dengan dosa biar sekecil mana pun ia. Sesungguhnya dosa-dosa kecil akan bertukar menjadi dosa besar bilamana ia dipandang ringan ataupun diremeh-remehkan pelakunya.
Wajah manis dan perwatakan yang mesra itu adalah perkara-perkara Makruf yang wajar menjadi pakaian atau perhiasan diri kita. Ia penampilan yang menjadi asbab kegembiraan dan kebahagiaan bukan hanya pada diri sendiri malah kepada kaum keluarga, sahabat handai dan masyarakat yang ada di sekeliling kita.
Wajah yang manis dan mesra itu lahir dari cetusan iman yang bertunjang di dalam jiwa. Ia terhasil dari hati yang ikhlas kepada Allah SWT. Inilah penampilan hebat orang yang beriman. Penampilan begini akan menjadikan dirinya disayangi Allah dan Rasul serta disenangi manusia sezaman.
Sebaliknya, orang tidak ikhlas (tidak mukmin) seringkali berwajah masam mencuka, muram, bersikap misteri, kurang mesra dan tidak ceria. Kalau ada pun senyuman dan kemesraannya, ia berlaku secara terpaksa, hipokrit , dibuat-buat dan tampak dilakon-lakonkan.
Kemesraan dan keceriaan yang berlandaskan iman itu mudah-mudahan akan menjadi pakaian dan amalan hidup kita hinggalah ke akhir hayat. Semoga ia dapat menjadi darah daging kita di sepanjang kehidupan.
Kesinambungannya, mudah-mudahan ‘wajah yang manis dan berseri’ itu juga turut dihadiahkan Allah kepada kita saat Sakaratul Maut datang menyapa dan saat kita berdiri mengadap Allah di Yaumil Akhirah.
WAJAH BERSERI SAAT SAKARAT
Wajah yang berseri-seri menguntum senyuman saat Sakaratul Maut itu adalah berita gembira yang disegerakan Allah kepada hamba-hambaNya yang beriman dan bertaqwa.
Ia berdalilkan firman Allah SWT: “Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan dunia.” (surah Yunus: 64).
Menurut Imam Ibnu Kathir Rahimahullah bahawa yang diertikan dengan ‘berita gembira dalam kehidupan dunia’ dalam ayat 64 surah Yunus itu ialah wajah orang beriman yang berseri-seri ketika ia sedang sakarat. Sebabnya adalah, saat Sakaratul Maut mendatang, dia dapat melihat perkara-perkara yang menjadikan dirinya tenang dan bahagia. (Tafsir Ibnu Kathir).
WAJAH-WAJAH YANG BERSERI DI AKHIRAT
“Pernahkah anda lihat wajah janazah yang berseri-seri?” Pastinya ia pengalaman hebat yang telah (pernah) disaksikan oleh sebahagian kita. Yakinlah, itulah Busyra (berita gembira) buat mereka di atas segala kebaikan dan kesolehan yang pernah mereka lakukan semasa hayat dikandung badan.
Kalau tadi wajah mukmin akan berseri-seri saat Sakaratnya. Selanjutnya Allah menjelaskan bahawa wajah mereka akan lebih berseri-seri dan indah rupawan saat mereka berkampung di padang Mahsyar.
Firman Allah SWT: “Banyak wajah pada hari itu berseri-seri.” (Surah ‘Abasa: 38)
Ibnu Jarir Rahimahullah menghuraikan: “..Pada hari itu banyak wajah yang berseri-seri lagi bercahaya. Itulah wajah-wajah orang yang beriman yang diredhai Allah. Wajah ‘fulan’ akan berseri-berseri jika ia dalam keadan baik (sihat & bahagia). Waktu pagi berseri-seri bila ia bercahaya, dan setiap yang bercahaya ialah berseri-seri.” (Jani’ul Bayan : 15/68 – cetakan pertama Darul Fikr, 1421 H/2001M).
Firman Allah SWT: “Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri.” (Al Qiyamah: 22).
Al Hafiz Ibnu Kathir sekali lagi menafsirkan ayat di atas dengan kata-katanya: “Wajah-wajah orang mukmin itu berseri-seri pada hari itu artinya elok, berseri-seri dan bahagia.” (Tafsir Ibnu Kathir).
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
0 comments:
Post a Comment