Secara mutlaknya, Allah SWT telah mengharamkan meminum arak (khamr) ke atas hamba-hambaNya di atas dunia ini. Ketetapan itu sama sekali tidak akan berubah hinggalah tibanya hari kiamat. Pengharaman itu disusuli pula dengan ancaman keras terhadap ‘peminumnya’ dengan siksaan yang amat berat di akhirat sana.
Menurut Islam, dosa meminum arak adalah di antara dosa-dosa besar dan kerana ia menjadi ‘pencetus’ kepada ‘dosa-dosa’ besar yang lain bahkan ia diberi julukan ‘Ummul Fawahish’ yakni ‘Induk (ibu) segala kejahatan’.
Faktor (sebab) pengharaman
Pada suatu ketika, Utban bin Malik menjemput beberapa orang dari para sahabat untuk menghadiri majlis keramaian yang diadakannya. Di antara mereka ialah Saad bin Abi Waqas. Dalam majlis itu telah dihidangkan dengan makanan dan khamar. Para tetamu meminum khamar hingga mabuk. Setelah mabuk masing-masing bersyair membangga-banggakan diri dan kaumnya serta mencela kaum lainnya. Ada seorang dari mereka yang bangun dengan membawa syair kebanggaan kaumnya dan mencela kaum Ansar. Salah seorang dari kaum Ansar bangkit lalu pergi kepada Saad bin Abi Waqas dan memukulnya dengan rahang unta. Kepala Saad mengalami kecedaraan berat. Beliau kemudian pergi mengadu kepada Rasulullah s.a.w.
Dan… Turunlah Firman Allah di dalam Surah al-Maidah ayat 90-91 yang bermaksud :
“ Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan dari mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti daripda melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil ?”.
Dengan turunnya ayat ini, khamar telah diharamkan secara mutlak.
Di sisi islam, arak itu ‘kekotoran’ biar sebersih mana pun ia dibotolkan, dibungkuskan, dipasarkan ataupun dihidangkan. Ia minuman ‘keji’ kerana menghilangkan akal dan kecerdasan. Arak akan menghumbankan orang yang berwibawa kepada kerendahan dan kehilangan rasa hormat dan pengaruh khalayak kepadanya.
Kedudukan dan nilai seseorang peminum arak akan menjunam hina pada pandangan Allah. Apa tidaknya? Bukankah ‘maruah’ seseorang itu dinilai kerana akal budinya yang masih waras? Bilamana akal seseorang hilang kerana tabiat ‘minum’nya itu, maka perangainya bertukar rakus dan liar bak binatang buas.
Muliakanlah Akal Seadanya
Akal adalah anugerah Allah yang tidak ternilai kerana dengannya manusia dimuliakan dan dihormati. Sebab itu Allah SWT tidak mahu hamba-hambaNya kehilangan akal semasa singgah di dunia. Keji sekali orang yang sampai merosakan akalnya dengan meminum ‘air kotor’ yang juga digelar ‘air kencing syaitan’ itu. Orang yang menghina ‘akal’nya pasti akan dihina Allah di akhirat nanti.
Sungai Khamr (Arak)
Barangsiapa yang mencegah dirinya dari meminum arak di atas dunia kerana akur, patuh dan taat kepada larangan Rabb-nya, maka Allah akan menggantikan untuknya beberapa sungai yang mengalir penuh keasyikan. Diantara sungai-sunagi itu ada sungai Khamr yakni ‘Arak’ sebagaimana yang telah dijanjikan Allah sejak dulu lagi di dalam lembaran kitabNya yang suci.
Firman Allah SWT: “dan sungai-sungai dari Khamr yang lazat rasanya bagi yang meminumnya.” (Muhammad: 15).
Sungai-sungai yang indah dan penuh ‘kelazatan’ itu mengalir di mana-mana sahaja menurut kehendak Allah SWT. Jiwa penghuni syurga amat terhibur dan damai sedamai aliran sungai syurgawi itu. Ia mengalir di hadapannya,mengalir di sekitar dan di bawahnya, mengalir di bawah istana-istananya, di bawah khemah-khemah bahkan di bawah kamar-kamar mereka.
Khamr yang tidak memabukkan
Unik sekali. Selain rasanya yang amat lazat dan nikmat yang tidak dapat digambarkan, Khamar yang menjadi minuman penghuni syurga itu langsung tidak memabukkan. Mereka tidak pening, terkencing ataupun muntah kerana meminumnya.
Allah berfirman: “Diedarkan kepada mereka gelas yang berisi Khamr (arak) dari sungai yang mengalir. (Warnanya) putih bersih, sedap rasanya bagi orang-orang yang meminum(nya). Tidak ada di dalam Khamr itu ‘alkohol’ dan mereka tidak mabuk kerananya.” (As Saffat: 45-47).
Menghurai firman-firman Allah di atas, Ibnu Kathir Rahimahullah berkata di dalam tafsirnya: “Kepala mereka (penghuni) syurga tidak pening dan akal mereka tidak mabuk, namun mereka tetap menikmati kedahsyatan, kegembiraan dan kelazatannya.”
Allahummarzuqnal Jannah Waj’alna Min Ahliha! Amin
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
0 comments:
Post a Comment