Sudah menjadi Sunnatullah bahawa hidup ini sarat dengan ujian. Padat dengan cubaan. Ujian-ujian itu datang bersilih ganti dalam rupa, saiz, skala, warna dan jenis yang pelbagai. Manusia tiada pilihan melainkan menerima dan mendepani hakikat ini. Menerima hakikat bahawa dirinya makhluk yang dicipta Allah untuk di ‘uji’ di alam dunia yang penuh dugaan dan rintangan.
Dalam satu hari sahaja, ujian Allah serta ‘percaturan TaqdirNya’ datang bersilih ganti mengenai batang tubuh manusia. Tidak dapat tidak. Antara susah dan senang. Antara suka dan duka. Antara lapang dan sempit. Antara gembira dan sedih. Antara pahit dan manis. Antara sakit dan sihat. Antara miskin dan kaya.
Perhatikanlah bahawa satu-satu ujian (keadaan) yang menimpa manusia itu tidak akan kekal lama melainkan akan bertandang pula satu situasi lain yang akan menggantikannya dan begitulah seterusnya rutin ‘ kehidupan duniawi’ yang bakal dilalui dan disaksikan manusia. Bahkan inilah juga yang dinamakan warna warni, asam garam dan rencah kehidupan.
Firman Allah SWT: “Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. (Surah Ali Imran: 140).
Percayakah anda bahawa hajat (keperluan) manusia kepada musibah (dugaan) adalah sama berat dengan hajat dan keperluannya kepada nikmat kesenangan, kelapangan dan kegembiraan?? Pelik bunyinya kan?
Ya, memang benar. Tanpa ujian ‘sakit’, manusia tidak akan menghargai dan mensyukuri nikmat kesihatan. Tanpa dugaan ‘kesibukan dan kesempitan’, manusia tidak akan menghargai nikmat kelapangan waktu. Tanpa ujian kesusahan dan penderitaan, sampai bila pun manusia tidak akan pandai mensyukuri nikmat kesenangan. Sungguh, manusia tidak akan berupaya menghargai ‘nilai’ sesuatu nikmat yang dianugerahkan Allah, melainkan setelah nikmat tersebut hilang, bertukar tangan atau pun diambil orang.
Tidak kira samada bertamu musim suka maupun bertandang musim duka, seseorang hamba itu hendaklah peka, berusaha dan bersungguh-sungguh mengutip ‘mutiara-mutiara’ hikmah yang hadir bersama di dalam putaran masa, kitaran zaman dan pusingan perstiwa. Dengan cara dan sikap yang sedemikian, pasti ia akan memperolehi banyak kelebihan, manfaat dan faedah lewat persinggahannya di dunia nan sementara ini.
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
0 comments:
Post a Comment