INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Saturday, May 1, 2010

BILA HIDUP BERTUHANKAN NAFSU


KUALA LUMPUR:

1. Pergaulan bebas tanpa memperdulikan halal haram, tata susila dan batas-batas agama ternayata membuka ruang yang lebih luas kepada kefasadan (kerosakan) dan kehinaan. Allah menjelaskan di dalam al quran bahawa kerosakan dan kehinaan itu adalah hasil ‘kerja tangan’ manusia itu sendiri. Allah tidak zalim kepada hamba-hambaNya sebaliknya merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.

2. Pada 17 April lalu, akhbar melaporkan kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman mengenai peningkatan kes pembuangan bayi sejak kebelakangan ini. Kata beliau: “Amalan seks bebas hingga hamil dan melahirkan anak luar nikah adalah antara sebahagian daripada faktor utama yang dikenal pasti sebagai penyumbang masalah sosial membabitkan gadis berusia 13 hingga 18 tahun di ibu kota, dengan kebanyakannya melibatkan mereka yang masih bersekolah.”

3. Allahu Akbar! Kehidupan pincang berlestarikan dosa dan maksiat yang sebelumnya hanya menjadi amalan ‘terbuka’ artis dan selebriti Barat kini telah mula dianuti, diikuti, dicontohi dan dipandang ‘biasa’ oleh sebahagian masyarakat Islam kita yang lemah iman dan penghayatan agamanya. Seronok ‘sakan’ dan bertepuk tanganlah Yahudi dan Nasara. Apa yang tak seronoknya? ‘Budaya Kuning’ dan budaya ‘Hedonisme’ yang mereka anjur, promosi dan sebarkan lewat dasar ‘Dunia Tanpa Sempadan’ melalui perantaraan Internet telah berjaya melemahkan ‘jatidiri’ umat Islam, menjauhkan mereka dari kehidupan yang beroreantasikan Al quran dan As sunnah, meranapkan adab sopan serta melenyapkan saki baki cahaya Iman dan Islam yang ada di dalam jiwa.

4. Dunia pembelajaran yang sepatutnya dilatari dengan displin, kecemerlangan dan adab mulia telah mula dikotori dan dicemari kerana runtunan nafsu yang tak berdaya dikekangi. Dengan berzina, manusia tidak lagi menjadi hamba Allah sebaliknya menjadi ‘hamba’ kepada Nafsu Syahwatnya sendiri. FIRMAN ALLAH SWT: "..DAN JANGANLAH KAMU MENGHAMPIRI ZINA, SESUNGGUHNYA ZINA ITU ADALAH SATU PERBUATAN YANG KEJI DAN SATU JALAN YANG JAHAT. (AL-ISRA’:32)

5. “Dalam kebanyakan kes (pembuangan bayi) sebelum ini, memang ada pelakunya membabitkan pelajar sekolah, malah siasatan sering menjurus kepada amalan seks bebas di kalangan mereka hingga hamil dan untuk menutup malu mereka membuang bayi itu. Ini perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak, khususnya ibu bapa yang perlu memantau anak-anak mereka supaya tidak terbabit dalam masalah sosial atau dan kes jenayah,” kata beliau lagi.

6. Runtunan nafsu kelamin yang ada di dalam diri manusia hendaklah ditangani dengan petunjuk Al quran dan Sunnah. Jika tidak, hidup dan keturunan kita bakal musnah. Harapan ibu ayah dan guru akan punah. Tanpa taubat dan penyesalan, di dalam neraka nanti, kemaluan penzina akan membusuk, hanyir dan menanah.

7. Cinta kepada Allah, cintakan rasul, cintakan ibubapa dan keluarga sepatutnya diberi keutamaan dan diletak di hadapan. Namun, apabila cinta ‘couple’ (lewat dasar pergaulan bebas) diletakkan tinggi dari segala-galanya hingga tergamak melupakan Allah dan ancamanNya, maka inilah akibat dan natijahnya. Bila sudah ‘termengandung’ barulah nak kelam kabut. Yang lelakinya nak berlepas tangan, yang perempuannya menangis tak keruan. Inilah ‘percintaan’ yang hina lagi tidak ‘bertanggungjawab’!.

8. Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mengenai masalah cinta membabitkan pelajar mendapati trend teman lelaki bersifat lepas tangan sekiranya teman wanita mereka hamil bak kata pepatah: "habis manis, sepah dibuang."

9. Kata cerdik pandai: “Kata-kata I Love You,” tanpa ikatan perkahwinan yang halal dan suci tidak lebih selain dari memaksudkan: Aku ingin melakukan seks dengan kamu.” Maka, berhati-hati dan awaslah. Sudah ramai yang terjebak dan ramai juga yang bakal terperangkap. Terperangkap kerana tidak mahu mengambil iktibar. “Remaja perempuan yang menganggap teman lelakinya jujur dan dengan rela hati menyerahkan tubuh mereka tanpa menyedari dipermainkan, selain sekadar dijadikan pemuas nafsu”, jelas Muhammad Sabtu lagi.

10. Mari sama-sama kita mantapkan iman kita. Peliharalah anak-anak dan cucu cicit kita. Tingkatkan kefahaman agama kita. Hindarilah dosa dan maksiat. Katakan ‘tidak’ pada nafsu dan syaitan. Lazimkan diri dalam suasana hidup beribadah, mujahadah, muhasabah dan berjamaah. Belajar dan lihatlah akibat-akibat ‘hina dan hodoh’ yang menimpa rakan-rakan sebaya anda supaya ia tidak menimpa diri kita. Allahumma alhimna rushdana wa qina syarra An fusina!


0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial