1. Pada iman, ibadat dan munajat itu ada ‘Lazzah (kelazatan) dan ‘Halawah’ (kemanisan) yang dianugerahkan Allah swt ke dalam jiwa hamba-hambaNya.
2. Kelazatan dan kemanisan itu memang benar-benar wujud bukan hanya dalam pengetahuan atau maklumat semata-mata bahkan menjadi ‘pengalaman terindah’ para mukminin lewat persinggahan mereka di dunia ini. Ia umpama perisa atau aroma ‘istimewa’ yang betul-betul dapat dirasai oleh insan-insan yang tekun bermujahadah di jalan Allah sekalipun ia amat sukar difahami oleh mereka yang jahil tentangnya dan payah pula untuk digambarkan dengan kata-kata kepada yang langsung tidak pernah ada pengalaman melaluinya.
3. Kesukaran memvisualkan ‘manis dan lazat’nya iman, ibadat dan munajat itu bukanlah bermakna semua ‘anugerah’ itu tidak ada atau bersifat ilusi belaka. Kebenaran wujudnya Halawah dan lazzah dalam iman, ibadah dan munajat telah dibuktikan dengan nas-nas aqli dan naqli yang kukuh.
4. Secara Aqlinya, kalau hendak disenaraikan, terdapat banyak lagi perkara-perkara lain dalam rutin hidup dan pengalaman harian kita yang sememangnya ada (wujud) namun kita tak berdaya untuk menjelaskan rupabentuknya seperti contoh sukarnya bilamana seseorang disuruh menunjukkan di manakah terletak manisnya gula, sejuknya angin yang bertiup gemalai, kuatnya arus elektrik yang mengalir ataupun pedas menyeringanya cili.
5. Kalau kita boleh menerima, akur dan rasional mengenai adanya perkara-perkara di atas, maka insya Allah tidaklah payah untuk kita menerima adanya Halawah dan Lazzah iman, ibadat dan munajat bahkan kita akan lebih meyakini dan mengimani kewujudan dan keagungan Allah swt, Rabb yang telah menganugerahkan segala Halawah dan lazzah itu.
6. Sabda Nabi saw: “Barang siapa yang terdapat padanya tiga perkara maka dia akan merasai Kemanisan Iman.
(1) Mencintai Allah dan RasulNya melebihi cinta kepada yang lain.
(2) Mencintai manusia kerana cinta kepada Allah semata mata.
(3) Membenci kembali kepada kufur(ingkar) laksana seorang yang benci dilemparkan kedalam api." (Muttafaq ‘Alaih)
Dari Anas bin Malik: Nabi SAW bersabda: " Seseorang itu belum dapat merasakan kemanisan iman sehinggalah dia dapat mencintai orang lain hanya kerana Allah saja, dan ia lebih suka ditempatkan kedalam api daripada kembali semula kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dan ia mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada yang lainnya.
7. Menurut penjelasan hadis di atas, ada tiga sifat yang jika ada pada seseorang maka orang itu akan berasakan manisnya iman. Manisnya iman adalah rasa nikmat ketika melakukan ketaatan kepada Allah, ketenangan jiwa, kesenangan hati dan lapangnya dada.
8. Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berkata, “Syaikh Abu Muhammad bin Abu Hamzah berkata: “Pengungkapan dengan lafaz ‘manis’ kerana Allah mengumpamakan iman seperti pohon, seperti di dalam firman-Nya bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik.” (Surah Ibrahim, ayat 24)
9. Kalimat yang baik yang dinyatakan Allah dalam surah Ibrahim di atas adalah kalimat ikhlas, kalimat Tauhid, sedangkan pepohon yang baik adalah pokok keimanan, cabangnya adalah menjalankan segala perintah dan menjauhi segala larangan, daun-daunnya adalah segala amal kebaikan yang harus diperhatikan seorang mukmin manakala buahnya adalah segala macam bentuk ketaatan.
Manisnya buah ketika buah sudah matang, dan puncak daripada rasa manis itu adalah apabila buah telah benar-benar masak. Maka ketika itulah akan terasa manisnya buah itu.
10. Dek kerana para mukminin benar-benar telah mengecapi ‘rasa’ dan melalui pengalaman indah itu, hari berganti hari dan semakin usia bertambah, maka semakin ‘lebat merimbun’ lah ibadah mereka kepada Allah dan merendanglah juga makrufat mereka kepada sesama manusia. Semakin mereka fokus dalam pengibadatan mereka kepada Allah dan semakin mereka ‘menghalusi’ hubungan mereka dengan Allah, maka semakin bertambahlah pula rasa ‘manis’ nikmat kehambaan dan meningkatkan keseronokan berinteraksi dengan Allah swt.
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
0 comments:
Post a Comment