1. Masa dan waktu adalah anugerah Allah yang sangat berharga. Ia adalah modal yang diperuntukkan Allah kepada sekelian hamba bagi tujuan penjanaan iman dan amal soleh sebanyak-banyaknya.
2. Sebagai yang dijelaskan Nabi saw bahawa segala nikmat pasti akan ditanya bahkan dipertanggungjawabkan. Masa yang tidak terisi dengan iman dan amal soleh akan menghadapi sessi pertanggungjawaban dan perhitungan yang amat berat di hadapan Allah swt.
3. Bagi yang memahami dan menginsafinya, masa dan waktu akan diuruskan secara pntar dan bijaksana. Sementelah pula kita hidup di akhir zaman yang perjalanan masa dan waktunya tersangatlah pantas dan cepat sekali. Setahun macam sebulan. Sebulan macam seminggu. Seminggu macam sehari dan sehari hanya terasa beberapa jam sahaja. Pejam celik pejam celik sehari berlalu percuma begitu sahaja. Pergi buat selama-lamanya.
4. Para mukminin akan menjadikan setiap saat dan minit yang dilalui sebagai motivasi diri mereka kea rah kebaikan. Iman, amal soleh dan hasanat akan ditanam sebanyak-banyaknya. Kebaikan dan pahala akan terus dijana tanpa henti. Taubat dan istighfar terhadap dosa siang hari tidak akan ditangguhkan ke malamnya dan begitulah sebaliknya. Zikrullah berkelangsungan membasahi lidah, hati dan diri. Menyuluh akal budi dan segala bentuk aktiviti.
5. Mukmin yang bijaksana faham bahawa lambat laun waktu dan masa akan terhenti jua sebagaimana terhentinya jarum saat pada jam dinding tak kira samada kerosakan bersifat kekal atau dari kerana kehabisan bateri. Atas hakikat itu, masa dan waktu dalam hidup seorang mukmin sentiasa akan dipenuhi kesyukuran, kesabaran, kebahagiaan, kelapangan, aman dan tenteram.
6. Apa tidaknya? Kalaulah nilai masa itu tidak lebih umpama bilihan lidi penyapu yang boleh dibilang, kemudian pada setiap harinya sebatang lidi menjadi rosak dan patah, maka akhirnya jumlah lidi yang tinggal akan semakin berkurangan.
7. Atas kesedaran itu, kini hari-hari dalam diari hidup seorang mukmin juga beransur bebas dari kemarahan, hasad dengki, kebencian, sakit hati dan kesedihan yang tidak berasas. Dia tahu, masanya yang masih ada tidak banyak lagi yang berbaki lalu masa dan waktu itu amat ‘dicemburui’. Kesilapan mengatur dan mengisi masa di dunia ini akan menjadikan pulangnya seorang hamba ke akhirat sebagai seorang muflis yang ditimpa kerugian dunia dan akhiratnya.
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
3 comments:
Assalamualakum ustaz ..pengisian yang baik ..boleh kah jika saya copy paste untuk laman blogspot saya..May ALLAH bless us
Dipersilakan dgn hormatnya. harap nyatakan pautan blog ini kpd rakan2 yg lain agar semua beroleh manfaat.
Thanks unstaz..Ya saya akak buat ..May ALLAH bless us
Post a Comment